Daun betik kaya dengan nutrien dan sebatian bioaktif yang memberikan pelbagai khasiat serta manfaat kesihatan.
Ia sering digunakan dalam perubatan tradisional dan kini semakin mendapat perhatian dalam kajian saintifik.
Dalam artikel ini, kita akan meneroka khasiat daun betik yang mungkin tidak diketahui ramai.

1. Meningkatkan Jumlah Platelet (Rawatan Denggi)
Ekstrak daun betik membantu meningkatkan bilangan platelet darah, terutamanya bagi pesakit demam denggi.
Kandungan papain, alkaloid, dan flavonoid dalam daun betik merangsang pengeluaran platelet dan menghalang pemecahan bekuan darah.
Terdapat laporan kes yang menunjukkan ekstrak daun betik dapat meningkatkan jumlah platelet dengan ketara dalam pesakit demam denggi tanpa kesan sampingan serius. [1]
2. Menyokong Pencernaan & Mengurangkan Masalah Perut
Daun betik mengandungi enzim papain, chymopapain, protease, dan amilase yang membantu memecahkan protein, karbohidrat, dan lemak.
Ini menjadikannya sesuai untuk individu yang mengalami masalah pencernaan seperti refluks asid, kembung perut, dan sindrom usus rengsa (IBS).
Kajian juga turut menunjukkan bahawa ekstrak daun betik turut berkhasiat dalam membantu mengurangkan ulser perut. [2]
3. Bersifat Antiradang Semula Jadi
Daun betik kaya dengan polifenol dan flavonoid, yang membantu mengurangkan keradangan dalam penyakit seperti arthritis, sakit sendi, dan penyakit keradangan kronik.
Kajian mendapati ekstrak daun betik mempunyai kesan antiradang yang boleh meningkatkan tindak balas imun dan mengurangkan bengkak akibat keradangan. [3]
4. Mengawal Gula dalam Darah dan Mengurangkan Risiko Diabetes
Ekstrak daun betik membantu menurunkan paras gula dalam darah dengan meningkatkan kepekaan insulin dan mengurangkan tekanan oksidatif dalam sel pankreas.
Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa tikus diabetes yang diberikan ekstrak daun betik mengalami penurunan ketara dalam paras glukosa darah dan kepekaan insulin. [4]
5. Merawat Jerawat dan Menyihatkan Kulit
Daun betik kaya dengan enzim dan antioksidan yang membantu mengurangkan jerawat, melambatkan penuaan, dan masalah kulit lain. [3]
Ekstraknya juga sering digunakan dalam produk penjagaan kulit semula jadi.
6. Berpotensi Mencegah Kanser
Beberapa kajian mencadangkan bahawa ekstrak daun betik mengandungi sebatian yang berpotensi melawan sel kanser, terutama dalam kanser darah, payudara, paru-paru, serviks, usus, prostat dan hati . [5]
Walau bagaimanapun, lebih banyak kajian manusia diperlukan untuk mengesahkan manfaat ini.
Peringatan!
Kebanyakan kajian menunjukkan ekstrak daun betik adalah selamat KECUALI pada kepekatan yang tinggi.
Rujukan
- Haward, R. et al. (2024). Papaya Leaf Extract Elevates Platelet Levels in Individuals With Dengue Fever. Cureus.
- Indran, M., Mahmood, A. A., & Kuppusamy, U. R. (2008). Protective effect of Carica papaya L leaf extract against alcohol induced acute gastric damage and blood oxidative stress in rats. The West Indian medical journal, 57(4), 323–326.
- Kong, Y. R. et al. (2021). Beneficial Role of Carica papaya Extracts and Phytochemicals on Oxidative Stress and Related Diseases: A Mini Review. Biology.
- Singh, S. P. et al. (2020). Therapeutic application of Carica papaya leaf extract in the management of human diseases. Daru.
- Sharma, A. et al.(2022). Carica papaya L. Leaves: Deciphering Its Antioxidant Bioactives, Biological Activities, Innovative Products, and Safety Aspects. Oxidative medicine and cellular longevity.