Penyakit jantung koronari adalah sejenis penyakit jantung yang berlaku apabila arteri jantung tidak dapat menghantar darah kaya oksigen yang mencukupi ke jantung.
Penyakit jantung koronari selalunya disebabkan oleh pembentukan plak kolesterol di dalam lapisan arteri koronari yang lebih besar. Pengumpulan ini boleh menyekat sebahagian atau keseluruhan aliran darah dalam arteri besar jantung.
Jika keadaan ini berlanjutan pengaliran darah ke otot jantung akan berkurangan. Ini akan mengakibatkan sakit dada. Jika bekalan darah berkurangan ke tahap yang kritikal, seseorang itu akan mendapat serangan jantung.
Penyakit jantung koronari adalah antara penyebab kematian utama di hospital-hospital kerajaan di Malaysia.
Tanda-tanda atau Simptom Penyakit Jantung Koronari
Simptom-simptom penyakit jantung koronari mungkin berbeza bagi setiap orang walaupun mereka mempunyai jenis penyakit jantung koronari yang sama.
Walau bagaimanapun, disebabkan ramai orang tidak mempunyai simptom, mereka tidak tahu bahawa mereka mempunyai penyakit jantung koronari sehingga mereka mengalami sakit dada, serangan jantung, atau serangan jantung secara tiba-tiba.
Pesakit mungkin berasa sakit dada atau sesak nafas semasa bersenam atau melakukan aktiviti. Kadang-kadang kesakitan boleh dirasai pada bahagian bahu, lengan, leher, rahang atau belakang badan.
Semasa serangan jantung, pesakit akan mengalami sakit dada secara tiba-tiba dan diiringi dengan berpeluh, loya, berdebar dan pening.
Punca Penyakit Jantung Koronari
Penyakit ini bermula dengan kerosakan atau kecederaan pada lapisan dalam arteri koronari, kadangkala seawal zaman kanak-kanak. Kerosakan mungkin disebabkan oleh pelbagai faktor, termasuk:
- Tekanan darah tinggi
- Kolesterol tinggi
- Merokok
- Diabetes atau penyakit kencing manis
- Gaya hidup tidak aktif
Sebaik sahaja dinding dalaman arteri rosak, deposit lemak (plak) yang diperbuat daripada kolesterol dan bahan buangan bersel lain cenderung berkumpul di tempat kecederaan.
Faktor risiko
Beberapa faktor berikut boleh meningkatkan risiko kepada penyakit jantung ini:
- Usia: Golongan berumur berisiko tinggi.
- Jantina: Lelaki lebih berisiko tinggi.
- Keturunan: Keturunan boleh meningkatkan risiko kepada penyakit ini.
- Tekanan darah tinggi: Tekanan darah tinggi yang tidak terkawal boleh mengakibatkan pengerasan dan penebalan arteri anda.
- Paras kolesterol yang tinggi: Tahap kolesterol yang tinggi dalam darah anda boleh meningkatkan risiko pembentukan plak dan aterosklerosis.
- Diabetes: Diabetes turut meningkatkan risiko kepada penyakit jantung ini.
- Obesiti atau berat badan berlebihan: Berat badan berlebihan biasanya memburukkan lagi faktor risiko lain.
- Tidak aktif secara fizikal.
- Tekanan yang tinggi: Tekanan dalam hidup anda boleh merosakkan arteri.
- Pemakanan yang tidak sihat: Makan terlalu banyak makanan yang mempunyai jumlah lemak tepu, lemak trans, garam dan gula yang tinggi boleh meningkatkan risiko kepada penyakit jantung ini.
Rawatan
Rawatan untuk penyakit jantung koronari biasanya melibatkan perubahan gaya hidup dan, jika perlu, ubat-ubatan dan prosedur perubatan tertentu.
Perubahan gaya hidup
Beberapa amalan atau perubahan gaya hidup boleh membantu merawat penyakit ini:
- Berhenti merokok
- Makan makanan sihat
- Bersenam dengan kerap
- Mengurangkan tekanan (stres)
- Kurangkan berat badan berlebihan
Ubat-ubatan
Ubat diberi untuk:
- Mengurangkan pembekuan darah dan mencairkan darah.
- Mengurangkan kadar denyutan dan tekanan darah supaya mengurangkan keperluan oksigen oleh jantung.
- Mengembangkan saluran darah untuk meningkatkan bekalan oksigen.
- Untuk pengawalan secara optima terhadap tekanan darah tinggi, paras gula untuk pesakit diabetes dan paras kolesterol.
- Serangan jantung akut, pencairan darah beku adalah berkesan jika rawatan diberi dalam masa 6 jam
Prosedur Perubatan
- Prosedur angioplasty – prosedur untuk membuka saluran arteri
- Pembedahan pemintasan arteri koronari – pakar bedah mencipta cantuman untuk memintas arteri koronari yang tersumbat menggunakan saluran dari bahagian lain badan anda.
Kesan Penyakit Jantung Koronari
Penyakit jantung koronari yang tidak dirawat boleh menyebabkan:
- Sakit dada
- Serangan jantung
- Kegagalan jantung
- Aritmia
- Kematian
Rujukan
- Mayo Clinic Staff. (2020). Coronary artery disease. MayoClinic
- National Heart, Lung and Blood Institute. Coronary Heart Disease.