Demam denggi sering menjadi ancaman kesihatan di seluruh dunia termasuklah di Malaysia. Mungkin masih ramai yang tidak mengetahui sama ada demam denggi boleh berjangkit atau tidak?
Mungkin juga masih tidak jelas mengenai tanda-tanda atau gejala demam denggi. Justeru itu, artikel ini akan menjawab beberapa persoalan yang mungkin bermain di minda anda.
Apa itu Demam Denggi?
Demam denggi adalah sejenis penyakit jangkitan virus yang merebak melalui gigitan nyamuk Aedes (Aedes aegypti atau Aedes albopictus) yang telah dijangkiti.
Terdapat 4 jenis virus yang boleh menyebabkan demam denggi iaitu DEN 1, DEN 2, DEN 3 dan DEN 4.
Jangkitan oleh salah satu jenis virus akan memberikan imuniti terhadap virus jenis itu sahaja. Jika individu tinggal di kawasan berisiko denggi, mereka boleh di jangkiti lebih daripada sekali seumur hidupnya.
Tanda-tanda atau Gejala Demam Denggi
Lazimnya, demam akan terjadi pada hari ke-3 hingga ke-14 selepas seseorang itu digigit oleh nyamuk Aedes yang telah dijangkiti.
Biasanya, ia bermula dengan demam panas dengan suhu boleh mencapai 40ºC hingga 41ºC yang berlaku secara mengejut.
Demam ini turut diikuti dengan tanda-tanda lain seperti:
- Sakit kepala yang teruk
- Sakit pada bahagian belakang mata atau biji mata
- Sakit otot-otot
- Ruam merah di kulit
- Sakit tulang belakang
- Sakit sendi-sendi
- Loya dan muntah-muntah
- Kurang selera makan
- Sawan (bagi kanak-kanak)
Demam panas ini selalunya berlarutan selama 2 hingga 7 hari. Ruam pula selalunya akan tumbuh pada hari ke 3 dan 4 selepas bermulanya demam.
Kebanyakan orang pulih dalam masa seminggu atau lebih. Dalam sesetengah kes, gejala-gejala menjadi bertambah teruk dan boleh mengancam nyawa.
Keadaan ini dipanggil denggi teruk, demam denggi berdarah atau sindrom renjatan denggi.
Tanda-tanda Amaran Jangkitan Denggi yang Teruk
Selain tanda-tanda biasanya, anda juga harus peka terhadap tanda-tanda denggi yang teruk. Tanda-tanda amaran biasanya bermula dalam amsa 24-48 jam selepas demam telah kebah (mereda).
Segera pergi ke klinik berdekatan atau unit kecemasan jika anda atau ahli keluarga mempunyai mana-mana tanda atau gejala berikut:
- Penurunan suhu badan di bawah 38ºC
- Sakit perut yang teruk
- Muntah berterusan (sekurang-kurangya 3 kali dalam masa 24 jam)
- Gusi atau hidung berdarah
- Muntah berdarah
- Pernafasan laju
- Keletihan dan keresahan
- Mengantuk
Adakah Demam Denggi Boleh Berjangkit?
Virus denggi boleh berjangkit kepada orang lain melalui gigitan nyamuk Aedes yang telah dijangkiti.
Nyamuk Aedes tersebut boleh dijangkiti apabila ia menggigit individu yang telah dijangkiti oleh virus denggi.
Nyamuk Aedes tersebut kemudiannya boleh menyebarkan virus tersebut kepada orang lain melalui gigitan.
Selain itu juga, wanita hamil yang telah dijangkiti denggi boleh menyebarkan virus itu kepada janinnya semasa hamil atau sekitar masa kelahiran.
Dalam kes-kes terpencil, virus denggi juga boleh tersebar melalui transfusi darah, pemindahan organ atau melalui kecederaan batang jarum.
Punca yang Menyebabkan Demam Denggi
Demam denggi berpunca daripada salah satu daripada 4 jenis virus denggi. Anda tidak akan mendapat demam denggi hanya berada di sekeliling mereka yang telah dijangkiti.
Sebaliknya, demam denggi ini hanya akan tersebar melalui gigitan nyamuk.
Selepas anda pulih daripada demam denggi, anda mempunyai imuniti jangka panjang terhadap jenis virus yang menjangkiti anda, tetapi tidak terhadap tiga jenis virus demam denggi yang lain.
Ini bermakna anda boleh dijangkiti lagi pada masa hadapan oleh salah satu daripada tiga jenis virus yang lain.
Risiko anda mendapat demam denggi yang teruk meningkat jika anda mendapat demam denggi buat kali kedua, ketiga atau keempat.
Bagaimana Demam Denggi Dirawat?
Sekiranya anda mengesyaki anda menghidap demam denggi, segera berjumpa dengan doktor kerana tiada ubat yang khusus untuk merawat demam denggi.
Anda biasanya diberikan ubat demam dan dinasihatkan berehat serta digalakkan minum air. Anda boleh dimasukkan ke dalam wad sekiranya disyaki menghidap demam denggi berdarah.
Selain itu, anda boleh mengambil langkah-langkah perawatan berikut:
- Rehat dan banyakkan minum air masak.
- Ubat paracetamol boleh diambil untuk menurunkan demam dan mengurangkan kesakitan.
- Mandi jerlum.
- Elakkan ubat aspirin (ubat tahan sakit) bagi kanak-kanak di bawah umur 12 tahun.
Langkah-langkah Pencegahan
Anda boleh mencegah atau mengelakkan demam denggi dengan mengambil langkah-langkah pencegahan berikut:
- Gunakan ubat nyamuk.
- Gunakan kelambu semasa tidur.
- Elakkan aktiviti semasa nyamuk aktif menggigit (5.30 pagi-8.00 pagi dan 5.30 petang-8.00 malam).
- Pakai pakaian berlengan panjang dan seluar panjang apabila keluar daripada rumah.
- Pasang jaring halus (mosquito mesh) di tingkap dan pintu.
- Menghapuskan tempat pembiakan nyamuk di sekeliling rumah. Musnahkan semua bekas yang boleh menakung air hujan atau lebihan air, terutamanya di besen, tayar lama, bekas bunga, bekas plastik dan tong. Jika tidak boleh dimusnahkan, letakkan bahan pembunuh jentik-jentik di bekas tersebut.
- Kerap tukar air di bekas minuman haiwan peliharaan.
Rujukan
- WHO. Denggi.
- Majlis Keselamatan Negara. (2022). Fakta Mengenai Demam Denggi.
- Centers for Disease Control and Prevention. Dengue.