Menopaus atau putus haid ialah masa yang menandakan berakhirnya kitaran haid anda. Ia didiagnosis selepas anda tidak didatangi haid selama 12 bulan. Menopaus juga bermaksud anda tidak boleh lagi mendapat zuriat.
Menopaus berlaku dalam kalangan wanita berumur 45 hingga 55 tahun, secara puratanya pada umur 50 tahun.
Meskipun begitu, menopaus boleh berlaku kepada wanita sebelum usia 40 tahun. Ia dikenali sebagai menopaus awal atau pramatang. Menopaus awal ini mungkin disebabkan oleh perkara-perkara berikut:
- Pembedahan mengeluarkan kanser ovari.
- Penyakit keturunan seperti familial ovarian failure atau galactosemia.
- Penyakit darah (autoimun) seperti penyakit Crohn, hipotiroidisme, artritis reumatoid atau lupus eritematosus sistemik.
- Jangkitan virus.

Tanda-tanda atau Gejala Menopaus
Tanda-tanda peralihan yang boleh berlaku kepada sesetengah atau semua wanita adalah:
- Panas dan kemerahan di muka (hot flashes)
- Berpeluh pada waktu malam
- Kekeringan faraj
- Sukar untuk tidur (insomnia)
- Perubahan emosi
- Kulit, mata atau mulut menjadi kering
- Kerap kencing
- Sindrom pramenstruasi yang makin teruk
- Haid yang tidak teratur
- Haid yang lebih banyak atau kurang daripada kebiasaan
Sesetengah orang mungkin mengalami tanda-tanda atau gejala berikut:
- Sakit kepala
- Jantung berdenyut kencang
- Sakit pada sendi dan otot
- Kurang daya seks
- Peningkatan berat badan
- Kurang daya ingatan
- Rambut bertambah gugur
Tanda-tanda atau gejala ini boleh menjadi tanda bahawa ovari menghasilkan kurang hormon estrogen atau tanda peningkatan turun naik dalam paras hormon.
Apa itu Keadaan Panas dan Kemerahan di Muka?
85% wanita yang menopaus mengalami keadaan panas dan kemerahan di muka (hot flashes). Ia merupakan tanda atau gejala yang paling kerap berlaku.
- Kebiasaannya kepanasan mula dirasai dari kepala dan muka kemudian menular ke leher serta bahagian badan yang lain.
- Biasanya ia berlaku dalam tempoh 3 hingga 6 minit.
- Kepanasan ini boleh disertai dengan peningkatan kelajuan denyutan jantung secara tiba-tiba, suhu kulit meningkat dan berpeluh-peluh.
- Boleh berlaku sekali dalam sebulan, sekali dalam seminggu atau beberapa kali dalam setiap jam.
Punca
Menopaus adalah proses semula jadi yang berlaku apabila ovari semakin tua dan menghasilkan kurang hormon pembiakan.
Badan akan mula mengalami beberapa perubahan apabila paras hormon berikut berkurang:
- Estrogen
- Progesteron
- Testosteron
- Hormon perangsang folikel (FSH)
- Hormon peluteinan (LH)
Salah satu perubahan yang paling ketara ialah kehilangan folikel ovari yang aktif. Folikel ovari adalah struktur yang menghasilkan dan melepaskan telur dari dinding ovari, membolehkan haid dan kesuburan.
Terdapat beberapa punca lain yang menjadi pencetus kepada menopaus iaitu:
- Pembedahan pembuangan ovari.
- Kemoterapi atau terapi radiasi.
- Penyakit autoimun atau faktor genetik.
Rawatan
Menopaus tidak memerlukan rawatan perubatan. Sebaliknya, rawatan memberi tumpuan kepada melegakan tanda dan gejala yang menjejaskan kualiti hidup anda. Rawatan juga boleh mencegah atau menguruskan keadaan kronik yang mungkin berlaku dengan penuaan.
Rawatan boleh terdiri daripada:
- Terapi hormon: Berkesan untuk merawat kepanasan dan kemerahan di muka (hot flashes). Walau bagaimanapun, terapi hormon tidak boleh diambil pada jangka masa yang lama kerana boleh meningkatkan risiko kanser.
- Estrogen faraj: Rawatan ini boleh melegakan kekeringan faraj dengan memberikan estrogen terus ke faraj menggunakan krim atau tablet.
- Ubat anntidepresi dos rendah: Ubat ini boleh mengurangkan kepanasan dan kemerahan di muka.
- Gabapentin: Ubat sawan ini juga boleh mengurangkan kepanasan dan kemerahan di muka.
- Clonidine: Ubat untuk merawat tekanan darah tinggi boleh juga digunakan untuk melegakan kepanasan dan kemerahan di muka.
- Ubat untuk merawat osteoporosis: Bergantung kepada keperluan individu, ubat mungkin diperlukan untuk mencegah atau merawat osteoporosis.
Selain itu, mengamalkan gaya hidup sihat dapat mengurangkan dengan berkesan tanda-tanda atau gejala menopaus yang tidak disenangi. Ini termasuklah:
- Makan makanan yang berkhasiat
- Elakkan merokok
- Berfikir secara positif
- Selalu bersenam
Komplikasi
Selepas menopaus, anda berisiko untuk mengalami beberapa komplikasi seperti berikut:
- Osteoporosis
- Penyakit jantung
- Strok
- Inkotinens urinari
- Kurang daya seks
- Peningkatan berat badan