Apa itu Melanoma?
Melanoma adalah sejenis kanser kulit yang serius yang terbentuk dalam sel-sel yang menghasilkan melanin iaitu melanosit. Melanin adalah pigmen yang memberikan kulit anda warna.
Melanoma boleh juga berlaku di dalam mata atau dalam badan seperti dalam hidung atau kerongkong (jarang-jarang).
Kanser kulit ini berlaku apabila melanosit mula tumbuh tanpa kawalan. Walaupun melanoma adalah sejenis kanser kulit yang jarang-jarang berlaku tetapi ia lebih berbahaya kerana boleh merebak ke bahagian badan yang lain jika tidak dirawat.
Melanoma boleh terbentuk di mana-mana pada kulit, tetapi kawasan tertentu lebih berisiko daripada yang lain.
Bagi lelaki, ia berkemungkinan besar berlaku di bahagian dada dan belakang. Bagi wanita, kaki adalah tempat yang paling biasa berlaku.
Tahap-tahap Melanoma
Tahap kanser semasa diagnosis akan menunjukkan sejauh mana ia telah merebak dan jenis rawatan yang sesuai.
Tahap kanser ini dibahagikan kepada 5 tahap atau peringkat iaitu bermula dari 0 hingga 4.
- Tahap 0: Kanser hanya berlaku hanya di lapisan paling luar kulit. Doktor merujuk tahap ini sebagai “melanoma in situ”.
- Tahap 1: Kanser ini mempunyai ketebalan sehingga 2 milimeter (mm). Belum lagi merebak ke nodus limfa atau bahagian yang lain. Mungkin berulser atau tidak.
- Tahap 2: Kanser ini sekurang-kurangnya 1 mm tebal tetapi boleh lebih tebal daripada 4 mm. Belum lagi merebak ke nodus limfa atau bahagian lain. Mungkin berulser atau tidak.
- Tahap 3: Kanser telah merebak ke satu atau lebih nodus limfa atau pembuluh limfa terdekat. Kanser yang asal tidak lagi kelihatan. Jika masih kelihatan, ia mungkin lebih tebal daripada 4mm dan berulser.
- Tahap 4: Kanser telah merebak ke nodus limfa atau organ yang jauh, seperti otak, paru-paru, atau hati.
Jenis-jenis Melanoma
Secara umumnya, terdapat 5 jenis melanoma iaitu:
- Superficial spreading melanoma: Kanser jenis ini lazim berlaku kepada mereka yang mempunyai kulit pucat dan berjeragat serta kurang berlaku kepada mereka yang berkulit gelap.
- Nodular melanoma: Kanser jenis ini adalah jenis yang cepat terbentuk dan boleh tumbuh ke dalam lapisan kulit dengan cepat jika tidak dibuang.
- Lentigo maligna melanoma: Kanser jenis ini lazimnya berlaku kepada golongan berusia terutamanya mereka banyak menghabiskan masa di luar rumah. Ia terbentuk secara perlahan dan selalunya terbentuk dikawasan yang sering terdedah kepada cahaya matahari.
- Acral lentiginous melanoma: Kanser jenis ini jarang-jarang berlaku. Ia lazimnya tumbuh di tapak tangan dan tapak kaki.
- Amelanotic melanoma: Kanser jenis ini tidak berwarna atau mempunyai sedikit warna, lama-kelamaan ia boleh bertukar kepada warna merah jambu, merah atau mempunyai hujung yang berwarna coklat atau kelabu.
Simptom-simptom
Melanoma boleh terbentuk dimana-mana bahagian badan. Ia lebih kerap terbentuk di kawasan yang terdedah kepada cahaya seperti belakang , tangan, kaki dan muka.
Ia juga boleh berlaku di kawasan yang tidak menerima banyak pendedahan cahaya matahari, seperti tapak kaki, tapak tangan dan katil kuku.
Beberapa ciri-ciri luar biasa tahi lalat berikut mungkin menjadi petanda kepada melanoma atau kanser kulit yang lain:
- Mempunyai bentuk yang tidak simetri.
- Mempunyai sempadan yang tidak sekata, berlekuk atau bergerigi.
- Mempunyai banyak warna atau warna yang tidak sekata.
- Mempunyai diameter melebihi 6 milimeter (6 mm).
- Berubah dari segi saiz, warna atau bentuk dalam satu tempoh masa (mungkin turut menyebabkan gatal-gatal dan berdarah).
Diagnosis
Beberapa ujian atau prosedur yang mungkin dijalankan oleh doktor dalam mengenal pasti melanoma adalah:
- Pemeriksaan fizikal.
- Pengambilan tisu untuk ujian (biopsi) – biasanya melibatkan pembuangan keseluruhan tisu yang disyaki sebagai melanoma.
Rawatan
Rawatan bagi peringkat awal biasanya melibatkan pembedahan pembuangan melanoma. Melanoma yang masih nipis boleh dibuang sepenuhnya semasa biopsi dan tidak memerlukan rawatan lanjut.
Namun, bagi kes melanoma yang telah merebak jauh ke dalam kulit, beberapa pilihan rawatan yang boleh membantu adalah:
- Pembedahan membuang nodus limfa yang dijangkiti. Pakar bedah akan membuang nodus limfa yang dijangkiti sekiranya kanser ini telah merebak ke nodus limfa berdekatan.
- Imunoterapi. Terapi ini menggunakan ubat yang membantu sistem imun melawan kanser.
- Terapi bersasar. Terapi ini menggunakan ubat yang menyasarkan kepada kelemahan yang wujud pada sel-sel kanser.
- Terapi radiasi. Terapi ini menggunakan pancaran tenaga berkuasa tinggi untuk membunuh sel-sel kanser.
- Kemoterapi. Terapi ini menggunakan ubat untuk membunuh sel-sel kanser.
Rujukan
- NHS. (2020). Skin cancer (melanoma).
- Mayo Clinic Staff. (2020). Melanoma. Mayo Clinic [pautan].