Demam denggi berdarah adalah peringkat demam denggi yang teruk yang berlaku akibat jangkitan virus denggi.
Demam denggi berdarah boleh menyebabkan perdarahan serius, penurunan tekanan darah secara tiba-tiba (kejutan) dan kematian.
Demam denggi berdarah berlaku apabila saluran darah menjadi rosak dan bocor, serta bilangan platelet di dalam saluran darah merosot.
Keadaan ini boleh membawa kepada kejutan, perdarahan dalaman, kegagalan organ dan juga kematian.
Tanda-tanda atau Gejala Demam Denggi Berdarah
Demam denggi berdarah selalunya bermula dengan demam mendadak dan sakit kepala. Pada mulanya, ia tidak dapat dibezakan daripada demam denggi biasa (klasik).
Beberapa tanda atau gejala amaran yang boleh menunjukkan kemungkinan ia boleh membawa kepada demam denggi berdarah adalah:
- Sakit perut yang teruk
- Muntah yang berulang-ulang
- Muntah darah
- Sembab
- Gusi atau hidung berdarah
- Air kencing atau najis berdarah
- Keletihan, kekeliruan dan kegelisahan
- Najis berwarna hitam
- Perdarahan di bawah kulit yang kelihatan seperti lebam
- Perubahan suhu (daripada demam ke hipotermia)
- Kulit menjadi pucat dan sejuk
- Sukar atau bernafas laju
Kegagalan pelbagai organ boleh berlaku dengan pantas selepas 2 hingga 6 hari demam denggi berdarah ini berlaku.
Tanda-tanda amaran demam denggi berdarah ini biasanya berlaku sekitar masa demam mula kebah (iaitu sekitar 3-7 hari selepas gejala-gejala berlaku).
Sekiranya anda atau ahli keluarga anda menunjukkan tanda-tanda ini selepas terkena jangkitan denggi, sila bawa mereka ke hospital dengan segera.
Punca Demam Denggi Berdarah
Demam denggi disebabkan oleh salah satu daripada 4 jenis virus denggi. Demam denggi ini tersebar melalui gigitan nyamuk Aedes.
Sekiranya anda dijangkiti dan pulih daripada demam denggi, badan anda akan mempunyai imuniti jangka masa panjang terhadap jenis virus yang menjangkiti anda tersebut.
Tetapi tidak kepada 3 jenis virus denggi yang lain. Ini bermakna anda boleh dijangkiti lagi di masa hadapan.
Bagi demam denggi berdarah pula, ia sangat berkaitan dengan jangkitan kedua, ketiga atau keempat. Dengan kata lain, anda berisiko untuk mengalami demam denggi berdarah sekiranya anda mengalami demam denggi kali kedua, ketiga atau keempat.
Rawatan
Bagi anda yang mengalami demam denggi berdarah, anda perlu dimasukkan ke wad untuk rawatan dan pemantauan.
Beberapa pendekatan rawatan yang mungkin diberikan adalah seperti berikut:
- Pesakit akan diberikan cecair intravena (IV).
- Penggantian elektrolit dilakukan.
- Pemantauan tekanan darah.
- Transfusi darah bagi menggantikan darah yang hilang.
- Transfusi platelet sekiranya jumlah platelet menurun.
Rujukan
- Mayo Clinic Staff. (2022). Dengue fever. MayoClinic
- Schaefer TJ, Panda PK, Wolford RW. Dengue Fever. [Updated 2022 Nov 14]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2023 Jan-. Available from: NCBI
- WHO. (2023). Dengue and severe dengue.