Percaya atau tidak sebenarnya rempah dan herba boleh membantu anda menurunkan berat badan. Selain aktiviti fizikal, penjagaan makanan juga penting untuk anda menurunkan berat badan.
Memakan rempah dan herba yang biasanya boleh didapati di dapur anda sebenarnya boleh membantu menggalakkan pembakaran lemak dan menurunkan berat badan.
Jadi, bagi membantu mencapai matlamat anda, kenali 10 rempah dan herba yang boleh membantu anda menurunkan berat badan.

1. Halia
Halia adalah tumbuhan jenis herba saka dari keluarga Zingiberaceae. Rizom halia banyak digunakan dalam pelbagai masakan dan turut dijadikan rempah.
Selain menjadi perasa makanan, halia juga telah lama digunakan untuk merawat pelbagai masalah kesihatan.
Terdapat penyelidikan-penyelidikan yang menunjukkan bahawa halia boleh membantu menurunkan berat badan.
Satu analisis yang melibatkan 14 kajian terhadap manusia mendapati pengambilan halia boleh membantu mengurangkan berat badan dan lemak perut. [1]
Kajian yang lebih terkini turut melaporkan bahawa halia mempunyai kesan antiobesiti walaupun dikatakan pada tahap sederhana. [2]
2. Ginseng
Ginseng sudah semestinya terkenal sebagai herba yang mempunyai pelbagai khasiat dan banyak digunakan dalam perubatan Cina.
Ginseng juga dilaporkan boleh membantu pemakannya untuk menurunkan berat badan.
Satu kajian kecil mendapati bahawa mengambil ginseng Korea sebanyak dua kali sehari selama lapan minggu menghasilkan pengurangan berat badan yang boleh diukur, serta perubahan dalam komposisi mikrobiota usus. [3]
Satu ulasan kajian yang melibatkan kajian terhadap haiwan dan manusia turut melaporkan bahawa ginseng mempunyai kesan antiobesiti yang boleh menurunkan berat badan dan indeks jisim badan (BMI). [4]
3. Halba
Halba adalah sejenis tumbuhan herba yang bijinya digunakan sebagai rempah dan ubat.
Selain terkenal sebagai herba yang boleh membanyakkan susu badan, halba juga sebenarnya boleh membantu mengawal selera makan dan mengurangkan pengambilan makanan bagi menyokong penurunan berat badan.
Satu kajian kecil yang melibatkan 12 orang lelaki mendapati pengambilan ekstrak biji halba boleh mengurangkan pengambilan lemak harian sebanyak 17%. Ini menyebabkan jumlah kalori yang diambil lebih rendah sepanjang hari. [5]
Terdapat kajian terhadap haiwan yang mendapati ekstrak air biji halba boleh menghalang pengumpulan lemak dan menyebabkan penurunan ketara terhadap berat badan dan indeks jisim badan (BMI). [6]
4. Oregano
Oregano juga adalah herba yang boleh membantu menurunkan berat badan.
Herba ini mengandungi sebatian bioaktif yang dikenali sebagai karvakrol. Sebatian ini boleh membantu menggalakkan penurunan berat badan.
Satu kajian yang dijalankan terhadap haiwan yang diberikan makanan tinggi lemak mendapati kumpulan haiwan yang menerima karvakrol memperoleh berat badan dan lemak badan yang jauh lebih sedikit daripada kumpulan kawalan. [7]
5. Kunyit
Kunyit sudah semestinya tidak asing lagi bagi masyarakat di negara ini. Kunyit banyak digunakan dalam masakan.
Sebenarnya kunyit turut mempunyai ciri-ciri perubatan yang banyak disumbang oleh sebatian bioaktif di dalamnya iaitu kurkumin.
Kurkumin ini turut mempunyai khasiat dalam membantu menurunkan berat badan.
Satu kajian yang melibatkan 44 orang yang mempunyai berat badan berlebihan menunjukkan bahawa pengambilan kurkumin sebanyak 2 kali sehari selama satu bulan berkesan dalam meningkatkan kehilangan lemak, mengurangkan lemak perut dan meningkatkan penurunan berat badan sehingga 5%. [8]
6. Lada Hitam
Lada hitam juga adalah rempah yang selalu digunakan. Lada hitam mempunyai sebatian yang mempunyai banyak khasiat iaitu piperina.
Piperina ini memberikan lada hitam rasa pedas dan turut berpotensi membantu menurunkan berat badan.
Satu kajian yang dijalankan terhadap haiwan yang diberikan diet tinggi lemak mendapati piperina boleh mengurangkan berat badan, jisim lemak, kolesterol jahat dan meningkatkan kolesterol baik. [9]
Satu kajian melaporkan bahawa kesan antiobesiti bagi piperina disumbang oleh keupayaannya untuk membaiki fungsi lapisan usus dan menghalang penyerapan lemak di dalam usus. [10]
7. Kayu Manis
Kayu manis juga adalah rempah yang boleh membantu anda menurunkan berat badan.
Kayu manis kaya dengan antioksidan dan pelbagai khasiat yang lain. Kayu manis dipercayai boleh membantu menstabilkan gula darah yang seterusnya dapat mengurangkan rasa lapar.
Kajian menunjukkan bahawa sebatian khusus yang terdapat dalam kayu manis boleh meniru kesan insulin, membantu mengangkut gula dari aliran darah ke sel-sel anda untuk digunakan sebagai tenaga. [11]
Kayu manis juga boleh mengurangkan paras enzim pencernaan tertentu untuk melambatkan pencernaan karbohidrat kepada gula ringkas. [12]
Ciri-ciri ini menjadikan kayu manis sebagai rempah atau herba yang boleh mengurangkan selera makan yang seterusnya menyumbang kepada penurunan berat badan.
