Nafas berbau atau bau mulut boleh menggugat penampilan dan pergaulan seseorang. Masalah nafas berbau ini boleh dihilangkan melalui beberapa amalan atau cara yang mudah. Oleh itu, ketahui cara-cara untuk menghilangkan nafas berbau dan bau mulut yang kami sediakan ini.
Bahasa perubatan bagi nafas berbau adalah halitosis. Nafas berbau biasanya berpunca daripada mulut dimana terdapat banyaknya bakteria.
Penjagaan kebersihan gigi yang tidak baik adalah punca atau penyebab yang paling lazim yang menyebabkan nafas berbau. Sekiranya anda tidak memberus gigi atau flos gigi secara kerap, bakteria akan membiak pada cebisan-cebisan makanan yang terlekat pada celah-celah gigi.
Bakteria ini akan terus membiak dan akan membentuk satu lapisan bakteria yang dikenali sebagai plak. Sekiranya plak gigi ini tidak dibersihkan, ia akan menghasilkan bau busuk dan boleh menyebabkan kerosakan gigi.
Selain itu, makanan seperti bawang besar dan bawang putih juga boleh menyebabkan nafas berbau. Makanan seperti ini akan merembeskan sebatian sulfur ke dalam salur darah semasa proses penghadaman. Apabila darah ini sampai kepada paru-paru anda, ia akan menjejaskan nafas anda.
Mujurlah, terdapat banyak cara yang boleh membantu mengatasi masalah nafas berbau atau bau mulut ini.
Berikut adalah beberapa cara menghilangkan nafas berbau atau bau mulut yang boleh dicuba.
1. Gosok Gigi
Mengosok gigi sekurang-kurangnya 2 kali sehari pada waktu pagi dan malam boleh membantu menghilangkan nafas berbau atau bau mulut.
Gigi yang tidak bersih dan mempunyai plak menyebabkan bakteria membiak di dalam mulut dan menyebabkan bau busuk.
Pastikan anda turut membersihkan permukaan lidah dengan menggosok dan mengikis bahagian ini semasa menggosok gigi. Ini bagi mengelakkan bakteria berkumpul di permukaan lidah yang turut boleh menyumbang kepada nafas berbau.
2. Menggunakan Ubat Cuci Mulut
Ubat cuci mulut atau mouthwash juga boleh membantu menghilangkan nafas berbau. Selain itu, ubat cuci mulut juga turut boleh melindungi mulut daripada bakteria.
Pastikan anda memilih ubat cuci mulut yang boleh membunuh kuman yang menyebabkan nafas berbau atau bau mulut.
Selain itu, amalan berkumur dengan air selepas makan boleh mengelakkan cebisan-cebisan makanan daripada melekat di celah-celah gigi. Amalan seperti ini boleh membantu mencegah nafas berbau.
3. Minum Air
Mulut kering juga boleh menyebabkan nafas berbau dan bau mulut. Keadaan ini biasa berlaku ketika bulan puasa namun ia akan hilang setelah individu tersebut berbuka puasa.
Dehidrasi, ubat-ubatan dan diet juga boleh menyebabkan mulut kering. Mulut kering ini berlaku apabila kelenjar air liur tidak menghasilkan air liur yang secukupnya untuk menyingkirkan cebisan makanan daripada mulut. Akibatnya, bakteria akan membiak pada cebisan makanan ini dan menyebabkan nafas berbau.
Langkah penyelesaiannya ialah dengan membanyakkan minum air bagi mengelakkan mulut kering.
4. Teh Hijau
Teh hijau adalah teh yang tinggi dengan kandungan antioksidannya. Teh ini mengandungi sebatian yang dikenali sebagai Epigallocatechin-3-gallate (EGCG).
Terdapat kajian yang mendapati ekstrak teh hijau dan EGCG ini boleh mengurangkan bakteria yang menyebabkan nafas berbau ini. [1]
Sekiranya anda mempunyai masalah nafas berbau, boleh cuba amalkan minum teh hijau setiap hari (elakkan mencampur gula).
5. Jus Nanas
Amalan meminum jus nanas juga dipercayai boleh menghilangkan nafas berbau dengan cepat dan berkesan. Walaupun tiada bukti saintifik yang menyokong, tetapi ada yang mendakwa ia berkesan.
Caranya, minum segelas jus nanas asli selepas makan atau kunyah sepotong nanas selama 1 minit atau 2 minit. Kemudian bilas mulut untuk menghilangkan gula buah ini.
