Adakah anda dapati warna lidah anda berubah? Perubahan warna tersebut mungkin menandakan anda mungkin mengalami masalah kesihatan yang tersembunyi.
Terdapat banyak simptom-simptom atau gejala yang menunjukkan bahawa anda mempunyai masalah lidah dan salah satu daripadanya adalah perubahan warna.
Lidah yang sihat adalah berwarna merah jambu (pink) dengan lapisan putih yang nipis. Warna merah jambu ini boleh jadi merah jambu cerah atau merah jambu gelap.

Lidah yang sihat juga mempunyai bonjolan-bonjolan kecil pada bahagian atas dan tepi. Bonjolan-bonjolan ini dikenali sebagai papila.
Warna lidah yang berubah ini menunjukkan masalah kesihatan yang tersembunyi. Sesetengah daripadanya boleh pulih dengan sendirinya, manakala sesetengah yang lain memerlukan rawatan.
Berikut adalah beberapa perubahan warna lidah dan punca-punca yang mungkin menyebabkannya:
1. Warna Lidah Putih
Sekiranya lidah berubah menjadi pucat dengan tompok-tompok putih, ia mungkin disebabkan oleh jangkitan kulat seperti seriawan mulut atau turut dikenali sebagai kandidiasis.
Jangkitan seperti ini selalunya terjadi kepada bayi atau orang tua terutamanya pemakai gigi palsu atau mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah.
Seriawan mulut boleh menyakitkan dan menyebabkan tompok tebal, putih atau merah terbentuk pada lidah. Seseorang mungkin mengalami masalah menelan atau makan.
Selain itu, lidah putih juga boleh disebabkan oleh leukoplakia. Leukoplakia menyebabkan tompok-tompok atau plak putih terbentuk pada lidah. Biasanya ia disebabkan oleh merokok.
Warna lidah putih juga boleh disebabkan oleh sejenis ruam yang dikenali sebagai liken planus mulut. Biasanya ia boleh pulih dengan sendirinya.
2. Warna Lidah Merah
Terdapat banyak faktor yang boleh menyebabkan lidah yang berwarna merah jambu menjadi warna merah.
Kekurangan vitamin B9 (asid folik) dan vitamin B12 boleh menyebabkan lidah berubah warna kepada merah.
Lidah yang merah dan berbonjol juga boleh disebabkan oleh glositis iaitu keradangan di bahagian lidah.
Demam marak juga boleh menyebabkan lidah menjadi merah. Dapatkan rawatan sekiranya anda mengalami demam panas dan lidah merah. Rawatan antibiotik diperlukan untuk demam marak.
Bagi kes-kes terpencil, lidah merah juga boleh menjadi petanda kepada penyakit Kawasaki.
3. Warna Lidah Hitam
Walaupun merisaukan dari segi penampilan, lidah hitam dan berbulu biasanya tidak serius. Ia mungkin disebabkan oleh pertumbuhan berlebihan bakteria, keratin dan serpihan lain yang terperangkap pada lidah anda.
Penimbunan keratin boleh menyebabkan lidah menjadi hitam dan berbulu. Penimbunan boleh disebabkan oleh:
- Kebersihan mulut yang teruk
- Ubat seperti antibiotik
- Merokok
- Terapi radiasi
Tambahan itu, meminum kopi atau teh hitam juga boleh menyebabkan lidah hitam.
Bagi kes-kes terpencil, lidah hitam juga boleh disebabkan oleh masalah kesihatan seperti diabetes atau HIV.
4. Warna Lidah Ungu
Lidah mungkin bertukar menjadi ungu akibat peredaran darah yang lemah atau penyakit jantung.
Lidah ungu juga boleh menjadi tanda kepada penyakit Kawasaki. Ini adalah keadaan yang jarang berlaku tetapi serius yang menyebabkan keradangan saluran darah.
5. Warna Lidah Kelabu
Lidah berubah menjadi kelabu atau tompok putih kelabu boleh disebabkan oleh ekzema.
6. Warna Lidah Kuning
Lidah berwarna kuning boleh disebabkan oleh pertumbuhan bakteria.
Kebersihan mulut yang buruk dan mulut kering masing-masing boleh membawa kepada pertumbuhan berlebihan bakteria pada lidah.
Dalam kes-kes terpencil, lidah kuning juga boleh disebabkan oleh diabetes atau jaundis.
7. Warna Lidah Oren (Jingga)
Lidah oren boleh juga disebabkan oleh punca yang menyebabkan lidah menjadi kuning. Contohnya seperti mulut kering atau kebersihan mulut yang teruk.
Antibiotik dan makanan tertentu juga boleh menjadikan lidah menjadi oren.
8. Warna Lidah Biru
Warna biru pada lidah boleh menjadi petanda bahawa anda kekurangan oksigen dalam darah. Ini mungkin akibat daripada:
- Gangguan darah
- Oksigen yang kurang dari paru-paru
- Penyakit saluran darah
- Penyakit buah pinggang
Paras oksigen dalam darah yang rendah adalah serius dan berbahaya. Sila dapatkan rawatan segera.
9. Warna Lidah Hijau
Lidah mungkin bertukar hijau kerana pengumpulan bakteria, dan puncanya mungkin sama dengan lidah kuning atau putih.
Dalam sesetengah kes, salutan berbulu terbentuk.
Bila Perlu Berjumpa Doktor?
Beberapa perubahan atau rona warna tidak berbahaya. Sebagai contoh, warna lidah seseorang mungkin berubah apabila mereka makan buah naga atau menghisap gula-gula yang berwarna.
Sila berjumpa doktor apabila anda dapati lidah anda mengalami perubahan warna, bentuk atau saiz yang bertahan lebih lama daripada beberapa hari.
Di samping itu, sebarang perubahan pada salutan lidah boleh menunjukkan jangkitan dan mungkin memerlukan rawatan.
Rujukan
- Parker, H. (2020). Tongue Problems. WebMD.
- Yu, Z., Zhang et al. (2017). Objective research on tongue manifestation of patients with eczema. Technology and health care.
- Hsu, P. C. et al. (2019). The tongue features associated with type 2 diabetes mellitus. Medicine.