Khasiat daun semambu pernah tular di media sosial kerana dikatakan boleh merawat jangkitan COVID-19. Mungkin tuntutan ini dibuat disebabkan oleh khasiat daun semambu yang pelbagai.
Bagi mendidik masyarkat dengan maklumat yang lebih tepat, artikel ini menyenaraikan khasiat-khasiat daun semambu berdasarkan kajian-kajian sains perubatan.
Daun semambu adalah daun daripada pokok semambu yang turut dikenali dengan nama “mambu”, “neem” atau secara saintifiknya Azadirachta indica. Tumbuhan daripada keluarga Meliaceae ini telah digunakan sejak dahulu lagi dalam perubatan tradisional Cina, Ayurveda dan Yunani.
Pokok semambu boleh dijumpai di kawasan-kawasan tropika dan subtropika seperti India, Bangladesh, Pakistan, Nepal dan Asia Tenggara.
Perubatan tradisional menggunakan pelbagai bahagian pokok semambu seperti daun, bunga, buah, biji, kulit pokok atau akar untuk merawat masalah-masalah kesihatan seperti keradangan, jangkitan, demam, penyakit kulit dan pergigian.
Melihat potensi daun semambu yang banyak, kajian-kajian moden juga turut dijalankan untuk merungkai dan membuktikan khasiat tumbuhan ini.
Berikut adalah khasiat-khasiat daun semambu yang bermanfaat untuk kesihatan anda:
1. Daun Semambu Kaya dengan Antioksidan
Antioksidan ialah sebatian yang boleh melindungi sel-sel sihat dalam badan daripada tekanan oksidatif yang disebabkan oleh radikal bebas.
Tekanan oksidatif banyak dikaitkan dengan penyakit-penyakit kronik seperti penyakit jantung, diabetes, kanser atau Alzheimer.
Kajian yang dijalankan untuk mengkaji aktiviti antioksidan daun semambu mendedahkan bahawa ekstrak daun semambu mempunyai ciri-ciri antioksidan yang signifikan. [1]
Kajian menunjukkan daun semambu mengandungi sebatian-sebatian antioksidan seperti: [2]
- Kuersetin
- Beta-sitosterol
- Asid askorbik
- Nimbin
- Katekin
- Asid galik
2. Daun Semambu Bersifat Antiradang
Keradangan adalah proses semula jadi pertahanan badan apabila berlaku kecederaan atau jangkitan. Pada asasnya, keradangan ini diperlukan untuk proses penyembuhan.
Namun, jika ia berlaku secara berpanjangan (kronik), keradangan ini boleh mendatangkan masalah termasuklah penyakit-penyakit kronik seperti strok, penyakit jantung, kanser, obesiti dan lain-lain.
Kajian terhadap haiwan menunjukkan bahawa ekstrak daun semambu menunjukkan aktiviti antiradang yang signifikan. [3]
Kajian lain turut menunjukkan ekstrak daun semambu mempunyai kesan antiradang yang signifikan tetapi kurang mujarab jika dibandingkan dengan ubat antiradang (dexamethasone). [4]
3. Daun Semambu Berpotensi Mencegah Kanser
Daun semambu juga dilihat berpotensi untuk mencegah dan merawat kanser.
Ciri-ciri antikanser daun semambu salah satunya disumbang oleh kandungan sebatian flavonoidnya. Banyak kajian yang mencadangkan bahawa pengambilan flavanoid yang tinggi boleh mengurangkan risiko kanser. [5]
Kajian makmal turut mendapati kandungan nimbolide dalam daun semambu boleh merencatkan pertumbuhan sel-sel kanser koriokarsinoma iaitu sel-sel kanser yang merupakan sebahagian daripada plasenta (uri). [6]
Walau bagaimanapun, kajian-kajian ini masih diperingkat awal dan memerlukan kajian klinikal untuk pengesahan.
4. Daun Semambu Baik untuk Penyakit Kencing Manis
Daun semambu juga didapati mempunyai ciri-ciri antidiabetes yang baik untuk penghidap kencing manis.
