Jintan putih atau nama saintifiknya Cuminum cyminum L. adalah rempah yang popular dan banyak digunakan. Seiring dengan kepelbagaian kegunaannya, khasiat jintan putih turut bermanfaat dalam perubatan atau kesihatan secara keseluruhannya.
Jintan putih adalah dari keluarga Apiaceae iaitu keluarga yang sama dengan jintan manis, bunga lawang, parsli dan saderi. Jintan putih kaya dengan aroma yang tersendiri. Aroma ini menjadikannya sebagai rempah yang berguna dalam pelbagai masakan di seluruh dunia.
Minyak jintah putih pula banyak digunakan dalam stew, sup, keju, sosej, kari, daging dan lain-lain. Tambahan daripada itu juga, aroma jintan putih yang kuat ini turut digunakan dalam industri minyak wangi.
Dalam konteks perubatan pula, jintan putih secara tradisionalnya digunakan untuk merawat sakit perut, ketidakhadaman, kembung perut, sakit gigi, hipertensi, jaundis, menghilangkan berat badan, cirit-birit dan merangsang penghasilan susu badan.
Selari dengan kegunaan dalam perubatan tradisional, kajian-kajian moden juga turut mendapati jintan putih berkhasiat dalam:
1. Membantu Mengatasi Masalah Ketidakhadaman
Seperti penggunaannya dalam perubatan tradisional, jintan putih boleh membantu mengatasi masalah ketidakhadaman.
Kajian yang dijalankan terhadap 57 orang pesakit sindrom usus rengsa (IBS) melaporkan bahawa pengambilan minyak jintan putih boleh mengurangkan simptom-simptom IBS seperti sakit perut, kembung atau tidak lawas membuang air besar. [1]
Selain itu juga, pesakit IBS yang turut mengalami sembelit turut berjaya pulih daripada masalah yang dialami.
2. Membantu Mengurangkan Berat Badan
Khasiat jintan putih juga turut bermanfaat bagi anda yang ingin mengurangkan berat badan.
Kesan keberkesanan jintan putih dalam membantu mengurangkan berat badan dibuktikan dalam beberapa kajian.
Sebagai contoh, satu kajian yang dijalankan terhadap 88 orang wanita yang obes atau berat badan berlebihan mendapati pengambilan 3 gram serbuk jintan putih sehari bersama-sama yogurt berjaya mengurangkan berat, lemak dan ukur lilit pinggang. [2]
3. Membantu Menurunkan Paras Kolesterol
Masalah paras kolesterol yang tinggi boleh meningkatkan risiko kepada penyakit jantung. Jintan putih turut berkhasiat membantu menurunkan paras kolesterol.
Kajian yang dijalankan terhadap wanita yang obes atau berat badan berlebihan mendapati pengambilan 3 gram serbuk jintan putih sehari boleh menurunkan paras kolesterol total, kolesterol jahat (kolesterol LDL), trigliserida dan meningkatkan paras kolesterol baik (kolesterol HDL). [2]
4. Baik untuk Penyakit Kencing Manis
Pengambilan jintan putih juga turut bermanfaat bagi mereka yang menghidap penyakit kencing manis.
Kajian yang dijalankan terhadap 99 orang pesakit kencing manis (diabetes jenis 2) mendapati pengambilan minyak pati jintan putih selama 8 minggu berjaya menurunkan paras gula darah, insulin dan paras purata gula darah (HbA1c). [3]
Ini menunjukkan minyak pati jintan putih berpotensi digunakan untuk merawat atau mengawal penyakit kencing manis.
5. Mengandungi Antioksidan
Selain itu juga, jintan putih turut mengandungi antioksidan. Antioksidan ialah sebatian yang boleh melindungi badan daripada radikal bebas. Radikal bebas ini boleh merosakkan sel-sel badan yang sihat.
Antara antioksidan yang dominan dalam jintan putih adalah cuminaldehyde, luteolin, apigenin dan kuersetin.
Antioksidan-antioksidan ini mempunyai banyak khasiat dan kebaikan kepada manusia. Misalnya, kuersetin dilaporkan mempunyai perkaitan dengan mengurangkan risiko kepada penyakit jantung, kanser, sakit sendi, gangguan otak dan lain-lain lagi. [4]
6. Boleh Membantu Mengurangkan Keradangan
Keradangan banyak dikaitkan dengan pelbagai penyakit kronik seperti artritis, diabetes, asma dan penyakit kardiovaskular.
Peningkatan penghasilan nitrik oksida (NO) dan sitokin prokeradangan adalah tanda-tanda bahawa badan seseorang itu mengalami keradangan.
Jintan putih dilihat boleh melindungi badan daripada keradangan melalui aktiviti-aktiviti antiradang yang ditunjukkan oleh sebatian-sebatian aktif di dalamnya. [5]
7. Berpotensi Mencegah Kanser
Jintan putih juga didapati berpotensi dalam membantu mencegah kanser.
Kajian pada tahun 2020 melaporkan bahawa sebatian luteolin dalam jintan putih menunjukkan aktiviti-aktiviti antikanser terhadap sel-sel kanser payudara. [6]
Di samping itu juga, kajian terhadap minyak pati jintan putih turut mendapati minyak pati ini mempunyai potensi digunakan untuk merawat kanser lidah. [7]
8. Boleh Membantu Meningkatkan Memori
Jintan putih juga turut didapati mempunyai khasiat dalam membantu meningkatkan memori.
