Penyakit taun atau turut dikenali dengan nama kolera adalah sejenis penyakit berjangkit bawaan air dan makanan. Penyakit ini disebabkan oleh bakteria Vibrio cholera yang menjangkiti usus pesakit.
Penyakit taun lebih mudah merebak di kawasan yang tidak mempunyai bekalan air bersih dan kemudahan tandas yang sempurna. Wabak taun juga wujud secara bermusim di kawasan endemik di Asia dan Afrika.
Jangkitan taun selalunya ringan atau tanpa gejala, tetapi ia juga boleh menjadi teruk dan mengancam nyawa. Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), para pengkaji menganggarkan bahawa setiap tahun terdapat 1.3 hingga 4.0 juta kes penyakit taun dan 21,000 hingga 143,000 kematian di seluruh dunia akibat penyakit ini.
Punca Penyakit Taun
Penyakit taun berpunca daripada bakteria yang dipanggil Vibrio cholerae. Kesan berbahaya penyakit ini adalah akibat daripada toksin yang dihasilkan oleh bakteria Vibrio di dalam usus.
Toksin tersebut menyebabkan badan merembeskan sejumlah air yang banyak yang menyebabkan cirit-birit serta kehilangan air dan garam (elektolit) pada kadar yang cepat.
Bakteria taun mungkin tidak menyebabkan penyakit kepada semua orang yang terdedah kepada bakteria tersebut, tetapi mereka yang dijangkiti masih menyebarkan bakteria taun dalam najis mereka, yang boleh mencemari makanan dan bekalan air.
Air yang tercemar adalah sumber utama jangkitan taun. Bakteria ini boleh dijumpai dalam:
- Air permukaan atau air telaga: Air telaga komuniti yang tercemar adalah sumber yang sering menyebabkan wabak taun.
- Makanan laut: Memakan makanan laut yang mentah atau makanan yang tidak dimasak dengan sempurna di kawasan yang terdedah dengan taun mendedahkan anda kepada penyakit ini.
- Sayur-sayuran dan buah-buahan: Sayur-sayuran yang tidak dimasak atau buah-buahan yang tidak dikupas boleh menjadi sumber kepada jangkitan taun di kawasan-kawasan yang mempunyai kes taun.
- Bijian: Di kawasan yang mempunyai wabak taun, bijian seperti nasi atau sekoi boleh tercemar selepas dimasak dan dibiarkan di suhu bilik selama beberapa jam.
Tanda-tanda dan Gejala Penyakit Taun
Taun adalah penyakit yang sangat berbahaya yang boleh menyebabkan cirit-birit berair akut yang teruk. Ia mengambil masa antara 12 jam dan 5 hari untuk seseorang menunjukkan gejala selepas makan makanan atau minum air yang tercemar.
Taun menjejaskan kedua-dua kanak-kanak dan orang dewasa dan boleh membunuh dalam beberapa jam jika tidak dirawat.
Kebanyakan orang yang dijangkiti penyakit ini tidak mengalami sebarang gejala, walaupun bakteria itu terdapat dalam najis mereka selama 1-10 hari selepas jangkitan.
Dalam kalangan orang yang mengalami gejala, majoriti mempunyai gejala yang ringan atau sederhana, manakala minoriti mengalami cirit-birit berair akut dengan dehidrasi yang teruk. Ini boleh mengakibatkan kematian jika tidak dirawat.
Kira-kira 1 dalam 10 orang yang dijangkiti akan mengalami gejala yang teruk pada peringkat awal, antaranya adalah:
- Muntah-muntah
- Cirit-birit berair yang banyak
- Dahaga
- Kejang kaki
- Kegelisahan
Tanda-tanda dehidrasi yang berkaitan dengan taun adalah:
- Denyutan jantung laju
- Kehilangan keanjalan kulit
- Tekanan darah rendah
- Membran mukus kering
- Mulut kering
- Mata cengkung
- Dahaga melampau
Mereka yang menghidap taun yang teruk boleh mengalami dehidrasi teruk, yang boleh menyebabkan kegagalan buah pinggang. Jika tidak dirawat, dehidrasi teruk boleh menyebabkan kejutan, koma, dan kematian dalam beberapa jam.
Rawatan
Penyakit taun memerlukan rawatan segera kerana ia boleh menyebabkan kematian dalam beberapa jam.
Antara pilihan rawatan adalah:
- Rehidrasi: Kehilangan cecair yang ringan atau sederhana boleh dirawat dengan larutan rehidrasi oral (ORS). Sekiranya pesakit mengalami dehidrasi teruk, dapatkan rawatan di hospital bagi suntikan rehidrasi dengan larutan pelbagai elektrolit yang seimbang.
- Antibiotik: Untuk memendekkan tempoh cirit-birit dan mengurangkan jumlah larutan rehidrasi yang diperlukan, antibiotik seperti Tetracycline, Trimethoprim dan Sulfamethoxazole (TMP-SMX), Furazolidone atau Erythromycinboleh diberikan.
- Suplemen zink: Penyelidikan telah menunjukkan bahawa zink mungkin boleh mengurangkan cirit-birit dan memendekkan tempoh ia berlaku pada kanak-kanak yang menghidap taun.
Cara Mencegah Penyakit Taun
Sekiranya anda melancong ke kawasan yang diketahui sering mengalami wabak taun, risiko untuk anda dijangkiti adalah rendah sekiranya anda mematuhi langkah-langkah pencegahan berikut:
- Basuh tangan dengan sabun dan air secara kerap terutamanya selepas ke tandas atau sebelum menyentuh makanan.
- Minum air yang dimasak atau dibotolkan.
- Makanan yang kurang memerlukan pengendalian adalah lebih selamat. Kupas semua buah. Pastikan salad atau ulam-ulaman dibasuh bersih sebelum dimakan.
- Makan makanan yang dimasak sepenuhnya dan panas dan elakkan makanan di warung di tepi jalan, jika boleh. Jika anda membeli makanan daripada warung di tepi jalan, pastikan ia dimasak di hadapan anda dan dihidangkan panas.
- Elakkan sushi, serta sebarang jenis ikan mentah atau makanan laut yang tidak dimasak dengan betul.
Rujukan
- World Health Organization. 2022. Cholera.
- Centers for Disease Control and Prevention. 2020. Cholera – Vibrio cholerae infection.
- Mayo Clinic Staff. (2022). Cholera. MayoClinic.