Ciri-ciri antidiabetes daun semambu ini dapat dilihat dalam kajian terhadap haiwan yang menghidap diabetes. Pengambilan ekstrak daun semambu boleh mengurangkan paras gula darah dengan signifikan dalam kalangan haiwan yang diuji. [7]
Kajian lain turut mendapati ekstrak daun semambu mempunyai aktiviti antidiabetes yang signifikan dan berpotensi untuk digunakan dalam perawatan penyakit kencing manis atau diabetes. [8]
5. Daun Semambu Boleh Mencegah Keracunan Makanan
Daun semambu juga mempunyai ciri-ciri antibakteria yang boleh melawan bakteria yang menyebabkan keracunan makanan.
Kajian menunjukkan bahawa ekstrak etanol daun semambu menunjukkan aktiviti antibakteria terhadap bakteria Staphylococcus aureus yang boleh menyebabkan keracunan makanan, jangkitan pada kulit, pneumonia dan jangkitan saluran kencing. [9]
6. Daun Semambu Baik untuk Kesihatan Hati
Daun semambu juga didapati mempunyai kesan perlindungan terhadap hati.
Hati adalah organ terbesar di dalam badan manusia yang bertanggungjawab untuk menyingkirkan toksin daripada darah, mengekalkan paras gula darah yang sihat, mengawal pembekuan darah dan fungsi-fungsi penting yang lain.
Walau bagaimanapun, hati terdedah kepada kecederaan atau kemerosotan fungsi akibat daripada ubat-ubatan, bahan kimia, toksin, alkohol, aditif makanan atau herba.
Kajian terhadap haiwan mendapati sebatian dalam daun semambu iaitu azadiracthin-A boleh melindungi hati daripada kerosakan akibat bahan kimia. Pada dos yang tinggi, azadiracthin ini didapati boleh memulihkan hati haiwan tersebut kepada normal. [10]
Terdapat juga kajian yang mendedahkan bahawa ekstrak daun semambu boleh melindungi hati daripada kerosakan akibat daripada paracetamol. [11]
7. Daun Semambu Boleh Membantu Menyembuhkan Luka
Daun semambu juga didapati berkhasiat dalam membantu menyembuhkan luka.
Khasiat daun semambu ini dilaporkan dalam kajian terhadap haiwan yang mendapati ekstrak daun semambu boleh menggalakkan aktiviti penyembuhan luka bagi luka hirisan atau pemotongan. [12]
8. Daun Semambu Bersifat Antivirus
Daun semambu juga didapati mempunyai ciri-ciri antivirus dalam kajian terhadap virus Coxsackie kumpulan B. [13]
Selain itu, terdapat juga kajian yang melaporkan bahawa ekstrak daun semambu berpotensi dalam mencegah COVID-19.
Kajian ini melaporkan bahawa ekstrak daun semambu boleh menghalang pengikatan virus COVID-19 pada dinding saluran darah. [14]
Kajian terhadap 190 individu pula melaporkan bahawa pengambilan kapsul ekstrak daun semambu sebanyak 50mg, 2 kali sehari selama 28 hari berjaya mengurangkan risiko jangkitan COVID-19. [15]
Walau bagaimanapun, kajian-kajian klinikal yang lebih besar dan terperinci harus dilakukan untuk menguatkan lagi dapatan kajian tersebut.
9. Daun Semambu Boleh Mencegah Malaria
Malaria adalah sejenis penyakit yang disebabkan oleh parasit Plasmodium dalam sel darah merah, yang disebarkan oleh gigitan nyamuk tiruk.
Daun semambu didapati mempunyai ciri-ciri antimalaria. Ciri-ciri ini dilaporkan dalam kajian terhadap haiwan yang mendapati ekstrak daun semambu boleh mengurangkan kandungan parasit dalam darah kira-kira sebanyak 51-80%. [16]
10. Daun Semambu Boleh Mengurangkan Sakit Gusi
Daun semambu juga turut digunakan dalam produk-produk pembersih mulut kerana ciri-ciri antibakteria dan antigingivitisnya.
Kajian terhadap 45 orang peserta yang mengalami radang gusi (gingivitis) akibat daripada plak gigi mendapati penggunaan pembersih mulut yang mengandungi daun semambu berkesan dalam mengurangkan keradangan gusi, perdarahan dan plak gigi berbanding plasebo. [17]
11. Daun Semambu Boleh Melindungi Tisu Otak
Satu kajian turut menunjukkan bahawa daun semambu mempunyai kesan perlindungan neuro terhadap tisu-tisu otak daripada ketoksikan akibat ubat kemoterapi.
