Diabetes jenis 2 atau penyakit kencing manis jenis 2 adalah penyakit yang berlaku apabila glukosa dalam darah, juga dipanggil gula darah, terlalu tinggi. Gula darah adalah sumber utama tenaga untuk badan dan ia datang daripada makanan yang dimakan.
Insulin adalah hormon yang dihasilkan oleh pankreas. Hormon ini bertanggungjawab membantu gula masuk ke dalam sel-sel badan untuk digunakan sebagai tenaga.
Bagi pesakit diabetes jenis 2, terdapat dua kemungkinan iaitu pankreas mereka tidak menghasilkan insulin yang mencukupi atau sel-sel tidak menggunakan insulin dengan baik. Akibatnya, lebih banyak gula kekal di dalam darah dan gula ini tidak sampai ke dalam sel-sel.

Siapa yang Lebih Berkemungkinan Menghidap Diabetes Jenis 2?
Asasnya, semua orang pada usia apa pun boleh menghidap diabetes jenis 2, termasuklah kanak-kanak.
Namun, lazimnya golongan pertengahan umur atau golongan berusia (tua) lebih cenderung untuk menghidap penyakit ini.
Terdapat beberapa faktor risiko yang meningkatkan risiko kepada penyakit ini. Antaranya adalah:
- Berusia 45 tahun dan ke atas
- Obesiti atau berat badan berlebihan
- Tidak aktif
- Menghidap tekanan darah tinggi
- Keturunan
- Paras lipid (lemak) dalam darah yang tinggi
- Pradiabetes
- Menghidap sindrom ovari polisistik (PCOS)
Gejala atau Simptom-simptom
Gejala atau simptom-simptom diabetes jenis 2 biasanya terbentuk secara perlahan-lahan. Malah seseorang boleh hidup dengan penyakit ini bertahun lamanya tanpa menyedari.
Antara gejala dan simptom-simptom yang mungkin boleh berlaku adalah:
- Kerap kencing
- Peningkatan rasa dahaga
- Peningkatan rasa lapar
- Penurunan berat badan tanpa dirancang
- Keletihan
- Penglihatan kabur
- Penyembuhan luka yang perlahan
- Jangkitan yang kerap
- Kebas atau semut-semut di tangan dan kaki
- Terdapat bahagian kulit gelap, biasanya di ketiak dan leher
Punca
Penyakit diabetes jenis 2 umumnya disebabkan oleh dua masalah yang saling berhubung kait, iaitu:
- Sel-sel dalam otot, lemak dan hati menjadi rintang kepada insulin. Sel-sel ini tidak berinteraksi dengan cara yang normal dengan insulin. Akibatnya mereka tidak mengambil gula yang mencukupi.
- Pankreas tidak menghasilkan insulin yang cukup untuk menguruskan paras gula darah.
Punca yang tepat kenapa keadaan ini berlaku tidak diketahui dengan tepat. Tetapi, mempunyai berat berlebihan dan tidak aktif adalah kunci yang menyumbang kepada masalah ini.
Diagnosis
Diabetes jenis 2 biasanya didiagnosis menggunakan ujian darah seperti ujian glycated hemoglobin (A1C). Ujian ini turut dipanggil A1c atau HbA1c.
Ujian darah ini akan mengukur purata paras gula darah untuk 2 hingga 3 bulan yang lalu. Hasil daripada ujian tersebut akan ditafsirkan mengikut tetapan berikut:
- Di bawah 5.7% adalah normal
- 5.7% higga 64% didiagnosis sebagai pradiabetes
- 6.5% atau lebih tinggi pada dua ujian berbeza menandakan diabetes
Selain itu, ujian-ujian berikut mungkin turut dijalankan semasa mendiagnosis diabetes:
- Ujian darah puasa: Sampel darah yang diambil selepas berpuasa semalaman. Nilai bacaan 126 mg/dL (7 mmol/L) atau lebih tinggi pada dua ujian berbeza menunjukkan diabetes.
- Ujian darah rawak: Tidak kira bila kali terakhir anda makan,nilai bacaan 200 mg/dL (11.1 mmol/L) atau lebih tinggi menunjukkan diabetes.
- Ujian toleransi glukosa oral: Lazim dilakukan semasa mengandung. Anda perlu berpuasa semalaman dan meminum air manis di pejabat doktor (klinik/hospital). Paras gula darah diuji secara berkala pada dua jam berikutnya. Nilai bacaan 200 mg/dL (11.1 mmol/L) atau lebih tinggi selepas 2 jam menunjukkan diabetes.
Rawatan
Penyakit diabetes jenis 2 boleh diuruskan melalui:
- Pemakanan yang sihat
- Senaman yang kerap
- Pengurangan berat badan
- Ubat diabetes atau terapi insulin
- Memantau gula darah, tekanan darah tinggi, dan kolesterol
- Berhenti merokok
Komplikasi
Diabetes jenis 2 menjejaskan banyak organ utama termasuk jantung, saluran darah, saraf, mata dan buah pinggang anda.
Sekiranya penyakit ini tidak diuruskan atau ditangani, ia boleh membawa kepada komplikasi seperti:
- Penyakit jantung dan saluran darah
- Kerosakan saraf di anggota badan
- Penyakit buah pinggang
- Kerosakan mata
- Penyembuhan yang perlahan
- Apnea tidur
- Kecacatan pendengaran
- Demensia
- Terdedah kepada jangkitan kulit
Langkah Pencegahan
Gaya hidup yang sihat boleh membantu mencegah penyakit diabetes jenis 2. Jika anda didiagnosis dengan pradiabetes, perubahan gaya hidup boleh memperlahankan atau menghentikan perkembangan diabetes.
Mulakan gaya hidup sihat anda dengan perkara-perkara berikut:
- Makan makanan yang sihat: Pilih makanan yang rendah lemak, kalori dan tinggi dengan serat. Banyakkan memakan sayur-sayuran, buah-buahan dan bijirin penuh.
- Kekal aktif: Sasarkan aktiviti fizikal seperti berjalan laju, berjoging, berlari atau berenang sebanyak 150 minit atau lebih setiap minggu.
- Kurangkan berat badan: Menurunkan berat badan boleh melambatkan perkembangan diabetes.
- Elakkan daripada tidak aktif terlalu lama: Duduk terlalu lama boleh meningkatkan risiko kepada penyakit diabetes. Cuba untuk bangun setiap 30 minit dan bergerak sekurang-kurangnya beberapa minit.
Rujukan
- Basu, R. (n.d.). Type 2 Diabetes. National Institute of Diabetes and Digestive and Kidney Disease.
- Mayo Clinic Staff. (2021). Type 2 Diabetes. MayoClinic.