Sakit rahang sama ada kanan atau kiri adalah isu yang mungkin dialami oleh ramai orang. Terdapat banyak punca atau sebab yang menyebabkan sakit rahang. Kebanyakan sakit rahang tidak memerlukan rawatan perubatan.
Walau bagaimanapun, sakit rahang boleh menjadi tanda atau gejala kepada masalah kesihatan yang lebih serius yang memerlukan rawatan perubatan.
Sekiranya anda mengalami sakit rahang yang teruk, semakin teruk atau berterusan. Adalah terbaik untuk berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan yang tepat.
Punca-punca
Sakit rahang boleh disebabkan oleh kecederaan fizikal, kerosakan pada saraf atau saluran darah, jangkitan, dan beberapa sebab lain.
1. Gangguan Otot dan Sendi Temporomandibel (TMD)
TMD adalah punca yang paling lazim yang menyebabkan sakit rahang. TMD juga dikenali sebagai TMJ. Sendi temporomandibel adalah sendi engsel bagi setiap sisi rahang.
Gangguan sendi temporomandibel adalah sekumpulan keadaan yang menjejaskan tulang, sendi, dan otot yang bertanggungjawab untuk pergerakan rahang. Keadaan ini boleh menyebabkan kesakitan dan ketidakselesaan.
Simptom-simptom yang berlaku mungkin berbeza-beza, antaranya adalah:
- Sakit di muka dan rahang
- Kancing gigi
- Gigi yang sensitif
- Sensasi rasa membakar dalam mulut
- Sukar untuk mengunyah
- Sukar untuk membuka mulut
- Bunyi klik, “pop” atau mengisar
2. Sakit Gigi
Kadangkala jangkitan gigi yang teruk dikenali sebagai abses gigi boleh menyebabkan sakit yang memancar ke rahang.
Selain itu, kaviti gigi, keluar gigi bongsu atau penyakit gusi juga boleh menyebabkan sakit rahang sama ada sebelah kanan atau kiri.
3. Artritis
Artritis menjejaskan sendi. Sendi anda mungkin meradang atau mula rosak selari dengan peningkatan usia.
Jika anda menghidap artritis, ia boleh menjejaskan sendi temporomandibel anda dan menyebabkan sakit rahang.
4. Pengertakan Gigi (Mengisar Gigi)
Ramai orang mengetap atau mengertak (mengisar) gigi semasa tidur atau semasa tekanan emosi. Ini juga dikenali sebagai bruksisme
Tindakan ini boleh menyebabkan kerosakan gigi yang ketara dan sakit rahang.
5. Kecederaan
Sakit rahang juga boleh berpunca daripada rahang yang patah atau rahang yang terkehel.
Rahang terkehel berlaku apabila tulang rahang bawah anda bergerak keluar dari salah satu sendi temporomandibel anda.
6. Beguk
Beguk adalah penyakit berjangkit yang boleh menyebabkan sakit rahang kerana penyakit ini menyebabkan kelenjar air liur membengkak.
Kelenjar air liur anda terletak di antara telinga dan rahang anda.
7. Jangkitan
Jangkitan bakteria seperti sinusitis atau tetanus (kancing gigi) boleh menyebabkan sakit rahang.
Selain itu, jangkitan yang dipanggil osteomyelitis boleh menjejaskan tulang rahang dan tisu yang berkaitan dengannya.
Jika ia tidak dirawat, jangkitan boleh memotong bekalan darah ke rahang anda dan merosakkan tisu tulang di sana secara kekal.
8. Sakit Kepala Kluster
Sakit kepala kluster biasanya menyebabkan sakit di belakang atau di sekitar salah satu mata, tetapi rasa sakit boleh menjalar ke rahang.
Sakit kepala kluster adalah salah satu jenis sakit kepala yang paling menyakitkan.
9. Neuralgia Trigeminal
Neuralgia trigeminal adalah keadaan yang biasanya disebabkan oleh mampatan saraf pada saraf trigeminal yang memberikan sensasi kepada sebahagian besar muka, termasuk rahang atas dan bawah.
10. Serangan Jantung
Serangan jantung boleh menyebabkan kesakitan di bahagian lain badan selain dada, seperti lengan, belakang, leher, dan rahang. Wanita khususnya mungkin mengalami sakit rahang di sebelah kiri muka mereka semasa serangan jantung.
Hubungi 999 dengan segera atau minta untuk dibawa ke hospital jika anda mengalami simptom-simptom berikut:
- Ketidakselesaan dada
- Berpeluh
- Sesak nafas
- Loya
- Berasa hendak pitam
Rawatan
Rawatan untuk sakit rahang bergantung pada apa yang menyebabkannya. Antara pilihan-pilihan rawatan yang ada adalah:
Doktor mungkin mempreskripsi ubat-ubatan berikut:
- Antibiotik sekiranya sakit tersebut disebabkan oleh jangkitan bakteria.
- Ubat oral, semburan atau topikal untuk melegakan kesakitan.
- Pengendur otot
- Suntikan steroid untuk mengurangkan bengkak atau keradangan.
- Terapi antivirus untuk merawat jangkitan virus.
Bagi kes-kes terpencil, pembedahan rahang mungkin disarankan untuk membetulkan masalah TMD.
Rawatan pergigian seperti:
- Rawatan kanal akar
- Mencabut gigi
- Meletakkan pek ais atau tuala suam di rahang
Melakukan terapi fizikal seperti:
- Pelindung mulut bagi melindungi gigi, sendi dan otot jika anda mengisar gigi.
- Terapi fizikal untuk mengendurkan rahang yang ketat.
- Regangan untuk meningkatkan fleksibiliti otot.
Rujukan
- Cleveland Clinic medical professional. (2022). Jaw Pain. Cleveland Clinic
- Smith, L. (2020). Everything you need to know about jaw pain. MedicalNewsToday