Kajian terhadap haiwan ini mendapati daun semambu boleh mengurangkan kerosakan pada otak dan memelihara tisu otak dengan baik. [18]
Rumusan
Tidak dapat dinafikan lagi bahawa daun semambu mempunyai pelbagai khasiat yang bermanfaat kepada kesihatan seperti mana penggunaannya dalam perubatan tradisional.
Walau bagaimanapun, sesetengah khasiat daun semambu masih memerlukan kajian lanjutan seperti kajian klinikal untuk melihat kesannya terhadap manusia.
Rujukan
- Ghimeray, A.K. et al. (2009). Antioxidant activity and quantitative estimation of azadirachtin and nimbin in Azadirachta Indica A. Juss grown in foothills of Nepal. African Journal of Biotechnology.
- Islas, J.F. et al. (2020). An overview of Neem (Azadirachta indica) and its potential impact on health. Journal of Functional Foods.
- Chattopadhyay R. R. (1998). Possible biochemical mode of anti-inflammatory action of Azadirachta indica A. Juss. in rats. Indian journal of experimental biology.
- Mosaddek, A. S. M. & Rashid, M.M.U. (2018). A Comparative Study of the Anti-Inflammatory Effect of Aqueous Extract of Neem Leaf and Dexamethasone. Bangladesh Journal of Pharmacology.
- Harish Kumar, G. et al. (2010). The neem limonoids azadirachtin and nimbolide inhibit cell proliferation and induce apoptosis in an animal model of oral oncogenesis. Investigational new drugs.
- Harish Kumar, G. et al. (2009). Nimbolide a limonoid from Azadirachta indica inhibits proliferation and induces apoptosis of human choriocarcinoma (BeWo) cells. Investigational new drugs.
- Dholi,S.K. et al. (2011). Invivo Antidiabetic evaluation of Neem leaf extract in alloxan induced rats. Journal of Applied Pharmaceutical Science.
- Akter,R. et al. (2013). Comparative Studies on Antidiabetic effect with phytochemical screening of Azadirachta indicia and Andrographis paniculata. IOSR Journal of Pharmacy and Biological Sciences.
- Sarmiento, W.C. et al. (2011). An In-Vitro Study on The Antibacterial Effect of Neem (Azadirachta Indica) Leaf Extract on Methicillin-Sensitive And Methicillin-Resistant Staphylococcus Aureus. PIDSP Journal.
- Baligar, N. S. et al. (2014). Hepatoprotective activity of the neem-based constituent azadirachtin-A in carbon tetrachloride intoxicated Wistar rats. Canadian journal of physiology and pharmacology.
- Bhanwra, S. et al. (2000). Effect of Azadirachta indica (Neem) leaf aqueous extract on paracetamol-induced liver damage in rats. Indian journal of physiology and pharmacology.
- Barua, C.C. et al. (2010). Evaluation Of the Wound Healing Activity of Methanolic Extract of Azadirachta Indica (Neem) And Tinospora Cordifolia (Guduchi) In Rats. Pharmacologyonline.
- Badam, L. et al. (1999). ‘In vitro’ antiviral activity of neem (Azadirachta indica. A. Juss) leaf extract against group B coxsackieviruses. The Journal of communicable diseases.
- Eze, M. O. et al. (2022). Anti-COVID-19 potential of Azadirachta indica (Neem) leaf extract. Scientific African.
- Nesari, T. M. et al. (2021). Neem (Azadirachta Indica A. Juss) Capsules for Prophylaxis of COVID-19 Infection: A Pilot, Double-Blind, Randomized Controlled Trial. Alternative therapies in health and medicine.
- Bc, Akin-Osanaiye. et al. (2013). Antimalarial effect of Neem leaf and Neem stem bark extracts on plasmodium berghei infected in the pathology and treatment of malaria. International Journal of Research in Biochemistry and Biophysics.
- Chatterjee, A. et al. (2011). To evaluate the antigingivitis and antipalque effect of an Azadirachta indica (neem) mouthrinse on plaque induced gingivitis: A double-blind, randomized, controlled trial. Journal of Indian Society of Periodontology.
- Abdel Moneim A. E. (2014). Azadirachta indica attenuates cisplatin-induced neurotoxicity in rats. Indian journal of pharmacology.