Apa itu Hipotermia?
Hipotermia ialah keadaan suhu badan yang jauh lebih rendah daripada paras normal. Keadaan ini berlaku apabila badan kehilangan haba lebih cepat daripada ia boleh menghasilkan haba.
Pada paras normal, suhu badan adalah sekitar 37°C. Hipotermia berlaku apabila suhu badan jatuh di bawah 35°C.
Hipotermia disebabkan oleh pendedahan yang berpanjangan kepada suhu yang sangat sejuk. Apabila terdedah kepada suhu sejuk, badan anda mula kehilangan haba lebih cepat daripada yang dihasilkan.
Pendedahan yang lama akhirnya akan menggunakan tenaga yang tersimpan di dalam badan anda, yang membawa kepada suhu badan yang lebih rendah.
Apabila suhu badan seseorang sangat rendah, otak dan badan tidak dapat berfungsi dengan baik. Jika tidak dirawat, hipotermia boleh menyebabkan serangan jantung dan kematian.
Tanda-tanda dan Gejala
Menggigil adalah tanda pertama yang boleh anda perhatikan apabila suhu badan mula jatuh.
Selain itu, tanda-tanda dan gejala lain yang boleh berlaku bagi orang dewasa adalah:
- Menggumam
- Pernafasan pendek
- Denyutan nadi yang lemah
- Kekurangan koordinasi
- Kekeliruan atau hilang ingatan
- Tidak sedarkan diri
- Kulit menjadi pucat
- Kencing berlebihan
- Tekanan darah menurun
- Anak mata terbeliak
Manakala, bagi bayi pula, tanda-tanda dan gejala yang boleh diperhatikan adalah:
- Kulit menjadi sejuk dan merah cerah
- Lemah atau tidak bertenaga
Seseorang yang mengalami hipotermia biasanya tidak menyedari keadaannya kerana gejala selalunya bermula secara beransur-ansur.
Punca atau Penyebab
Hipotermia berlaku apabila badan anda kehilangan haba lebih cepat daripada yang dihasilkannya. Penyebab hipotermia yang paling biasa ialah pendedahan kepada keadaan cuaca sejuk atau air sejuk.
Selain itu juga pendedahan yang berpanjangan kepada mana-mana persekitaran yang lebih sejuk daripada badan anda boleh menyebabkan hipotermia jika anda tidak berpakaian sesuai atau tidak dapat mengawal keadaan.
Terdapat juga keadaan tertentu yang boleh menyebabkan hipotermia seperti:
- Berada di dalam kesejukan terlalu lama
- Memakai pakaian yang tidak sesuai pada cuaca sejuk
- Terjatuh ke dalam air
- Tinggal di rumah yang terlalu sejuk (mungkin disebabkan terlalu banyak pendingin hawa)
- Memakai pakaian basah terutamanya pada musim sejuk
Golongan Berisiko
Terdapat beberapa golongan yang berisiko tinggi atau mudah untuk mengalami hipotermia. Antaranya adalah:
- Golongan berusia yang tidak mendapatkan makanan, pakaian atau pemanasan yang mencukupi.
- Bayi yang tidur di dalam bilik yang sejuk.
- Orang yang berada diluar terlalu lama seperti gelandangan.
- Orang yang minum alkohol atau penagih dadah.
Rawatan
Langkah pertama dalam merawat hipotermia adalah:
- Bergerak ke kawasan yang lebih panas dan kering.
- Tukarkan pakaian yang basah dengan pakaian yang kering.
- Selimutkan dengan kain selimut, jaket atau topi.
- Sediakan minuman panas (minuman tidak beralkohol dan berkafein).
Sekiranya keadaannya lebih teruk, rawatan kecemasan mungkin diperlukan. Doktor mungkin melakukan rawatan-rawatan berikut:
- Suntikan intravena (IV) bagi tujuan menghangatkan darah dalam badan.
- Memberikan oksigen yang hangat melalui topeng atau tiub pernafasan.
- Menggunakan mesin yang menghangatkan darah dan mengepam kembali ke dalam badan.
Rujukan
- Cleveland Clinic medical professional. (2019). Hypothermia (Low Body Temperature). Cleveland Clinic
- Mayo Clinic Staff. (2022). Hypothermia. MayoClinic