6. Yogurt
Yogurt juga boleh membantu mengatasi masalah nafas berbau. Yogurt mengandungi bakteria baik yang dikenali sebagai Lactobacillus. Bakteria baik ini boleh membantu melawan bakteria jahat dalam badan kita.
Satu kajian semula yang diterbitkan pada tahu 2019 melaporkan bahawa pengambilan probiotik terutamanya bakteria jenis Lactobacillus boleh mengurangkan nafas berbau. [2]
Untuk mendapatkan manfaat daripada yogurt ini, ambil sekurang-kurangnya 1 hidangan yogurt asli setiap hari.
7. Susu
Susu juga terkenal dengan kebolehannya untuk mengurangkan nafas berbau dan bau mulut. Terdapat kajian yang menunjukkan meminum susu selepas makan bawang putih boleh mengurangkan nafas berbau akibat bawang putih ini. [3]
Amalkan minum segelas susu rendah lemak selepas makan hidangan yang mengandungi bawang atau bawang putih.
8. Oren atau Lemon
Buah oren atau lemon adalah antara buah yang agak tinggi dengan vitamin C.
Kajian mendapati vitamin C boleh membantu meningkatkan penghasilan air liur. Penghasilan air liur yang mencukupi boleh membantu menghilangkan bau mulut dengan menyingkirkan bakteria penyebab bau dalam mulut. Selain itu, bakteria juga tidak menyukai persekitaran yang berasid. [4]
Oleh itu, makan buah oren atau lemon boleh membantu menghilangkan nafas berbau.
9. Garam Zink
Garam zink adalah bahan yang digunakan dalam sesetengah ubat cuci mulut atau gula-gula getah. Garam zink ini boleh membantu melawan nafas berbau. Garam zink boleh mengurangkan sebatian sulfur yang menyebabkan nafas berbau.
Kajian mendapati penggunaan ubat cuci mulut yang mengandungi garam zink secara kerap adalah berkesan dalam mengurangkan nafas berbau sekurang-kurangnya selama 6 bulan. [5]
10. Rawatan lain yang boleh diamalkan
- Flos gigi: flos gigi selepas makan bagi membuang cebisan makanan yang terlekat pada gigi.
- Bersihkan pendakap gigi: sekiranya anda memakai pendakap gigi bersihkan secara menyeluruh sekurang-kurang sekali sehari.
- Elakkan bawang putih atau bawang: elakkan daripada makan makanan mengandungi banyak bawang putih dan bawang besar. Elakkan juga makanan tinggi gula kerana boleh menyebabkan nafas berbau.
- Kerap menukar berus gigi: tukar berus gigi anda setiap 3-4 bulan sekali dan gunakan berus gigi yang berbulu lembut.
Rumusan
Nafas berbau atau bau mulut adalah masalah yang boleh dirawat dan diatasi. Terdapat banyak cara untuk menghilangkan nafas berbau ini.
Senarai cara menghilangkan nafas berbau atau halitosis ini adalah mudah dan boleh diamalkan oleh sesiapapun. Kunci utama kepada masalah ini sentiasa menjaga kebersihan mulut.
Namun, harus diingat juga nafas berbau boleh menjadi tanda kepada kegagalan buah pinggang, jangkitan atau diabetes ketoacidosis.
Dapatkan rawatan daripada doktor gigi sekiranya bau mulut atau nafas berbau ini tidak menunjukkan sebarang penambahbaikan selepas mencuba pelbagai kaedah menghilangkannya.
Rujukan
- Morin, M. P. et al. (2015). Green tea extract and its major constituent epigallocatechin-3-gallate inhibit growth and halitosis-related properties of Solobacterium moorei. BMC complementary and alternative medicine.
- Yoo, J. I. et al. (2019). The Effect of Probiotics on Halitosis: a Systematic Review and Meta-analysis. Probiotics and antimicrobial proteins.
- Hansanugrum, A., & Barringer, S. A. (2010). Effect of milk on the deodorization of malodorous breath after garlic ingestion. Journal of food science.
- MIKOVIć, I. et al. (2014). Soft Laser, Chewing Gum, and Citric Acid Effects on Salivation.
- Erovic Ademovski, S. et al. (2017). The long-term effect of a zinc acetate and chlorhexidine diacetate containing mouth rinse on intra-oral halitosis-A randomized clinical trial. Journal of clinical periodontology.
- Mayo Clinic Staff. 2018. Bad breath. Mayo Clinic.
- John P. Cunha. 2019. Bad breath (Halitosis). Medicinenet.