Pesakit demam denggi perlu mendapatkan makanan yang baik untuk demam denggi bagi membantu mempercepatkan penyembuhan. Terdapat makanan tertentu untuk demam denggi yang boleh membantu memenuhi keperluan nutrien dan elektrolit yang terganggu akibat jangkitan virus denggi.
Apa itu Demam Denggi?
Demam denggi adalah demam yang disebabkan oleh virus denggi iaitu Flavivirus. Virus ini tersebar kepada manusia melalui gigitan nyamuk Aedes.
Sekiranya tidak dirawat, sesetengah demam denggi biasa boleh menjadi demam denggi berdarah dan demam denggi berdarah boleh menjadi lebih teruk yang mengakibatkan sindrom renjatan denggi. Sindrom renjatan denggi ini boleh membawa maut.
Demam denggi boleh menyebabkan gangguan terhadap elektrolit dalam badan. Jangkitan virus ini boleh menyebabkan kelemahan otot saraf akibat daripada paras kalium (potassium) dalam darah yang rendah.
Tambahan lagi, sekiranya demam denggi tersebut menjadi semakin teruk seperti demam denggi berdarah, ia boleh menyebabkan penurunan paras platelet dalam darah. Keadaan ini akan menyebab renjatan, perdarahan dalaman, kegagalan organ dan kematian.
Oleh itu, selain daripada rawatan perubatan. Intervensi dalam bentuk pemakanan juga boleh membantu mempercepatkan penyembuhan pesakit.
Makanan untuk Dimakan
Asas dalam terapi pemakanan untuk pesakit demam denggi adalah terdiri daripada makanan yang tinggi protein, air dan cecair yang banyak, makanan yang tidak berminyak dan pedas serta makanan yang lembut yang memudahkan penghadaman.
Berikut adalah makanan dan minuman untuk pesakit demam denggi:
1. Air Kelapa
Air kelapa adalah minuman yang kaya dengan elektrolit. Selain menghidratkan, air kelapa boleh membekalkan elektrolit seperti kalsium, magnesium, kalium dan natrium.
2. Air Lemon atau Jus Oren
Air lemon atau jus oren juga adalah minuman yang baik untuk pesakit demam denggi. Air lemon atau jus oren ini mengandungi vitamin C yang tinggi.
Vitamin C adalah vitamin yang bertindak sebagai antioksidan dan boleh meningkatkan kekuatan sistem imun badan.
Vitamin C boleh membantu menggalakkan penghasilan sel-sel darah putih bagi melawan jangkitan virus denggi. Biasanya, pesakit demam denggi mengalami bacaan sel darah putih yang rendah. [1]
3. Daun Betik
Daun betik juga agak popular digunakan untuk merawat demam denggi. Daun betik ini boleh dijadikan jus atau direbus dan diminum airnya.
Satu kajian melaporkan bahawa daun betik mempunyai ciri-ciri antidenggi dengan meningkatkan kekuatan sistem imun melalui peningkatan penghasilan antibodi, mengurangkan keradangan dan meningkatkan jumlah platelet darah. [2]
4. Sup Sayur
Sup sayur terutamanya daripada sayur-sayuran berdaun hijau seperti bayam, sawi atau brokoli juga merupakan makanan yang baik untuk pesakit demam denggi.
Sayur-sayuran berdaun hijau ini tinggi dengan kandungan vitamin B, vitamin C, vitamin E, vitamin K dan mineral kalsium, zat besi, magnesium dan kalium.
Vitamin dan mineral ini penting untuk membekalkan tenaga, menguatkan sistem imun badan dan mengembalikan elektrolit yang hilang.
5. Bubur Nasi
Bubur nasi yang dicampurkan dengan daging ayam atau telur adalah hidangan yang baik untuk membekalkan nutrien yang diperlukan oleh badan.
Daging ayam atau telur adalah sumber protein yang baik di samping turut mengandungi mineral zink dan zat besi yang boleh membantu meningkatkan sistem imun badan dan jumlah sel darah merah.
Kekurangan mineral zink banyak berlaku dalam kalangan kanak-kanak di negara-negara membangun dan jangkitan denggi boleh memburukkan lagi keadaan ini.
Kajian yang melibatkan 50 orang kanak-kanak yang dijangkiti denggi mendapati pemberian suplemen zink bagi kanak-kanak tersebut berjaya mengurangkan tempoh jangkitan dan tempoh dimasukkan ke hospital. [3]
6. Daun Semambu
Air rebusan daun semambu juga mungkin boleh membantu menpercepatkan penyembuhan akibat jangkitan denggi ini.
Hal ini demikian kerana daun semambu mempunyai ciri-ciri antivirus yang boleh menghalang replikasi virus denggi.
Berdasarkan kajian tabung uji, ekstrak daun semambu boleh menghalang replikasi virus denggi jenis 2. [4]
Walau bagaimanapun, kajian ini adalah masih diperingkat awal dan memerlukan kajian lanjutan seperti kajian terhadap haiwan dan kajian klinikal terhadap manusia untuk mengesahkan keberkesanannya.
7. Minuman Sukan 100 Plus
Minuman sukan 100 Plus juga turut popular di negara ini dalam membantu merawat penyakit demam denggi.
Ini disebabkan oleh minuman sukan ini mengandungi elektrolit. Meminum minuman tenaga ini boleh menggantikan elektrolit yang hilang bagi pesakit demam denggi.
Meskipun begitu, harus diingat bahawa minuman sukan ini juga tinggi dengan kandungan gula tambahan.
8. Buah-buahan
Pesakit demam denggi juga berkemungkinan besar akan kurang berselera untuk makan.
Oleh itu, salah satu cara bagi membolehkan mereka mengekalkan status nutrisi mereka adalah melalui pemakanan buah-buahan. Buah-buahan kaya dengan pelbagai vitamin dan mineral yang baik untuk fungsi dan sistem imun badan.
Antara buah-buahan yang selesa untuk perut adalah:
- Pisang
- Betik
- Oren
- Limau gedang
- Strawberi
- Beri biru
- Beri hitam
- Delima
Makanan yang Perlu Dielakkan
Elakkan makanan-makanan yang pedas, berminyak atau tinggi dengan lemak bagi mengelakkan ketidakselesaan kepada perut.
Selain itu, minuman yang berkafein, susu, produk tenusu atau pemanis tiruan juga perlu dielakkan.
Oleh sebab pesakit yang dijangkiti denggi boleh mengalami simptom-simptom seperti cirit-birit, loya dan muntah, memakan makanan seperti ini boleh menyebabkan simptom-simptom ini bertambah teruk.
Rujukan
- Huijskens, M. J. et al. (2014). Technical advance: ascorbic acid induces development of double-positive T cells from human hematopoietic stem cells in the absence of stromal cells. Journal of leukocyte biology.
- Sarker, M. et al. (2021). Dengue Fever: Therapeutic Potential of Carica papaya L. Leaves. Frontiers in pharmacology.
- Rerksuppaphol, S., & Rerksuppaphol, L. (2018). A Randomized Controlled Trial of Zinc Supplementation as Adjuvant Therapy for Dengue Viral Infection in Thai Children. International journal of preventive medicine.
- Parida, M. M. et al. (2002). Inhibitory potential of neem (Azadirachta indica Juss) leaves on dengue virus type-2 replication. Journal of ethnopharmacology.