Strok haba adalah penyakit berkaitan haba yang teruk yang melibatkan peningkatan suhu badan yang biasanya, tetapi tidak selalu, melebihi 40°C.
Apabila strok haba ini berlaku, badan tidak lagi boleh mengawal suhunya. Akibatnya, suhu badan akan meningkat dengan mendadak, mekanisme peluh akan gagal berfungsi dan badan tidak dapat menyejukkan diri.
Apabila strok haba berlaku, suhu badan boleh meningkat sehingga 40°C atau lebih dalam masa 10-15 minit. Sekiranya tidak diberikan rawatan, pesakit boleh mengalami komplikasi serius atau kematian.
Simptom-simptom atau Gejala Strok Haba
Simptom-simptom dan tanda strok haba yang boleh berlaku adalah:
- Peningkatan suhu teras badan kepada 40°C atau lebih
- Kekeliruan
- Sawan
- Meracau
- Agitasi (pengocakan)
- Percakapan yang tidak jelas
- Kulit berasa panas dan kering apabila disentuh (bagi strok haba akibat cuaca panas)
- Kulit berasa kering atau sedikit lembap (bagi strok haba akibat senaman berat)
- Loya dan muntah
- Pernafasan laju
- Denyutan jantung laju
- Sakit kepala (berdenyut-denyut)
- Tidak sedarkan diri (koma)
Punca atau Penyebab
Strok haba boleh berlaku akibat daripada:
- Terdedah cuaca panas: Strok haba jenis ini biasanya berlaku selepas terdedah kepada cuaca panas dan lembap, terutamanya untuk tempoh yang berpanjangan.
- Aktiviti berat: Strok haba jenis ini disebabkan oleh peningkatan suhu teras badan yang disebabkan oleh aktiviti fizikal yang berat dalam cuaca panas.
Diagnosis
Biasanya, ia jelas kepada doktor jika anda mengalami strok haba, tetapi ujian makmal boleh mengesahkan diagnosis, menolak punca lain untuk gejala anda dan menilai kerosakan organ.
Ujian-ujian ini termasuk:
- Suhu rektum: Untuk memeriksa suhu teras badan.
- Ujian darah: Untuk memeriksa paras natrium dan kalium dalam darah serta untuk memeriksa kandungan gas dalam darah.
- Ujian air kencing: Untuk memeriksa warna air kencing anda, biasanya ia lebih gelap jika anda mempunyai keadaan yang berkaitan dengan haba dan untuk memeriksa fungsi buah pinggang anda yang boleh terjejas oleh strok haba.
- Ujian fungsi otot: Untuk memeriksa kerosakan serius terhadap tisu-tisu otot.
- Sinar-X dan ujian pengimejan yang lain: Untuk memeriksa kerosakan organ dalaman.
Rawatan
Rawatan strok haba menumpukan kepada menyejukkan badan anda kepada suhu normal untuk mencegah atau mengurangkan kerosakan pada otak dan organ penting anda.
Antara langkah-langkah rawatan yang mungkin diambil oleh doktor adalah:
- Tenggelamkan anda dalam air sejuk: Mandi air sejuk atau air batu telah terbukti sebagai cara paling berkesan untuk menurunkan suhu teras badan dengan cepat. Lebih cepat anda boleh menerima rendaman air sejuk, semakin kurang risiko kematian dan kerosakan organ.
- Bungkus anda dengan ais dan selimut penyejuk: Kaedah lain ialah dengan membalut anda dengan selimut penyejuk khas dan meletakkan pek ais pada selangkang, leher, belakang dan ketiak anda untuk menurunkan suhu anda.
- Menggunakan teknik penyejukan penyejatan: Jika rendaman air sejuk tidak tersedia, doktor mungkin cuba menurunkan suhu badan anda menggunakan kaedah penyejatan. Air sejuk berkabus dikabuskan di atas badan anda manakala udara hangat ditiup ke atas anda, menyebabkan air menyejat dan menyejukkan kulit anda.
- Memberikan ubat untuk menghentikan menggigil: Jika rawatan untuk menurunkan suhu badan membuat anda menggigil, doktor mungkin memberi anda pengendur otot seperti benzodiazepine. Menggigil meningkatkan suhu badan anda, menjadikan rawatan kurang berkesan.
Komplikasi
Sekiranya tidak dirawat, strok haba boleh menyebabkan komplikasi yang serius seperti:
- Otak bengkak
- Kegagalan buah pinggang
- Kegagalan hati
- Kerosakan saraf
- Disfungsi metabolik
- Mengurangkan aliran darah ke jantung
- Acute respiratory distress syndrome (ARDS)
- Kematian
Pencegahan
Strok haba boleh diramalkan dan dicegah. Anda boleh mengambil beberapa langkah pencegahan bagi mengelakkan strok haba semasa cuaca panas seperti:
- Memakai pakaian cerah dan longgar
- Minum air kosong yang banyak
- Memakai losyen pelindung matahari
- Elakkan aktiviti luar rumah ketika cuaca panas sekitar jam 10 pagi hingga 4 petang
- Memakai topi atau payung ketika berada di luar
- Jangan tinggalkan anak atau sesiapa sahaja di dalam kereta yang di parkir
- Elakkan aktiviti berat dalam cuaca panas
Pertolongan Cemas
Sekiranya berlaku kecemasan berkaitan strok haba, sila ambil langkah-langkah berikut:
- Hubungi 999 untuk bantuan rawatan kecemasan
- Teman pesakit sehingga pihak perubatan sampai
- Bawa pesakit ke kawasan yang teduh, sejuk dan buka pakaian luar
- Sejukkan pesakit dengan:
- Lembapkan kulitnya menggunakan air sejuk atau ais
- Letakkan kain basah dan sejuk pada kulit
- Rendam pakaian dengan air sejuk
- Letakkan kain basah dan sejuk atau pek ais di kepala, leher, ketiak dan selangkang
- Pastikan udara di sekeliling pesakit beredar untuk mempercepatkan penyejukan.
Rujukan
- Mayo Clinic Staff. (2022). Heatstroke. MayoClinic
- Morris A, Patel G. Heat Stroke. [Updated 2023 Feb 13]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2023 Jan-. Available from: NCBI
- Centers for Disease Control and Prevention. Heat Stress – Heat Related Illness