Sekiranya anda ingin menghilangkan jeragat menggunakan produk atau bahan alami, petua menghilangkan jeragat ini mungkin sesuai untuk anda.
Jeragat ialah bintik yang berwarna coklat yang muncul di atas kulit. Jeragat ini terdiri daripada kumpulan sel kulit yang mengandungi pigmen melanin. Ia adalah kesan daripada penghasilan melanin yang berlebihan.
Jeragat tidak menyebabkan kesakitan atau berbahaya. Tetapi, jeragat yang banyak boleh menyebabkan seseorang itu kurang keyakinan diri dan mengakibatkan masalah dalam pergaulan sosial.
Jeragat boleh berlaku akibat daripada terdedah kepada sinaran matahari dan berkemungkinan juga disebabkan oleh genetik.
Berikut dikongsikan beberapa petua menghilangkan dan mencegah jeragat yang boleh dilakukan sendiri.
1. Produk Perlindung Matahari
Produk perlindung matahari 30 SPF ke atas dapat melindungi kulit anda daripada sinaran matahari. Produk ini tidak boleh menghilangkan jeragat yang lama tetapi boleh mencegah pembentukan jeragat yang baru.
Sapukan perlindung matahari ini 15 minit sebelum keluar ke kawasan yang panas atau terdedah cahaya matahari.
2. Buah Lemon
Buah lemon mengandungi asid askorbik atau vitamin C.
Asid askorbik mempunyai banyak khasiatnya termasuklah mempunyai ciri-ciri antimelanogenic yang bermanfaat untuk merawat hiperpigmentasi (penghasilan melanin yang berlebihan). [1]
Sapukan jus lemon menggunakan kapas pada kawasan jeragat. Bilas kawasan tersebut selepas 15-20 minit.
3. Aloe Vera (Lidah Buaya)
Aloe vera sangat terkenal dengan kebaikannya dalam merawat masalah kulit seperti jerawat, parut jerawat dan juga untuk hilangkan jeragat.
Aloe vera mengandungi komponen yang dikenali sebagai aloesin. Aloesin didapati berkesan untuk mengurangkan pigmentasi kulit. [2]
Sapukan gel yang diambil daripada daun aloe vera di kawasan jeragat. Biarkan selama 15 minit dan bilas dengan air.
4. Madu Asli
Madu asli juga mengandungi sebatian bioaktif yang boleh menghalang aktiviti tirosinase iaitu proses yang melibatkan pembentukan melanin. Madu asli juga turut mengandungi asid askorbik yang boleh merawat hiperpigmentasi. [3]
Ciri-ciri ini menjadikan madu asli sesuai digunakan untuk memudarkan atau menghilangkan jeragat.
Sapukan madu dikawasan jeragat. Biarkan selama beberapa minit dan bilas dengan air. Madu ini juga boleh dicampur dengan jus lemon.
5. Yogurt
Yogurt mengandungi asid laktik.
Asid laktik ini boleh mencegah aktiviti tirosinase, mengurangkan hiperpigmentasi dan mengekang penghasilan melanin. [4]
Ini boleh membantu mengurangkan jeragat.
Sapukan yogurt pada kawasan jeragat dan biarkan selama beberapa minit (15-20 minit). Kemudian bilas dengan air.
6. Kulit Pisang
Kulit pisang mempunyai mengandungi sebatian bioaktif seperti beta-karotena dan asid ferulik yang boleh menyerap sinaran ultraviolet B dan mencegah penghasilan melanin. Ini menjadikannya sebagai salah satu pilihan rawatan untuk masalah hiperpigmentasi seperti jeragat. [5]
Gunakan kulit pisang yang masak. Sapukan pada kawasan jeragat dan biarkan beberapa minit. Kemudian, bersihkan dengan air.
Peringatan!
Sekiranya anda mendapat tindak balas atau kesan sampingan akibat menggunakan rawatan dirumah ini, hentikan penggunaannya segera.
Mereka yang mempunyai kulit sensitif juga tidak digalakkan menggunakan kaedah menggunakan buah lemon (jus lemon).
Bila Perlu Berjumpa Doktor?
Jeragat bukannya satu penyakit atau kanser kulit. Cuma kehadirannya mungkin menganggu penampilan atau mengurangkan keyakinan seseorang itu.
Namun, sekiranya anda dapati jeragat anda berubah dari segi saiz, warna atau bentuk, silalah bertemu dengan doktor atau pakar kulit untuk mengetahui punca atau sebab perkara tersebut berlaku.
Rujukan
- Panich, U. et al. (2011). Inhibition of UVA-mediated melanogenesis by ascorbic acid through modulation of antioxidant defense and nitric oxide system. Archives of pharmacal research.
- Wang, Z. et al. (2008). Effects of aloesin on melanogenesis in pigmented skin equivalents. International journal of cosmetic science.
- Di Petrillo, A. et al. (2017). Sardinian honeys as sources of xanthine oxidase and tyrosinase inhibitors. Food science and biotechnology.
- Kornhauser, A. et al. (2010). Applications of hydroxy acids: classification, mechanisms, and photoactivity. Clinical, cosmetic and investigational dermatology.
- Phacharapiyangkul, N. et al. (2019). Effect of Sucrier Banana Peel Extracts on Inhibition of Melanogenesis through the ERK Signaling Pathway. International journal of medical sciences.