Sesetengah ibu terutamanya ibu muda mungkin mengalami masalah kekurangan susu badan atau susu ibu. Terdapat pelbagai cara untuk membanyakkan susu badan dan salah satu daripadanya adalah melalui makanan. Sesetengah makanan boleh membanyakkan susu badan.
Artikel ini akan menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai makanan yang boleh membanyakkan susu badan berdasarkan sokongan kajian.
Sesetengah makanan mempunyai ciri-ciri galaktagog iaitu agen yang menggalakkan pengaliran susu. Terdapat beberapa kajian yang menyokong khasiat atau kelebihan makanan ini.

Antara makanan yang boleh membanyakkan susu badan adalah:
1. Halba
Halba (fenugreek) adalah herba yang banyak digunakan dalam pelbagai masakan terutamanya masakan India.
Khasiat halba dalam membantu membanyakkan susu badan dapat dilihat dalam satu kajian yang dijalankan terhadap 66 pasangan ibu dan bayi. Pengambilan halba sebagai teh herba didapati boleh meningkatkan penghasilan susu badan dan membantu meningkatkan berat bayi yang baru dilahirkan. [1]
2. Halia
Halia adalah rempah yang banyak digunakan di Asia Tenggara termasuklah Malaysia.
Halia mempunyai banyak ciri-ciri perubatan bahkan sering digunakan sebagai ubat alternatif untuk merawat masalah penghadaman, mengurangkan loya dan membantu melawan demam selesema.
Kajian turut mendapati bahawa halia boleh bertindak sebagai galaktagog semula jadi. Kajian yang melibatkan 63 orang ibu yang baru bersalin mendapati pengambilan halia kering selama 7 hari boleh meningkatkan isipadu susu badan tanpa kesan sampingan. [2]
3. Jintan Hitam
Jintam hitam (fennel) adalah herba yang lazim digunakan dalam masakan dan turut mempunyai nilai perubatan.
Jintam hitam dikatakan bersifat galaktagog dan digunakan dalam beberapa campuran proprietari untuk meningkatkan bekalan susu badan.
Terdapat kajian yang melaporkan bahawa jintam hitam boleh meningkatkan isipadu susu badan, kandungan lemak dan berat badan bayi.
Walau bagaimanapun, tiada peningkatan hormon prolaktin (hormon yang menggalakkan penghasilan susu) didapati selepas pengambilan jintam hitam dalam kalangan ibu menyusu. [3]
4. Barli atau Air Barli
Barli atau air barli juga turut bermanfaat untuk membanyakkan susu badan.
Terdapat kajian yang dijalankan terhadap haiwan yang menunjukkan bahawa polisakarida (gula) dalam barli boleh meningkatkan hormon prolaktin.
Kajian terhadap manusia pula turut menunjukkan bahawa produk galaktagog yang mengandungi 70% barli boleh meningkatkan isipadu susu badan selepas 14 hari pengambilan produk tersebut. [4]
5. Jantung Pisang
Jantung pisang yang selalunya dijadikan kerabu, masak lemak atau pelbagai masakan lain turut boleh menjadi makanan yang membanyakkan susu badan.
Kesan galaktogog jantung pisang dapat dilihat dalam beberapa kajian. Satu kajian oleh pengkaji dari Indonesia mendapati bahawa ekstrak jantung Pisang Batu boleh meningkatkan penghasilan susu badan dan paras prolaktin dalam kalangan ibu yang menyusukan anak. [5]
Terdapat juga kajian lain yang menunjukkan potensi ekstrak jantung Pisang Tandok untuk meningkatkan penghasilan susu badan bagi ibu menyusu. [6]
6. Pucuk Cekur Manis
Pucuk cekur manis juga terdiri daripada makanan yang boleh membanyakkan susu ibu. Biasanya, pucuk cekur manis dimasak sebagai sayur.
Khasiat pucuk cekur manis ini dapat dilihat dalam satu kajian yang dijalankan terhadap haiwan. Pengambilan ekstrak pucuk cekur manis didapati boleh meningkatkan penghasilan hormon prolaktin dan oksitosin. Oksitosin ialah hormon yang merangsang pengaliran susu.
Manakala, ekstrak daun cekur manis yang matang turut boleh meningkatkan penghasilan hormon prolaktin dan oksitosin. Malah, lebih tinggi daripada penghasilan oleh daun muda (pucuk). [7]
7. Daun Kelo / Kelur
Daun kelo atau kelur atau remunggai juga boleh membantu membanyakkan susu badan.
Daun kelo atau nama saintifiknya Moringa oleifera boleh membantu meningkatkan penghasilan susu badan berdasarkan kajian yang melibatkan ibu yang baru bersalin bayi pramatang. [8]
8. Akar Shatavari
Shatavari atau turut dikenali sebagai Asparagus recemosus adalah sejenis herba dari keluarga asparagus.
