Cuaca panas di Malaysia pada masa ini meletakkan individu berisiko untuk mengalami strok haba. Bagi membantu anda mengelakkan strok haba, kami kongsikan panduan untuk mengelakkan strok haba yang mudah untuk dilakukan.
Strok haba adalah keadaan yang disebabkan oleh badan anda yang terlebih panas biasanya akibat terdedah terlalu lama dalam suhu yang panas. Strok haba boleh berlaku apabila suhu badan meningkat kepada 40°C atau lebih dalam masa 10-15 minit.
Apabila strok haba akan berlaku, badan anda tidak lagi mampu mengawal suhu; suhu badan akan meningkat dengan cepat, mekanisme peluh akan gagal dan badan tidak dapat menyejuk.

Strok haba memerlukan rawatan kecemasan. Jika dibiarkan atau tidak mendapat rawatan segera, ia boleh mengakibatkan kerosakan terhadap otak, jantung, buah pinggang dan otot.
Sekiranya kerosakan semakin teruk, ia boleh meningkatkan risiko kepada komplikasi yang serius atau kematian.
Sebagai langkah berjaga-jaga, beberapa panduan atau tips yang boleh anda amalkan bagi mengelakkan strok haba adalah seperti berikut:
1. Minum Air yang Mencukupi
Adalah penting untuk anda kekal terhidrasi semasa cuaca panas ini. Oleh itu, minum air kosong yang banyak dan mencukupi.
Bagaimana untuk mengetahui bahawa anda mendapatkan air yang mencukupi? Warna air kencing anda boleh memberi jawapannya. Warna air kencing yang jernih atau kuning pucat menunjukkan anda mendapatkan air yang mencukupi.
Elakkan minuman berkafein atau alkohol kerana minuman-minuman seperti ini membuatkan anda lebih kerap membuang air kecil.
2. Pakai Baju Nipis, Longgar dan Cerah
Panduan mengelakkan strok haba yang seterusnya adalah memakai pakaian yang sesuai ketika berada di luar rumah.
Pilih pakaian yang nipis, longgar dan berwarna cerah. Elakkan pakaian yang tebal, ketat dan berwarna gelap seperti warna hitam atau hijau gelap.
Pilih baju yang diperbuat daripada kapas kerana ia menyerap peluh dan sejuk.
3. Memakai Topi atau Menggunakan Payung
Jika anda perlu keluar rumah semasa cuaca panas, sila gunakan payung atau memakai topi bagi memberi sedikit perlindungan kepada diri anda.
4. Elakkan Berada di Luar Pada Waktu Panas
Sekiranya anda mempunyai pilihan, elakkan berada di luar rumah atau pejabat pada waktu panas iaitu sekitar jam 10.00 pagi hingga 4.00 petang.
Sekiranya anda bekerja di luar dan terdedah kepada panas terik matahari, gunakan pelindung seperti topi dan memakai pakaian yang bersesuaian.
Pastikan juga anda sentiasa meminum air yang mencukupi.
5. Gunakan Losyen Pelindung Matahari
Panduan mengelakkan strok haba yang seterusnya adalah menggunakan losyen pelindung matahari yang mempunyai nilai SPF 15 dan ke atas.
Nilai SPF ini menunjukkan berapa banyak perlindungan yang diberikan oleh produk tersebut terhadap sinaran UV yang berbahaya.
Losyen pelindung matahari ini boleh membantu melindungi kulit anda daripada selaran matahari (sunburn), kanser kulit dan penuaan kulit.
6. Banyakkan Berehat
Bayi, kanak-kanak kecil, warga emas dan penghidap penyakit kronik adalah golongan yang lebih berisiko untuk mengalami strok haba.
Golongan-golongan ini perlu banyakkan berehat di tempat yang teduh atau berhawa dingin. Jangan biarkan mereka ini melakukan aktiviti di tempat yang panas.
7. Jangan Meninggalkan Sesiapa di Dalam Kereta di Kawasan Parkir Kenderaan
Ini adalah punca biasa kematian berkaitan haba pada kanak-kanak.
Apabila diletakkan di bawah sinaran matahari, suhu dalam kereta boleh meningkat melebihi 11°C dalam masa 10 minit.
Adalah tidak selamat untuk meninggalkan seseorang di dalam kereta yang diletakkan dalam cuaca panas, walaupun tingkap dibuka atau kereta berada di teduhan.
Justeru itu, ambil langkah berjaga-jaga dengan memastikan tiada siapa yang berada di dalam kenderaan sebelum anda meninggalkan kenderaan anda.