Apa itu PCOS?
PCOS adalah singkatan kepada polycystic ovary syndrome atau sindrom ovari polisistik. Sindrom ovari polisistik adalah masalah berkaitan dengan hormon semasa tahun-tahun kesuburan wanita.
Wanita yang menghidap PCOS menghasilkan lebih banyak hormon lelaki (androgen) daripada biasa. Keadaan ini menyebabkan ketidakseimbangan hormon reproduktif.
Akibatnya, mereka yang menghidap PCOS selalunya akan mengalami kitaran haid yang tidak teratur, tidak datang haid atau ovulasi yang tidak dapat diramalkan.
Sista kecil (kantung kecil berisi cecair) mungkin terbentuk pada ovari akibat kekurangan ovulasi. Walau bagaimanapun, seorang wanita itu tidak semestinya mempunyai sista pada ovari untuk menghidap PCOS.

PCOS adalah penyebab utama ketidaksuburan dalam kalangan wanita. Ia juga turut meningkatkan risiko kepada masalah kesihatan lain.
Tanda-tanda dan Gejala PCOS
Tanda-tanda atau gejala PCOS selalunya bermula sekitar haid anda yang pertama. Kadangkala ia berlaku kemudian selepas anda mengalami haid buat beberapa ketika.
Beberapa gejala atau simptom yang paling kerap berlaku adalah:
- Haid tidak teratur: Haid tidak teratur melibatkan tidak datang haid atau tidak datang haid langsung. Ia juga boleh melibatkan perdarahan yang banyak semasa haid.
- Pertumbuhan bulu tidak normal: Bulu muka berlebihan, bulu roma yang lebat di tangan, dada dan perut adalah antara tanda-tanda yang banyak berlaku kepada penghidap sindrom ini.
- Jerawat: PCOS boleh menyebabkan jerawat terutamanya di bahagian belakang, dada dan muka.
- Obesiti: Kira-kira 80% wanita menghidap PCOS mempunyai berat badan berlebihan atau obes serta sukar untuk mengurangkan berat badan.
- Kulit menjadi gelap: Tompokan kulit gelap terutamanya dikawasan pelipat seperti leher, ketiak, kelangkang dan dibawah payudara.
- Sista (cyst): Kantung kecil berisi cecair di dalam ovari.
- Rambut gugur: Wanita yang menghidap PCOS juga mungkin mengalami keguguran rambut dan menjurus ke arah botak.
- Ketidaksuburan: PCOS adalah antara penyebab utama kepada ketidaksuburan dalam kalangan wanita.
- Tag kulit (skin tag): Selalu dijumpai di ketiak dan leher wanita yang menghidap PCOS.
Apakah Punca yang Menyebabkan PCOS?
Punca sebenar kepada sindrom ini tidak diketahui. Tetapi terdapat beberapa bukti yang menunjukkan genetik memainkan peranan.
Mempunyai ahli keluarga yang pernah menghidap PCOS boleh meningkatkan risiko anda untuk menghidap sindrom ini.
Selain itu, beberapa faktor lain turut memainkan peranan seperti:
- Tinggi dengan hormon lelaki iaitu hormon androgen: Paras hormon androgen yang tinggi menghalang ovari daripada mengeluarkan telur (ovulasi), yang menyebabkan kitaran haid tidak teratur.
- Rintangan insulin: Paras insulin yang meningkat menyebabkan ovari membuat dan mengeluarkan hormon lelaki (androgen). Peningkatan hormon lelaki, seterusnya, menyekat ovulasi dan menyumbang kepada gejala PCOS yang lain. Insulin mengawal cara badan anda memproses glukosa (gula) dan menggunakannya untuk tenaga. Rintangan insulin bermakna badan anda tidak memproses insulin dengan betul, membawa kepada tahap glukosa yang tinggi dalam darah anda.
- Keradangan tahap rendah: Penghidap PCOS cenderung mengalami keradangan tahap rendah yang kronik. Ujian darah yang mengukur tahap protein C-reaktif (CRP) dan sel darah putih boleh menunjukkan tahap keradangan dalam badan anda.
Siapakah yang Boleh Mendapat PCOS?
Seorang perempuan boleh mendapat PCOS bila-bila masa selepas mereka akil baligh. Kebanyakan wanita didiagnos dengan sindrom ini semasa umur mereka 20-an atau 30-an apabila mereka mencuba untuk mengandung.
Mereka yang mempunyai berat badan berlebihan atau obesiti lebih berisiko untuk mendapat sindrom ini.
Rawatan
Rawatan akan diberikan oleh ahli profesional kesihatan bergantung kepada gejala atau simptom-simptom yang dialami, sejarah perubatan atau masalah kesihatan yang lain.
Rawatan juga bergantung kepada sama ada anda ada perancangan untuk mengandung atau tidak.
Sekiranya anda merancang untuk mengandung, pilihan rawatan adalah seperti berikut:
- Ubat untuk mencetuskan ovulasi (mengeluarkan telur): Terdapat ubat tertentu yang telah terbukti boleh mencetuskan ovulasi bagi wanita yang menghidap PCOS. Contohnya adalah ubat clomiphene dan letrozole.
- In vitro fertilization (IVF): Persenyawaan in vitro ini melibatkan persenyawaan telur anda dengan sperma pasangan di dalam makmal kemudiannya dipindahkan ke rahim anda.
Sekiranya tidak merancang untuk mengandung, pilihan rawatan yang ada adalah:
- Kawalan kelahiran hormon: Pilihan yang ada termasuklah pil kawalan kelahiran, suntikan, cincin faraj atau alat kontraseptif dalam rahim (IUD). Kawalan kelahiran hormon membantu mengawal kitaran haid anda, mengurangkan jerawat dan mengurangkan pertumbuhan bulu yang berlebihan.
- Ubat untuk menghalang androgen: Sesetengah ubat boleh menyekat kesan androgen. Ini membantu mengawal pertumbuhan jerawat atau bulu yang disebabkan oleh PCOS.
- Ubat peka insulin: Metformin adalah ubat yang digunakan untuk merawat diabetes. Ia berfungsi dengan membantu badan anda memproses insulin. Sebaik sahaja insulin dikawal, sesetengah orang pesakit melihat penambahbaikkan dalam kitaran haid mereka.
- Perubahan gaya hidup: Menurunkan berat badan dan makan makanan yang sihat boleh memberi kesan positif kepada paras insulin.
Komplikasi Akibat PCOS
PCOS boleh menyebabkan komplikasi atau meningkatkan risiko kepada masalah kesihatan yang lain seperti:
- Ketidaksuburan
- Keguguran atau kelahiran pramatang
- Diabetes atau pradiabetes
- Tekanan darah tinggi
- Penyakit hati berlemak bukan alkohol
- Apnea tidur
- Kemurungan, keresahan dan kecelaruan makan
- Kanser endometrium
Rujukan
- Cleveland Clinic medical professional. (2021). Polycystic Ovary Syndrome. Cleveland Clinic