Cirit-birit adalah masalah kesihatan yang lazim berlaku kepada kebanyakan orang. Cirit-birit ini boleh berpunca daripada pelbagai sebab sama ada disebabkan pemakanan atau penyakit. Bagi kes cirit-birit yang ringan, ia boleh dirawat di rumah sahaja. Di sini, kami senaraikan petua merawat cirit-birit yang mudah dilakukan di rumah.
Secara umumnya, cirit-birit tidak berbahaya dan boleh sembuh dengan sendirinya tanpa rawatan perubatan. Tetapi, sekiranya cirit-birit ini berlaku pada jangka masa yang lama, ia mungkin menjadi petanda kepada penyakit yang lain.
Oleh itu, cirit-birit boleh dibahagikan kepada 2 jenis iaitu jenis akut atau kronik.
Cirit-birit akut berlaku dalam tempoh masa yang singkat iaitu sekitar sehari atau dua hari. Manakala cirit-birit kronik pula berlaku secara berpanjangan iaitu sekitar 4 minggu atau lebih.
Punca yang Menyebabkan Cirit-Birit
Cirit-birit boleh disebabkan oleh beberapa punca seperti:
- Jangkitan bakteria: Jangkitan bakteria seperti salmonella dan E.coli .
- Jangkitan virus: Jangkitan virus seperti Norovirus, hepatitis,rotavirus dan cytomegalovirus.
- Ubat-ubatan: Ubat-ubatan seperti antibiotik boleh menyebabkan cirit-birit. Ini kerana antibiotik membunuh bakteria baik dan jahat, seterusnya akan menganggu keseimbangan bakteria dalam usus. Ubat-ubat lain yang boleh menyebabkan cirit-birit ialah ubat kemoterapi, ubat darah tinggi dan ubat yang mengawal ritma degupan jantung.
- Tidak toleran kepada laktosa: Laktosa ialah gula yang terdapat dalam susu atau produk tenusu. Mereka yang mempunyai masalah untuk menghadam laktosa ini boleh mengalami cirit-birit.
- Pemanis tiruan: Sesetengah produk makanan mengandungi gula tiruan yang diberi nama Sorbitol dan Mannitol. Gula tiruan ini boleh menyebabkan cirit-birit bagi sesetengah orang.
Cirit-birit kronik boleh disebabkan oleh beberapa jenis penyakit seperti:
- Penyakit Seliak
- Penyakit Crohn
- Sindrom usus rengsa (Irritable Bowel Syndrome)
- Kolitis (radang usus besar)
Petua Merawat Cirit-birit
Petua atau rawatan dirumah adalah antara kaedah yang sesuai untuk merawat cirit-birit ringan atau akut.
1. Minum Air yang Banyak
Cirit-birit boleh menyebabkan badan kekurangan air yang banyak. Selain itu, mereka yang mengalami cirit-birit juga turut kehilangan elektrolit.
Oleh itu, amatlah penting untuk kekal terhidrat bagi mengelakkan berlakunya dehidrasi.
Minuman tenaga, jus atau air mineral (air kosong) adalah antara pilihan yang baik bagi mengelakkan terjadi dehidrasi dalam kalangan mereka yang mengalami cirit-birit.
Kajian yang dijalankan mendapati minuman tenaga seperti Gatorade berkesan dalam mengurangkan cirit-birit dan dehidrasi.
Selain itu, anda boleh juga membuat minuman untuk penghidratan semula dengan mencampurkan 1 liter air dengan separuh (1/2) sudu teh garam dan 6 sudu teh gula.
Pengambilan garam dan gula dengan air boleh membantu usus menyerap cecair dengan lebih cekap.
2. Makanan atau Minuman Probiotik
Probiotik ialah sumber kepada bakteria baik yang bekerja dalam usus untuk mewujudkan persekitaran yang baik dan sihat. Makanan atau minuman yang mengandungi probiotik adalah seperti:
- yogurt
- tempe
- kombucha
- kimchi
- kefir
- keju kotej (cottage cheese)
- jeruk
3. Makan Makanan Rendah Serat
Petua merawat cirit-birit yang seterusnya ialah dengan makan makanan yang rendah serat. Makanan ini boleh membantu memejalkan najis anda ketika berlakunya cirit-birit. Selain itu, makanan jenis ini juga turut membekalkan tenaga.
