Tonsilitis ialah bengkak atau radang tonsil yang berpunca daripada jangkitan bakteria atau virus. Tonsil adalah gumpalan tisu limfoid yang terletak di bahagian tekak. Setiap manusia mempunyai dua biji tonsil iaitu di sebelah kanan dan kiri dinding tekak.
Tonsil berperanan dalam menapis dan memerangkap virus dan bakteria daripada memasuki mulut anda. Namun, sekiranya tonsil ini dijangkiti oleh virus atau bakteria. Tonsil ini akan membengkak.
Jenis-jenis Tonsilitis
Tonsilitis terdiri daripada 3 jenis iaitu akut, kronik dan berulang-ulang.
1. Tonsilitis Akut
Tonsilitis akut adalah keradangan tonsil yang berlaku pada jangka masa yang singkat iaitu kurang daripada 10 hari.
Tonsilitis akut biasanya berlaku dalam kalangan kanak-kanak. Tonsilitis jenis ini biasanya boleh sembuh dengan rawatan dirumah tetapi ada juga yang memerlukan rawatan perubatan seperti antibiotik.
2. Tonsilitis Kronik
Tonsilitis kronik berlaku lebih lama berbanding tonsilitis jenis akut.
Tonsilitis jenis ini juga boleh menyebabkan “tonsil stone” yang terdiri daripada sel-sel mati, air liur dan makanan yang terbentuk di celah tonsil. Bahan-bahan ini boleh mengeras dan membentuk batu kecil.
Batu ini boleh hilang dengan sendirinya atau perlu dibuang oleh doktor.
3. Tonsilitis Berulang-ulang
Tonsilitis berulang-ulang pula berlaku 5 kali atau lebih dalam setahun. [1]
Kajian oleh pengkaji dari Malaysia dan United Kingdom mendapati tonsilitis jenis kronik dan berulang ini mungkin disebabkan oleh biofilem pada tonsil.
Biofilem ialah komuniti mikroorganisma yang tahan kepada antibiotik yang boleh menyebabkan jangkitan yang berulang-ulang. [2]

Kredit imej: James Heilman, MD, CC BY-SA 3.0, melalui Wikimedia Commons
Simptom-simptom Tonsilitis
Selain tonsil yang bengkak, beberapa simptom atau gejala lain yang boleh turut berlaku adalah seperti berikut:
- Demam
- Sakit tekak atau kerongkong
- Sakit kepala
- Mengigil
- Sakit atau sukar untuk menelan
- Suara menjadi serak
- Tonsil menjadi merah dan bengkak
- Tonsil mengandungi tompok-tompok putih kekuningan
- Nafas berbau
- Rasa nyeri pada rahang dan leher
- Sakit telinga
- Hilang selera makan
- Sakit perut (bagi kanak-kanak)
Punca atau Penyebab Tonsilitis
Keradangan tonsil atau tonsil bengkak ini lazimnya boleh disebabkan oleh virus atau bakteria.
1. Bakteria
Bakteria yang selalu mengakibatkan tonsil bengkak adalah bakteria jenis Streptococcus pyogenes (streptococcus kumpulan A). Bakteria ini juga yang menyebabkan sakit tekak.
Terdapat juga kemungkinan jangkitan boleh disebabkan oleh bakteria jenis lain seperti: [3]
- Streptococci kumpulan C dan G
- Haemophilus influenzae
- Nocardia
- Corynebacteria
- Neisseria gonorrhoeae
2. Virus
Tonsilitis akut lazimnya disebabkan oleh virus. Antara beberapa jenis virus yang boleh menyebabkan keradangan tonsil ini adalah:
- Adenovirus
- Epstein Barr Virus
- Human Boca Virus
- Influenza Virus
- Human Immunodeficiency Virus (HIV)
Rawatan Tonsilitis
Tonsilitis yang ringan biasanya boleh dirawat dirumah dan melalui rawatan pesakit luar.
Bagi kes-kes yang ringan, rawatan dirumah kadang-kadang sudah mencukupi untuk merawat keradangan ini.
Namun, bagi kes-kes yang lebih serius, rawatan seperti berikut boleh di dapati dari klinik atau hospital terdekat.
1. Antibiotik
Sekiranya bengkak tonsil ini disebabkan oleh bakteria, doktor akan menetapkan antibiotik untuk melawan jangkitan yang berlaku.
Kebiasaannya, antibiotik akan mempercepatkan penyembuhan. Adalah penting bagi pesakit untuk menghabiskan ubat antibiotik yang telah dipreskripsi oleh doktor bagi mengurangkan risiko rintangan terhadap antibiotik.
2. Pembedahan Tonsilektomi
Pembedahan tonsilektomi adalah pembedahan membuang kedua-dua tonsil.
Kaedah ini kebiasaanya digunakan untuk merawat masalah tonsilitis yang berulang, kronik atau tonsilitis akibat bakteria yang tidak bertindak balas terhadap ubat antibiotik.
Tonsilektomi ini juga mungkin dijalankan bagi kes-kes yang melibatkan komplikasi yang agak teruk seperti:
- Kesukaran bernafas
- Tidur terganggu
- Kesukaran menelan
- Bengkak yang bernanah yang tidak pulih dengan ubat antibiotik
Kajian baru juga menunjukkan pembedahan tonsilotomi (pembuangan tonsil separa) adalah lebih baik berbanding tonsilektomi (pembuangan tonsil sepenuhnya) [4].
Rumusan
Tonsilitis ialah keradangan tonsil yang berpunca daripada virus atau bakteria. Keradangan ini menyebabkan tonsil pesakit bengkak dan boleh disertai oleh simptom-simptom lain seperti demam atau sakit tekak.
Terdapat beberapa jenis keradangan tonsil yang boleh berlaku iaitu jenis akut, kronik atau berulang-ulang. Bagi kes yang ringan, lazimnya bengkak tonsil ini boleh pulih hanya dengan rawatan dirumah.
Namun, jika keadaan yang berlaku lebih serius, pesakit boleh mendapatkan rawatan di klinik atau hospital berdekatan.
Tonsil bengkak yang biasa berlaku kepada kanak-kanak jarang bersifat sebagai kanser. Manakala bagi orang dewasa, sesetengah gejala mungkin mempunyai perkaitan dengan kanser tonsil.
Antara beberapa simptom yang mungkin mempunyai perkaitan dengan kanser tonsil adalah seperti:
i. Tonsil bengkak tetapi tidak sakit
ii. Tonsil bengkak tanpa demam
iii. Tonsil bengkak sebelah
Sila dapatkan diagnosis daripada doktor.
Rujukan
- Georgalas, C. C. et al. (2014). Tonsillitis. BMJ clinical evidence.
- Abu Bakar, M. et al. (2018). Chronic tonsillitis and biofilms: a brief overview of treatment modalities. Journal of inflammation research.
- Windfuhr, J. P. et al. (2016). Clinical practice guideline: tonsillitis I. Diagnostics and nonsurgical management. European archives of oto-rhino-laryngology : official journal of the European Federation of Oto-Rhino-Laryngological Societies (EUFOS) : affiliated with the German Society for Oto-Rhino-Laryngology – Head and Neck Surgery.
- Foki, E. et al. (2017). The effect of tonsillotomy on chronic recurrent tonsillitis in children. Acta oto-laryngologica.