Akar shatavari dikatakan boleh membantu meningkatkan penghasilan susu badan. Terdapat kajian yang melaporkan bahawa ekstrak akar shatavari boleh meningkatkan paras hormon prolaktin dalam kalangan ibu menyusu. [9]
9. Torbangun / Kapur Barus
Torbangun atau nama saintifiknya Coleus amboinicus adalah sejenis tumbuhan daripada keluarga pudina. Torbangun adalah panggilan yang digunakan oleh suku kaum Batak dari Sumatera, Indonesia.
Torbangun ini turut dikenali sebagai Kapur barus, Mexican mint, Spanish Thyme, Cuban Oregano atau Indian Borage.
Daun torbangun ini dipercayai boleh meningkatkan penghasilan susu badan bagi wanita yang baru lepas bersalin. Pengambilan sup daun torbangun selama 30 hari didapati boleh meningkatkan penghasilan susu sebanyak 33% berbanding kumpulan yang tidak memakan sup tersebut. [10]
10. Silymarin
Silymarin atau Milk thistle adalah sejenis tumbuhan herba berbunga dari keluarga daisi. Silymarin ini banyak dijual dalam bentuk makanan tambahan (suplemen).
Kajian menunjukkan bahawa wanita yang memakan Silymarin selama 63 hari menyebabkan peningkatan penghasilan susu badan sebanyak 86%. Tiada kesan yang tidak diingini dilaporkan. [11]
11. Kurma
Kurma juga boleh membantu meningkatkan penghasilan susu ibu.
Kajian melaporkan bahawa ibu menyusu yang mengambil 10 biji kurma setiap hari mengalami peningkatan kuantiti susu badan sebanyak 11% pada hari ke-14 dan 23% pada hari ke-28. [12]
Makananan yang Dipercayai Boleh Meningkatkan Susu Ibu /Susu Badan Tetapi Tiada Sokongan Kajian
Selain itu, terdapat juga makanan-makanan yang dipercayai boleh meningkatkan susu badan walaupun tiada kajian saintifik yang menyokongnya.
Antaranya adalah:
- Soya atau produk soya seperti tempe dan tauhu
- Makanan berserat seperti oat
- Longan kering
- Lobak putih
- Ulam-ulaman seperti daun selom, ulam raja, pucuk betik dan daun pegaga
- Durian
- Ikan yu
Rumusan
Pemakanan yang sihat dan seimbang penting untuk kesihatan ibu menyusu supaya kekal sihat dan dapat membekalkan kuantiti susu badan yang cukup kepada bayi mereka.
Selain itu, terdapat makanan tertentu yang didapati boleh bertindak sebagai galaktagog yang boleh membantu meningkatkan penghasilan susu badan. Contohnya seperti halba, jintan hitam, halia, barli, jantung pisang dan lain-lain lagi.
Makanan-makanan ini sangat bermanfaat bagi ibu yang ingin membanyakkan penghasilan susu badan.
Rujukan
- Turkyılmaz, C. et al. (2011). The effect of galactagogue herbal tea on breast milk production and short-term catch-up of birth weight in the first week of life. Journal of alternative and complementary medicine.
- Paritakul, P. et al. (2016). The Effect of Ginger on Breast Milk Volume in the Early Postpartum Period: A Randomized, Double-Blind Controlled Trial. Breastfeeding medicine.
- Fennel. (2021). In Drugs and Lactation Database (LactMed). National Library of Medicine (US).
- Drugs and Lactation Database (LactMed) [Internet]. Bethesda (MD): National Library of Medicine (US); 2006-. Barley. [Updated 2021 Apr 19]. Available from: https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK501827/#
- Diyan Wahyuningsih. et al. (2017). EFFECT OF MUSA BALBISIANA COLLA EXTRACT ON BREAST MILK PRODUCTION IN BREASTFEEDING MOTHERS. Belitung Nursing Journal.
- Mahmood, A. et al. (2012). Galactagogue effects of Musa x paradisiaca flower extract on lactating rats. Asian Pacific journal of tropical medicine.
- Soka, S. et al. (2010). Effect of Sauropus androgynus leaf extracts on the expression of prolactin and oxytocin genes in lactating BALB/C mice. Journal of nutrigenetics and nutrigenomics.
- Estrella, M.C.P. et al. (2000). A double-blind, randomized controlled trial on the use of malunggay (Moringa oleifera) for augmentation of the volume of breastmilk among non-nursing mothers of preterm infants. Philipp J Pediatr.
- Gupta, M., & Shaw, B. (2011). A Double-Blind Randomized Clinical Trial for Evaluation of Galactogogue Activity of Asparagus racemosus Willd. Iranian journal of pharmaceutical research.
- Damanik, R. et al. (2006). Lactagogue effects of Torbangun, a Bataknese traditional cuisine. Asia Pacific journal of clinical nutrition.
- Di Pierro, F. et al. (2008). Clinical efficacy, safety and tolerability of BIO-C (micronized Silymarin) as a galactagogue. Acta bio-medica : Atenei Parmensis.
- Modepeng, T. et al. (2021). The Effects of Date Fruit Consumption on Breast Milk Quantity and Nutritional Status of Infants. Breastfeeding medicine.