Halitosis ialah istilah perubatan kepada masalah nafas berbau. Halitosis adalah masalah biasa yang berlaku kepada kebanyakan populasi di dunia.
Adalah sukar untuk seseorang itu menyedari bahawa mereka mempunyai masalah nafas berbau. Di sini, pasangan atau kawan rapat memainkan peranan. Mereka perlu jujur menegur atau memaklumkan kepada penghidap halitosis ini.
Tiada apa yang perlu dimalukan kerana bau mulut atau nafas berbau boleh terjadi kepada semua orang. Mengetahui punca dan jalan penyelesaiannya adalah lebih penting.
90% kejadian halitosis berpunca daripada rongga mulut, 9% daripada masalah lain seperti sistem pernafasan, sistem penghadaman dan sistem pengkumuhan. Manakala 1% lagi berpunca daripada pemakanan atau ubat-ubatan.
Artikel ini akan mengulas dengan lebih lanjut mengenai punca, simptom dan rawatan terhadap masalah nafas berbau atau halitosis ini.
Holitosis atau nafas berbau terbentuk daripada molekul meruap yang disebabkan oleh penyakit atau bukan penyakit. Ia juga berasal daripada mulut atau bukan mulut.
Antara sebatian meruap yang boleh menyebabkan nafas berbau iaitu:
- Sebatian sulfur
- Sebatian aromatik
- Sebatian mengandungi nitrogen
- Asid lemak rantaian pendek
- Alkohol
- Keton
Punca Halitosis atau Nafas Berbau
Penyebab utama kepada halitosis atau nafas berbau adalah rongga mulut iaitu melibatkan kira-kira 90% daripada kes halitosis ini. Bakteria yang terkandung dalam rongga mulut ini kebanyakannya menjadi penyumbang kepada nafas berbau.
Selain itu, terdapat beberapa sebab lain yang berasal daripada rongga mulut yang turut menyebabkan nafas berbau. Antaranya adalah:
- Kebersihan mulut yang buruk
- Kesan makanan
- Gingivitis
- Periodontitis
- Luka pada mulut
Selain itu, nafas berbau ini juga boleh disebabkan oleh beberapa perkara yang tidak melibatkan rongga mulut seperti:
- Penyakit pernafasan
- Sinusitis
- Tonsilitis
- Penyakit hati
- Kegagalan hati
- Jangkitan bakteria H. pylori
- Leukimia
- Penyakit buah pinggang
- Kegagalan buah pinggang
- Haid
- Ketoasidosis diabetes
- Penyakit gastrousus
- Kekeringan mulut (xerostomia)
Nafas berbau juga boleh disebabkan oleh makanan, minuman dan ubat-ubatan seperti:
- Bawang putih
- Bawang merah
- Makanan berempah
- Tembakau
- Arak/Alkohol
- Sirih
- Ubat-ubatan
Simptom-simptom Halitosis
Bau bagi nafas berbau adalah berbeza-beza bagi setiap individu bergantung kepada punca yang menyebabkan masalah ini.
Sesetengah orang tidak menyedari bahawa nafas mereka berbau. Oleh itu, minta rakan atau pasangan anda untuk memastikan sama ada nafas anda berbau atau tidak.
Rawatan Halitosis
Mengamalkan amalan kebersihan mulut, mengurangkan risiko penyakit gusi dan mencegah daripada berlakunya kaviti gigi adalah langkah-langkah yang boleh mengurangkan risiko berlakunya nafas berbau.
Selebihnya, rawatan halitosis atau nafas berbau bergantung kepada punca yang menyebabkannya. Sekiranya nafas berbau disebabkan oleh penyakit, pesakit mungkin akan dirujuk kepada pakar yang sesuai.
Sekiranya ia melibatkan kesihatan mulut, doktor gigi adalah individu yang tepat.
Doktor gigi mungkin akan mencadangkan kaedah rawatan berikut:
- Pencuci mulut dan ubat gigi – Sekiranya nafas berbau ini disebabkan oleh bakteria, doktor gigi mungkin akan mencadangkan penggunaan pencuci mulut atau ubat gigi yang boleh membunuh bakteria.
- Rawatan pergigian – Sekiranya nafas berbau ini disebabkan oleh penyakit gusi, pesakit mungkin dirujuk kepada pakar gusi (akar periodontik).
Selain rawatan perubatan atau konvensional, terdapat juga petua atau rawatan dirumah yang turut boleh membantu mengurangkan nafas berbau.
Langkah Pencegahan
Halitosis atau nafas berbau ini boleh dicegah atau dikurangkan dengan beberapa amalan berikut:
- Menjaga kebersihan mulut – Memberus gigi dengan betul, flos gigi dan memberus dicelah-celah gigi adalah penting bagi membersihkan mulut. Selain itu, lapisan selaput atas lidah juga harus dibersihkan bagi mengelakkan nafas berbau.
- Berhenti merokok atau mengunyah tembakau.
- Minum banyak air – Air boleh mengekalkan kelembapan mulut.
- Selalu berjumpa doktor gigi – Lakukan pmeriksaan gigi atau pembersihan gigi bagi mengelakkan penyakit berkaitan gusi seperti gingivitis atau periodontitis.
Rujukan
- Aylıkcı, B. U., & Colak, H. (2013). Halitosis: From diagnosis to management. Journal of natural science, biology, and medicine.
- Wyatt, A.D. (2020). Dental Health and Bad Breath. WebMD.