Osteoporosis adalah penyakit tulang yang terbentuk apabila apabila ketumpatan mineral tulang dan jisim tulang berkurangan atau apabila kualiti atau struktur tulang berubah.
Keadaan ini boleh mengurangkan kekuatan tulang dan meningkatkan risiko kepada kepatahan tulang (fraktur).
Dianggarkan kira-kira 200 juta orang menghidap osteoporosis di seluruh dunia. Selepas umur 50 tahun, 1 daripada 2 wanita dan 1 daripada 4 lelaki akan mengalami kepatahan tulang yang berkaitan dengan osteoporosis dalam kehidupan mereka.
Penyakit ini sering terjadi tanpa apa-apa simptom atau kesakitan, ia biasanya tidak diketahui sehinggalah tulang yang lemah menyebabkan kepatahan atau keretakan yang menyakitkan.
Kebanyakan patahan atau retakan ini berlaku di pinggul, pergelangan tangan dan tulang belakang.
Simptom-simptom atau Tanda
Osteoporosis dipanggil penyakit “senyap” kerana ia tidak menunjukkan tanda atau simptom-simptom awal sehinggalah berlakunya kepatahan tulang atau fraktur.
Bagi tulang anda yang telah lemah akibat daripada osteoporosis, anda mungkin akan mengalami simptom-simptom atau tanda berikut:
- Sakit belakang
- Tulang lebih mudah patah berbanding apa yang disangkakan
- Postur membongkok
- Semakin pendek
Punca
Osteoporosis berlaku apabila terlalu banyak jisim tulang hilang dan perubahan berlaku pada struktur tisu tulang. Faktor risiko tertentu boleh membawa kepada perkembangan osteoporosis atau boleh meningkatkan kemungkinan anda akan mendapat penyakit ini.
Tulang manusia sentiasa berada pada keadaan pembaharuan. Ini bermakna tulang baharu akan dihasilkan dan tulang lama akan rosak.
Semasa usia muda, badan menghasilkan tulang baru lebih pantas daripada tulang lama rosak dan jisim tulang meningkat.
Selepas umur 20-an, proses ini menjadi perlahan dan lazimnya kebanyakan orang mencapai puncaknya pada usia 30 tahun. Selepas itu, semakin lanjutnya usia seseorang itu, jisim tulang akan kehilangan lebih laju daripada ia dihasilkan.
Faktor risiko
Antara faktor risiko yang meningkatkan risiko kepada penyakit ini termasuklah:
- Jantina: Wanita lebih berisiko tinggi berbanding lelaki. Namun, lelaki tetap berisiko terutamanya selepas umur 70 tahun.
- Usia: Selari dengan peningkatan usia, pelesapan tulang turut berlaku lebih cepat berbanding pertumbuhan tulang baru.
- Saiz badan: Wanita dan lelaki yang kurus dan bertulang kecil berisiko lebih besar untuk mendapat osteoporosis.
- Bangsa: Wanita asia dan berkulit putih berisiko tinggi untuk mendapat penyakit ini.
- Keturunan: Seseorang itu berisiko tinggi sekiranya terdapat ahli keluarga yang pernah mengalami osteoporosis atau retak tulang pinggul.
- Perubahan hormon: Kekurangan paras hormon tertentu boleh meningkatkan risiko kepada penyakit ini. Contohnya paras hormon estrogen yang rendah dalam kalangan wanita menopaus.
- Diet (pemakanan): Pemakanan yang rendah dengan kalsium dan vitamin D meningkatkan risiko kepada kelesapan tulang dan osteoporosis.
- Masalah kesihatan: Penyakit gastrousus, reumatoid artritis, kanser, HIV/AIDS dan anoreksia nervosa boleh meningkatkan risiko terhadap penyakit ini.
- Ubat-ubatan: Sesetengah ubat-ubatan seperti ubat asma, ubat antiepilepsi atau ubat kanser yang diambil pada jangka masa yang panjang boleh meningkatkan risiko kepada penyakit ini.
- Gaya hidup: Kurang aktiviti fizikal, meminum arak dan merokok meningkatkan risiko kepada penyakit ini.
Diagnosis
Ujian ketumpatan mineral tulang (BMD) mungkin dijalankan untuk mengetahui perkadaran mineral di dalam tulang anda. Kaedah ini menggunakan sinaran-X pada paras yang rendah.
Rawatan
Matlamat rawatan adalah untuk memperlahankan atau menghentikan pelesapan tulang dan mencegah daripada kepatahan tulang. Rawatan osteoporosis ini meliputi beberapa aspek iaitu:
- Pengambilan nutrisi yang sewajarnya
- Perubahan gaya hidup
- Senaman
- Ubat-ubatan
Bentuk-bentuk rawatan adalah bergantung kepada anggaran risiko. Sekiranya risiko rendah, rawatan menggunakan ubat mungkin tidak digunakan sebaliknya lebih menumpukan kepada langkah-langkah lain yang boleh mengurangkan risiko kepada pelesapan tulang dan jatuh.
Nutrisi
Pemakanan yang seimbang dan sihat adalah penting untuk merawat osteoporosis. Amalkan pemakanan seperti berikut:
- Makan banyak sayur-sayuran dan buah-buahan.
- Ambil jumlah kalori yang bersesuaian dengan usia, tinggi dan berat anda.
- Ambil makanan atau minuman yang tinggi dengan kalsium, protein dan vitamin D.
Gaya Hidup
Gaya hidup turut memainkan peranan penting dalam membantu merawat dan mencegah penyakit ini. Untuk mendapatkan tulang yang sihat dan kuat, anda mestilah:
- Berhenti merokok.
- Elakkan daripada menjadi perokok pasif.
- Berhenti meminum arak.
- Dapatkan pemeriksaan doktor secara berkala.
Senaman
Senaman juga boleh membantu merawat osteoporosis. Latihan kekuatan dan rintangan adalah baik untuk kesihatan tulang. Senaman yang kerap boleh membantu golongan berusia untuk:
- Membina jisim otot dan kekuatan otot.
- Meningkatkan keseimbangan dan koordinasi (ini boleh mengurangkan risiko untuk jatuh).
- Menambah baik fungsi harian.
Ubat-ubatan
Doktor mungkin akan mempreskripsi ubat untuk merawat osteoporosis. Contohnya seperti:
- Bisphosphonates
- Calcitonin
- Estrogen agonist
- Terapi estrogen dan hormon
- Sclerostin inhibitor
- RANK ligand (RANKL) inhibitor.
- Parathyroid hormone (PTH) analog
- Parathyroid hormone related-protein (PTHrP) analog.
Rujukan
- Mayo Clinic Staff. (2021). Osteoporosis. MayoClinic [pautan]
- Cleveland Clinic medical professional. (2020). Osteoporosis. Cleveland Clinic [pautan]
- National Institute of Arthritis and Musculoskeletal and Skin Diseases. [n.d] Osteoporosis Overview.