Penyakit berjangkit boleh ditakrifkan sebagai penyakit yang disebabkan oleh patogen atau produk toksiknya, yang timbul melalui jangkitan daripada orang yang telah dijangkiti, haiwan yang dijangkiti, atau objek tidak bernyawa yang tercemar.
Penyakit berjangkit boleh juga merebak kepada orang lain melalui udara, air, makanan atau sentuhan cecair badan yang mengandungi patogen seperti bakteria, kulat, parasit atau virus.
Simptom-simptom dan gejala berbeza-beza bergantung pada organisma yang menyebabkan jangkitan, tetapi selalunya termasuk demam dan keletihan.
Jangkitan yang ringan mungkin boleh sembuh hanya dengan rawatan dirumah atau berehat. Manakala, jangkitan yang teruk atau serius mungkin memerlukan rawatan di hospital.
Terdapat juga penyakit berjangkit seperti cacar air atau campak boleh dicegah melalui vaksinasi. Amalan penjagaan kebersihan juga boleh membantu mencegah daripada penyakit berjangkit.
Simptom-simptom atau Tanda
Secara umumnya, simptom-simptom atau tanda berikut mungkin berlaku sekiranya seseorang itu diserang oleh penyakit berjangkit.
- Demam
- Kelesuan
- Batuk
- Sakit otot
- Cirit-birit
- Sakit kepala
Punca atau Penyebab
Penyakit berjangkit boleh disebabkan oleh:
- Bakteria: Organisma ini bertanggungjawab untuk menyebabkan penyakit seperti sakit tekak, jangkitan saluran kencing dan penyakit tibi.
- Kulat (Fungi): Kulat adalah penyebab kepada kebanyakan penyakit kulit seperti kurap, kulat kaki (kaki atlet), kulat kuku atau jangkitan pada faraj. Terdapat juga kulat yang menyebabkan jangkitan pada paru-paru atau sistem saraf.
- Virus: Virus boleh menyebabkan banyak penyakit seperti demam selesema, AIDS, COVID-19, cacar air, campak, beguk atau HPV.
- Parasit: Malaria adalah penyakit yang disebabkan oleh parasit kecil yang dibawa oleh nyamuk. Selain itu, penyakit-penyakit lain yang disebabkan oleh parasit adalah seperti toxoplasmosis, babesiosis atau penyakit Chagas.
Faktor risiko
Penyakit berjangkit boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Tetapi terdapat beberapa faktor risiko yang meningkatkan risiko untuk seseorang itu terkena jangkitan.
Contohnya seperti:
- Sistem imun yang lemah
- Menghidap HIV atau AIDS
- Menghidap kanser
- Mengambil ubat yang boleh melemahkan sistem imun
Diagnosis
Terdapat beberapa kaedah diagnosis yang mungkin dijalankan oleh doktor dalam proses mengenal pasti punca yang menyebabkan simptom-simptom.
Antaranya adalah:
- Ujian makmal
- Ujian darah
- Ujian urin
- Ujian swab
- Sampel najis
- Ujian imbasan seperti x-ray, imbasan CT atau MRI
- Biopsi
Rawatan
Rawatan akan menjadi lebih mudah sekiranya doktor mengetahui jenis kuman yang menyebabkan penyakit atau simptom-simptom yang dihidapi oleh pesakit.
Antibiotik
Sekiranya penyakit tersebut disebabkan oleh bakteria, biasanya rawatan menggunakan antibiotik boleh membunuh bakteria dan menghentikan jangkitan.
Antivirus
Ubat antivirus boleh digunakan untuk merawat sesetengah virus. Contohnya seperti:
- HIV/AIDS
- Hepatitis B
- Hepatitis C
- Influenza
- Herpes
Terapi sokongan seperti berehat dan meningkatkan pengambilan bendalir boleh membantu merawat penyakit disebabkan jangkitan virus.
Antikulat
Jangkitan kulat boleh dirawat menggunakan ubat antikulat seperti fluconazole. Ubat antikulat sapuan biasanya digunakan untuk merawat jangkitan pada kulit atau kuku. Manakala, jangkitan di paru-paru atau lapisan membran boleh dirawat dengan ubat antikulat oral.
Antiparasit
Sesetengah penyakit yang disebabkan oleh parasit boleh dirawat menggunakan ubat antiparasit seperti mebendazole.
Rujukan
- Cleveland Clinic Medical Professional. (2018). Infectious Diseases. Cleveland Clinic.
- Mayo Clinic Staff. (2021). Infectious diseases. MayoClinic.