8. Jintan Putih
Jintan putih adalah rempah yang dihasilan daripada biji pokok jintan putih, Cuminum cyminum.
Jintan putih mempunyai mempunyai banyak khasiat termasuklah membantu mempercepatkan penurunan berat badan dan pembakaran lemak.
Satu kajian kecil selama tiga bulan mendapati bahawa wanita yang mengambil yogurt dengan 3 gram jintan putih dua kali sehari kehilangan lebih banyak berat badan dan lemak badan berbanding kumpulan kawalan. [13]
Kajian lain turut melaporkan bahawa individu yang mengambil suplemen jintan putih 3 kali sehari kehilangan berat badan 1 kg lebih banyak daripada mereka yang mengambil plasebo. [14]
9. Pelaga
Buah pelaga adalah rempah yang banyak digunakan untuk memasak. Rempah ini juga turut berpotensi membantu menurunkan berat badan bagi pemakannya.
Kajian terhadap haiwan mendapati serbuk pelaga boleh membantu mengurangkan lemak perut bagi haiwan yang diberikan diet yang tinggi lemak dan karbohidrat. [15]
Walau bagaimanapun, kajian terhadap manusia masih terhad.
10. Cili
Sekiranya anda suka makanan pedas, ia mungkin boleh membantu anda menurunkan berat badan.
Cili adalah buah yang selalunya dijadikan rempah bagi meningkatkan rasa pedas dalam sesuatu masakan.
Cili mengandungi sebatian yang dikenali sebagai kapsaisin. Kapsaisin ini boleh meningkatkan metabolisme yang seterusnya meningkatkan pembakaran kalori sepanjang hari.
Satu kajian melaporkan bahawa kapsaisin boleh meningkatkan rasa kenyang dan mengurangkan keinginan untuk makan selepas waktu makan malam. [16]
Rumusan
Selain menjadi penambah rasa, rempah dan herba sebenarnya boleh membantu anda menurunkan berat badan dengan meningkatkan rasa kenyang, pembakaran lemak dan metabolisme.
Oleh itu, jangan teragak-agak untuk menggunakan rempah dan herba ini dalam menu diet anda.
Rujukan
- Maharlouei, N. et al. (2019). The effects of ginger intake on weight loss and metabolic profiles among overweight and obese subjects: A systematic review and meta-analysis of randomized controlled trials. Critical reviews in food science and nutrition.
- Salaramoli, S. et al. (2022). The effects of ginger and its constituents in the prevention of metabolic syndrome: A review. Iranian journal of basic medical sciences.
- Song, M. Y. et al. (2014). Influence of Panax ginseng on obesity and gut microbiota in obese middle-aged Korean women. Journal of ginseng research.
- Aminifard, T. et al. (2021). The effects of ginseng on the metabolic syndrome: An updated review. Food science & nutrition.
- Chevassus, H. et al. (2009). A fenugreek seed extract selectively reduces spontaneous fat consumption in healthy volunteers. European journal of clinical pharmacology.
- Kumar, P. et al. (2014). Fenugreek seed extract inhibit fat accumulation and ameliorates dyslipidemia in high fat diet-induced obese rats. BioMed research international.
- Cho, S. et al. (2012). Carvacrol prevents diet-induced obesity by modulating gene expressions involved in adipogenesis and inflammation in mice fed with high-fat diet. The Journal of nutritional biochemistry.
- Di Pierro, F. et al. (2015). Potential role of bioavailable curcumin in weight loss and omental adipose tissue decrease: preliminary data of a randomized, controlled trial in overweight people with metabolic syndrome. Preliminary study. European review for medical and pharmacological sciences.
- Shah, S. S. et al. (2011). Effect of piperine in the regulation of obesity-induced dyslipidemia in high-fat diet rats. Indian journal of pharmacology.
- Wang, W. et al. (2021). Piperine Improves Obesity by Inhibiting Fatty Acid Absorption and Repairing Intestinal Barrier Function. Plant foods for human nutrition.
- Jarvill-Taylor, K. J. et al. (2001). A hydroxychalcone derived from cinnamon functions as a mimetic for insulin in 3T3-L1 adipocytes. Journal of the American College of Nutrition.
- Adisakwattana, S. et al. (2011). Inhibitory activity of cinnamon bark species and their combination effect with acarbose against intestinal α-glucosidase and pancreatic α-amylase. Plant foods for human nutrition.
- Zare, R. et al. (2014). Effect of cumin powder on body composition and lipid profile in overweight and obese women. Complementary therapies in clinical practice.
- Taghizadeh, M. et al. (2015). Effect of the cumin cyminum L. Intake on Weight Loss, Metabolic Profiles and Biomarkers of Oxidative Stress in Overweight Subjects: A Randomized Double-Blind Placebo-Controlled Clinical Trial. Annals of nutrition & metabolism.
- Rahman, M. M. et al. (2017). Cardamom powder supplementation prevents obesity, improves glucose intolerance, inflammation and oxidative stress in liver of high carbohydrate high fat diet induced obese rats. Lipids in health and disease.
- Janssens, P. L. et al. (2014). Capsaicin increases sensation of fullness in energy balance, and decreases desire to eat after dinner in negative energy balance. Appetite.