Degupan jantung laju bermakna jantung seseorang berdegup atau berdenyut lebih laju daripada kadar biasa. Apakah punca yang menyebabkan degupan jantung menjadi laju?
Secara purata, orang dewasa mempunyai kadar dengupan jantung rehat kira-kira 60-100 degupan seminit. Degupan jantung yang melebihi 100 degupan seminit dianggap mempunyai degupan jantung laju atau tachycardia.
Degupan jantung yang laju juga boleh merujuk kepada keadaan yang dipanggil palpitasi jantung atau debaran jantung.

Biasanya, degupan jantung laju yang berlaku tidak berbahaya walaupun membimbangkan. Tetapi dengupan jantung yang laju juga boleh menjadi simptom kepada masalah jantung seperti aritmia yang memerlukan rawatan.
Terdapat beberapa punca yang boleh menyebabkan degupan jantung laju, antaranya adalah:
1. Tindak Balas Terhadap Emosi yang Kuat
Emosi yang kuat seperti stres, keresahan, marah atau ketakutan boleh menyebabkan dengupan jantung menjadi laju.
Apabila badan mengalami tekanan, kelenjar adrenal akan melepaskan epinefrina atau adrenalin.
Badan menggunakan epinefrina untuk menyediakan seseorang untuk tindakan segera. Epinefrina boleh menyebabkan seseorang itu mengalami:
- Peningkatan kadar degupan jantung
- Peningkatan tekanan darah
- Keresahan
- Berpeluh
- Palpitasi (berdebar-debar)
- Anak mata membesar
Lazimnya, simptom-simptom ini akan berkurang apabila anda tidak lagi berasa tertekan (stres) atau dalam keadaan beremosi.
2. Tindak Balas Terhadap Senaman yang Berat
Senaman yang berat atau senaman yang berintensiti tinggi juga boleh menyebabkan degupan jantung menjadi laju.
Senaman yang berat atau berintensiti tinggi menyebabkan peningkatan kepada permintaan kepada oksigen. Untuk memenuhi keperluan ini, jantung anda akan mengepam lebih laju untuk membawa darah yang kaya dengan oksigen ke otak dan organ-organ penting yang lain.
3. Tindak Balas Terhadap Perangsang
Terdapat juga bahan-bahan perangsang yang boleh menjadi punca degupan jantung menjadi laju. Antaranya adalah:
Kafein
Kafein adalah perangsang yang dijumpai dalam banyak minuman seperti kopi, teh, sesetengah minuman berkarbonat dan minuman tenaga.
Bergantung kepada tahap kepekaan kafein bagi setiap individu, pengambilan kafein berlebihan boleh menyebabkan simptom-simptom seperti:
- Insomnia
- Degupan jantung laju
- Keresahan
- Gugup
- Sakit perut
- Sakit kepala
- Loya
Alkohol
Kajian yang diterbitkan dalam Journal of the American College of Cardiology mendapati walaupun pada jumlah yang sedikit, alkohol boleh meningkatkan risiko untuk seseorang itu mengalami fibrilasi atrium. [1]
Fibrilasi atrium ialah keadaan yang menyebabkan jantung berdegup tidak teratur dan kadang-kadang terlalu laju.
Nikotina dan Dadah
Nikotina adalah bahan kimia yang menyebabkan ketagihan yang terdapat dalam rokok atau rokok elektronik. Nikotina boleh menyebabkan peningkatan tekanan darah dan kadar jantung.
Dadah seperti kokain dan amphetamina boleh menyebabkan kadar jantung seseorang itu untuk meningkat.
Kajian mendapati penggunaan kokain boleh menyebabkan seseorang itu untuk mengalami kadar jantung yang laju dan tidak teratur. [2]
Ubat-ubatan Tertentu
Terdapat ubat-ubatan tertentu yang boleh menyebabkan seseorang itu mempunyai degupan jantung yang tidak teratur. Antaranya adalah:
- Antibiotik
- Ubat tekanan darah tinggi
- Antihistamin
- Antidepresan
- Alat sedut (inhaler)
- Ubat antikulat
Suplemen
Terdapat juga sesetengah suplemen herba yang boleh meningkatkan degupan jantung seseorang. Antaranya adalah:
- Ginseng: Walaupun ginseng mempunyai pelbagai khasiat tetapi bagi sesetengah orang ia boleh menyebabkan kesan sampingan seperti degupan jantung laju, sakit kepala, insomnia, masalah penghadaman dan tekanan darah tinggi atau rendah.
- Valerian: Valerian adalah suplemen untuk keresahan, kemurungan, insomnia dan lain-lain lagi. Valerian boleh menyebabkan kesan sampingan seperti degupan jantung laju, sakit kepala, sakit perut,insomnia dan lain-lain.
4. Perubahan Hormon
Perubahan hormon yang berkaitan dengan kehamilan dan menopaus boleh meningkatkan kadar degupan jantung.
Bagi wanita hamil, degupan jantung meningkat kerana jantung mereka perlu mengepam darah ke plasenta dan seluruh badan.
Kajian menunjukkan bahawa secara puratanya, wanita hamil mengalami kenaikan kadar degupan sekitar 7-8 dengupan seminit. [3]
Bagi wanita yang menopaus pula, mereka berisiko untuk mengalami penyakit jantung koronari. Yayasan Jantung British mendedahkan bahawa seseorang pada fasa menopaus akan berasa jantung mereka berdegup kencang atau berdebar-debar akibat penurunan paras hormon estrogen. [4]
5. Masalah Jantung
Kadangkala degupan jantung yang cepat atau tidak teratur boleh menjadi tanda keadaan jantung yang serius. Ia termasuklah:
- Kegagalan jantung
- Penyakit arteri koronari
- Masalah dengan injap atau otot jantung
- Fibrilasi atrium
- Serangan jantung yang lalu
Sekiranya anda adalah golongan berisiko, sila dapatkan pemeriksaan lanjut di hospital terdekat.
Jika doktor anda berpendapat anda mungkin mengalami salah satu daripada keadaan ini, doktor anda mungkin melakukan electrocardiogram (EKG), X-ray dada atau echocardiogram (ujian gema) untuk mendiagnosis apa yang tidak kena.
Bila Perlu Berjumpa Doktor?
Sila dapatkan rawatan segera sekiranya anda mengalami degupan jantung yang laju atau tidak teratur dan turut mengalami simptom-simptom berikut:
- Sakit dada
- Pening
- Pitam
- Sesak nafas
Simptom-simptom ini mungkin tanda kepada serangan jantung atau strok.
Rujukan
- Conen, D. et al. (2014). Alcohol Consumption and Risk of Atrial Fibrillation: How Much Is Too Much? Journal of the American College of Cardiology.
- Qureshi, A. I. et al. (2014). Cocaine use and the likelihood of cardiovascular and all-cause mortality: data from the Third National Health and Nutrition Examination Survey Mortality Follow-up Study. Journal of vascular and interventional neurology.
- Loerup, L. et al. (2019). Trends of blood pressure and heart rate in normal pregnancies: a systematic review and meta-analysis. BMC medicine.
- British Heart Foundation. Menopause and heart disease.