Kajian terhadap tikus makmal menyokong bahawa ekstrak jintan putih boleh meningkatkan memori. Haiwan yang diberikan ekstrak jintan putih mempunyai daya ingatan yang lebih baik dan cepat. [8]
Walau bagaimanapun, masih banyak kajian yang diperlukan untuk menguatkan lagi dapatan ini.
9. Mempunyai Ciri-ciri Antibakteria
Jintan putih juga mungkin boleh digunakan dalam menghasilkan ubat antibakteria kerana ciri-ciri antibakterianya.
Kajian melaporkan bahawa minyak pati jintan putih menunjukkan aktiviti-aktiviti antibakteria terhadap bakteria jenis Bacillus cereus, Listeria monocytogenes, E.coli dan Salmonella typhimurium. [9]
Bakteria-bakteria ini boleh menyebabkan keracunan makanan.
10. Baik untuk Kesuburan Lelaki
Khasiat jintan putih juga turut merangkumi sistem reproduktif (pembiakan). Minyak pati jintan putih berpotensi meningkatkan kesuburan lelaki.
Kajian terhadap tikus makmal mendapati rawatan menggunakan minyak pati jintan putih boleh meningkatkan jumlah, pergerakan dan kebolehhidupan sperma serta menambahbaik struktur tisu testis (buah zakar) yang normal. [10]
Walau bagaimanapun, kajian-kajian klinikal masih diperlukan untuk mengesahkan kesan jintan putih terhadap kesuburan lelaki.
11. Boleh Membantu Merawat Ketagihan Dadah
Ketagihan dadah dalam kalangan masyarakat kini amat membimbangkan. Lebih parah lagi, ketagihan dadah boleh membawa kepada masalah-masalah sosial yang lain seperti mencuri, merompak dan membunuh.
Kajian terhadap haiwan mendapati komponen di dalam jintan putih boleh mengurangkan ketagihan dan gejala sarak (withdrawal symptoms). [11]
Meskipun begitu, kajian terhadap potensi khasiat jintan manis dalam merawat ketagihan ini masih terhad. Kajian-kajian lanjutan masih diperlukan untuk melihat kesannya terhadap manusia.
Rumusan
Jintan putih adalah rempah yang banyak digunakan dalam masakan termasuklah masakan rakyat Malaysia.
Jintan putih sebenarnya mempunyai banyak khasiat dan kebaikan dalam perubatan dan kesihatan. Kajian-kajian sains mendapati jintan putih boleh membantu merawat masalah ketidakhadaman, membantu mengurangkan berat badan, membantu menurunkan paras kolesterol dan lain-lain lagi.
Pengambilan jintan putih dalam masakan harus diteruskan. Manakala pengambilan jintan putih dalam bentuk suplemen pula haruslah mendapatkan nasihat doktor bagi mengelakkan tindak balas dengan ubat yang sedang diambil.
Rujukan
- Agah, S. et al. (2013). Cumin extract for symptom control in patients with irritable bowel syndrome: a case series. Middle East journal of digestive diseases.
- Zare, R. et al. (2014). Effect of cumin powder on body composition and lipid profile in overweight and obese women. Complementary therapies in clinical practice.
- Jafari, S. et al. (2016). Evaluation the effect of 50 and 100 mg doses of Cuminum cyminum essential oil on glycemic indices, insulin resistance and serum inflammatory factors on patients with diabetes type II: A double-blind randomized placebo-controlled clinical trial. Journal of traditional and complementary medicine.
- Salehi, B. et al. (2020). Therapeutic Potential of Quercetin: New Insights and Perspectives for Human Health. ACS omega.
- Wei, J. et al. (2015). Anti-Inflammatory Effects of Cumin Essential Oil by Blocking JNK, ERK, and NF-κB Signaling Pathways in LPS-Stimulated RAW 264.7 Cells. Evidence-based complementary and alternative medicine.
- Goodarzi, S. et al. (2020). Cuminum cyminum fruits as source of luteolin- 7-O-glucoside, potent cytotoxic flavonoid against breast cancer cell lines. Natural product research.
- Nirmala, M. J. et al. (2020). Ultrasonic Nanoemulsification of Cuminum cyminum Essential Oil and Its Applications in Medicine. International journal of nanomedicine.
- Koppula, S., & Choi, D. K. (2011). Cuminum cyminum extract attenuates scopolamine-induced memory loss and stress-induced urinary biochemical changes in rats: a noninvasive biochemical approach. Pharmaceutical biology.
- Valizadeh, S. et al. (2016). Investigating the Phytochemical, Antibacterial and Antifungal Effects of Thymus Vulgaris and Cuminum Cyminum Essential Oils. Medical Laboratory Journal.
- Sakhaee, E. et al. (2016). Effects of Cuminum cyminum L. essential oil on some epididymal sperm parameters and histopathology of testes following experimentally induced copper poisoning in mice. Andrologia.
- Khatibi, A. et al. (2008). Effects of the fruit essential oil of Cuminum cyminum L. on the acquisition and expression of morphine-induced conditioned place preference in mice. Neuroscience letters.