- Nasi
- Pisang
- Roti bakar
Selain itu, beberapa makanan lain yang turut sesuai dimakan ketika mengalami cirit-birit adalah:
- Oatmil
- Ubi kentang atau keledek (direbus atau dibakar)
- Ayam bakar
- Sup ayam
- Sayur-sayuran lembut
Hidangan-hidangan kecil yang kerap adalah bentuk pemakanan yang lebih sesuai ketika cirit-birit berbanding 3 hidangan besar setiap hari.
4. Ubat Cirit-birit Belian Kaunter
Ubat cirit-birit seperti loperamide dan bismuth subsalicylate (garam bismuth) adalah antara ubat cirit-birit belian kaunter yang boleh didapati di kedai-kedai farmasi.
Loperamide mempunyai kesan sampingan yang agak serius dan perlu diambil mengikut dos yang dibenarkan. Ubat ini juga tidak boleh diminum bersama-sama air tonik.
Selain itu, pil chi kit teck aun juga antara ubat tradisional yang popular dalam merawat cirit-birit buat rakyat di negara ini.
Pengambilan garam atau agen rehidrasi oral juga adalah salah satu cara merawat cirit-birit yang boleh dilakukan. Agen rehidrasi oral dan garam ini membantu mengembalikan keseimbangan elektrolit dan cecair yang hilang dari badan.
Cara Pengambilan
1.Pil / Kapsul Loperamide 2mg
Cirit-birit akut. Bagi orang dewasa: Bermula dengan 4mg, diikuti dengan 2mg setiap kali najis cair. Kebiasaannya 6-8mg setiap hari dan tidak melebihi 16mg sehari.
Cirit-birit kronik: Bermula dengan 4 hingga 8mg sehari dalam beberapa kali makan bergantung kepada respon. Jangan melebihi 16mg sehari.
2. Bismuth subsalicylate
- Mengikut dos sama ada cecair 15ml atau tablet 262mg.
- 30ml atau 2 tablet setiap 30 minit hingga 1 jam.
- Maksimum 8 dos sehari (24 jam) mengikut keperluan.
3. Garam rehidrasi oral
- Orang dewasa: 200-400ml (1-2 paket) setiap kali membuang air besar.
- Kanak-kanak: 200ml (1 paket) setiap kali membuang air besar.
- Bayi: 50ml setiap kali membuang air besar.
5. Elakkan Makanan Ini
Sesetengah makanan boleh memburukkan lagi cirit-birit yang berlaku. Sebagai contoh, makanan yang tinggi serat boleh menyebabkan kembung perut sekiranya dimakan ketika anda sedang mengalami cirit-birit.
Oleh itu, cuba elakkan makanan seperti ini buat seketika ketika anda sedang mengalami cirit-birit.
Antara makanan yang harus dielakkan adalah:
- Sayur-sayuran berdaun hijau
- Kubis bunga
- Kubis
- Kacang kuda
- Kacang pea
- Pemanis tiruan
- Aiskrim
- Susu
- Kopi
- Arak
Bila Perlu Berjumpa Doktor?
Dalam kebanyakkan kes, cirit-birit ini boleh sembuh hanya dengan rawatan dirumah atau pulih dengan sendirinya.
Namun, jika cirit-birit ini berlanjutan melebihi 2 hari, sila dapatkan rawatan daripada doktor bagi mengelakkan komplikasi.
Di samping itu juga, sila berjumpa doktor juga sekiranya anda mengalami tanda-tanda berikut:
- Tanda-tanda dehidrasi seperti mulut kering atau dahaga melampau
- Demam
- Darah dalam najis
- Cirit-birit kronik
- Sakit perut yang teruk
- Cirit-birit semasa tidur
- Kehilangan berat badan yang ketara
Rujukan
- Rao, S. S., et al. (2006). Oral rehydration for viral gastroenteritis in adults: a randomized, controlled trial of 3 solutions. JPEN. Journal of parenteral and enteral nutrition.
- Joe Bowman and Erica Cirino. 2019. The Most Effective Diarrhea Remedies. Healthline.
- Valencia Higuera. 2019. Causes of Diarrhea and Tips for Prevention. Healthline.
- Aiza Adlina Abdullah. 2014. Ubat Antidiarea. MyHealth.
- Kandola, A. (2019). How to treat diarrhea at home. MedicalNewsToday.