Jika anda membeli rempah yang tersedia dibungkus, tarikh luput rempah tersebut lazimnya turut dinyatakan. Kadangkala, rempah yang tamat tempoh atau luput masih kelihatan baik dan anda terfikir-fikir adakah rempah tersebut masih boleh dimakan lagi atau tidak?
Bagi menjawab persoalan anda tersebut, artikel ini akan mengulas dengan lebih lanjut mengenai jangka hayat rempah dan bila masa yang sesuai untuk membuangnya.
Rempah sudah tidak asing lagi di negara-negara Asia termasuklah Malaysia. Penggunaan rempah dapat membangkitkan rasa dan aroma sesuatu masakan.

Bukan setakat itu sahaja, rempah sebenarnya boleh membantu mencegah kerosakan dan menambah warna dan khasiat terhadap hidangan anda. [1]
Malah, terdapat juga kajian yang menunjukkan bahawa kerap makan makanan yang mengandungi rempah dan herba boleh mengurangkan risiko kepada komplikasi berkaitan dengan penyakit jantung dan pernafasan. [2]
Walau bagaimanapun, ada adakalanya rempah ini tidak habis digunakan untuk satu jangka masa yang lama.
Anda mungkin tertanya-tanya adakah rempah tersebut telah tamat tempoh atau adakah rempah tersebut boleh digunakan lagi atau tidak?
Bagaimana untuk Mengetahui Bahawa Rempah Anda Telah Rosak?
Herba dan rempah kering tidak benar-benar tamat tempoh atau luput atau “menjadi buruk.”
Apabila rempah dikatakan rosak, ini bermakna ia telah kehilangan sebahagian besar rasa, kemujaraban dan warnanya.
Jika anda membeli rempah yang telah siap dibungkus di pasaraya, lazimnya ia mempunyai tarikh luput atau “baik sebelum.”
Tarikh baik sebelum memberikan maklumat tentang tempoh sesuatu produk boleh mengekalkan perisa, tekstur dan nilai pemakanan yang optimum apabila disimpan dalam keadaan persekitaran yang disyorkan.
Umumnya, adalah masih selamat untuk memakan rempah atau herba kering yang tamat tempoh, walaupun rasanya tidak sekuat rempah atau herba yang segar. Ia tidak mungkin menyebabkan anda sakit.
Jika anda tidak pasti berapa lama anda telah menggunakan rempah ratus anda, anda boleh mengetahui sama ada ia masih boleh digunakan dengan memeriksa bau dan rasanya.
Hancurkan atau gosok sedikit di tapak tangan anda. Jika baunya lemah dan hambar, ia mungkin masa yang sesuai untuk anda membuangnya dan menggantikannya dengan yang baru.
Jangka Hayat Rempah dan Herba
Apabila menentukan jangka hayat rempah dan herba kering, beberapa perkara perlu dipertimbangkan adalah jenis, pemprosesan dan penyimpanannya.
Rempah kering cenderung untuk tahan lebih lama daripada herba kering.
Rempah yang diserbukkan biasanya mempunyai tempoh simpan selama 2-4 tahun.
Antaranya adalah:
- Serbuk kunyit
- Serbuk halia
- Serbuk bawang putih
- Serbuk cili
- Serbuk paprika
- Serbuk pelaga
- Serbuk jintan
- Serbuk kari
Rempah yang tidak dihancurkan atau dijadikan serbuk mempunyai tempoh simpan yang lebih lama kerana kurang permukaan yang terdedah kepada cahaya, air dan udara.
Sekiranya disimpan dengan baik, rempah yang tidak dihancurkan atau dijadikan serbuk boleh bertahan selama 3-4 tahun.
Contoh-contoh rempah tersebut adalah:
- Biji ketumbar
- Biji jintan
- Bunga cengkih
- Biji sawi
- Biji adas
- Buah pala
- Kayu manis
- Cili kering
- Bunga lawang
Herba kering pula biasanya mempunyai tempoh simpan yang lebih pendek iaitu sekitar 1-3 tahun.
Contoh-contoh herba kering tersebut adalah:
- Parsli (parsley)
- Rosemary
- Taim (thyme)
- Daun salam
- Selasih
- Marjoram
- Sage
- Pudina
Cara Menyimpan Rempah untuk Tahan Lebih Lama
Meminimumkan pendedahan kepada udara, haba, cahaya dan kelembapan adalah kunci untuk memaksimumkan jangka hayat rempah ratus anda.
Secara tidak langsung ia boleh membantu anda mengurangkan pembaziran dan menjimatkan wang untuk membeli produk baharu.
Pilih lokasi penyimpanan yang sesuai
Selain itu, persekitaran yang sejuk, kering dan gelap seperti laci atau kabinet dapur yang terletak jauh dari dapur gas atau ketuhar ialah tempat yang bagus untuk menyimpan rempah ratus anda.
Gunakan bekas yang sesuai
Pemilihan bekas penyimpanan juga penting. Rempah anda perlu disimpan di dalam bekas yang kedap udara dan tidak porus.
Bekas kaca dan seramik (tembikar) adalah bekas terbaik untuk anda menyimpan rempah ratus supaya tahan lebih lama.
Mungkin ramai yang menyukai bekas plastik kerana tidak mudah pecah. Tetapi, bekas plastik biasanya tidak kedap udara dan boleh menyerap warna dan bau rempah yang berbeza.
Ini boleh menjadikannya lebih sukar untuk dibersihkan jika anda ingin menggunakannya semula.
Bekas daripada besi atau keluli tahan karat pula adalah pengalir haba. Maka, adalah penting untuk menyimpannya jauh daripada sumber haba seperti dapur gas.
Disimpan di dalam peti sejuk
Kebanyakan rempah ratus tidak perlu disimpan di dalam peti sejuk.
Tetapi rempah seperti paprika dan rempah cili boleh disimpan di dalam peti sejuk bagi mengekalkan warnanya.
Perasa yang mengandungi minyak juga boleh disimpan di dalam peti sejuk bagi mengelakkan ia berasa tengik.
Selain itu, perlu diingat bahawa kelembapan boleh mengurangkan rasa dan tekstur rempah anda dengan cepat, ia juga berpotensi menyebabkannya kulapuk.
Jika anda melihat kulapuk dalam mana-mana bekas rempah anda, buang produk berkenaan.
Rumusan
Rempah ratus pada asasnya mempunyai jangka hayat atau tempoh simpan yang agak lama.
Walaupun pada pembungkusan rempah tersebut menunjukkan tamat tempoh, umumnya ia masih boleh digunakan. Meskipun begitu, rasa dan aromanya mungkin telah berkurangan.
Rempah ratus yang kering secara asasnya mempunyai tempoh simpan sekitar 1-4 tahun.
Simpan rempah ratus anda di dalam bekas kaca atau tembikar yang kedap udara dan jauhi kawasan yang panas, cerah dan lembap.
Rujukan
- Gottardi, D. et al. (2016). Beneficial Effects of Spices in Food Preservation and Safety. Frontiers in microbiology.
- Jiang T. A. (2019). Health Benefits of Culinary Herbs and Spices. Journal of AOAC International.
- Feucht,A. (2021). How Long Do Spices Last? McCormick