Semua orang akan tua, itu yang pasti. Tetapi ada orang yang kelihatan lebih tua daripada umurnya dan ada orang yang kelihatan lebih muda daripada umurnya. Apa rahsianya? Salah satu daripada rahsianya ialah mengamalkan makanan sihat atau makanan antipenuaan.
Sekiranya kita sering mangamalkan makanan sihat yang kaya dengan antioksidan, antiradang, vitamin dan mineral penting, lemak sihat dan air. Badan akan menunjukkan tindak balas melalui organ yang paling besar pada badan kita iaitu kulit.
Kulit juga turut menjadi organ yang selalu menunjukkan tanda-tanda sekiranya organ dalaman kita mempunyai masalah.

Sememangnya, terdapat produk-produk kosmetik yang boleh digunakan untuk menyembunyikan kedutan atau tanda-tanda penuaan lain. Tetapi, sudah pasti seseorang itu tidak mampu untuk menggunakannya 24 jam sehari 7 hari seminggu.
Maka, cara yang lebih baik dan selamat adalah melalui pemakanan yang sihat serta memilih makanan yang boleh membantu melambatkan penuaan.
Oleh itu, di sini kami senaraikan 10 makanan antipenuaan yang boleh membantu anda kekal awet muda dan sihat secara amnya.
1. Betik
Betik adalah buah yang enak dan tinggi antioksidan, vitamin, mineral dan sebatian yang boleh membantu melindungi kulit dan mencegah kerosakan kulit.
Kandungan vitamin C dan likopena dalam buah ini boleh melindungi kulit dan melambatkan penuaan kulit. [1]
Likopena juga didapati boleh melindungi kulit daripada sinaran UV yang menyebabkan kulit kemerah-merahan akibat daripada sinaran ini. [2]
2. Teh Hijau
Teh hijau juga terkenal dengan kandungan antioksidan yang boleh melindungi sel-sel badan daripada radikal bebas.
Teh hijau mengandungi antioksidan yang didapati boleh melindungi kulit manusia daripada tanda-tanda penuaan kulit akibat daripada sinaran matahari.
Sebatian antioksidan yang mempunyai ciri-ciri antiradang dan antikarsinogenik yang paling utama dalam teh hijau adalah epigallocatechin gallate (EGCG).
Terdapat kajian yang melaporkan bahawa epigallocatechin gallate (EGCG) sesuai digunakan untuk menghidratkan kulit, mengurangkan kedutan, mengekalkan kelembapan kulit dan mengurangkan penghasilan melanin. [3]
3. Minyak Zaitun
Minyak zaitun terutamanya minyak zaitun dara (virgin olive oil) adalah salah satu sumber lemak yang sihat di muka bumi ini.
Terdapat banyak khasiat minyak zaitun termasuklah untuk kesihatan kulit. Selain mempunyai sifat antiradang, kandungan lemak monotaktepu dalam minyak zaitun turut dikaitkan dengan peningkatan keanjalan kulit. [4]
4. Brokoli
Brokoli juga termasuk dalam makanan yang bersifat antipenuaan. Brokoli adalah sayur yang padat dengan nutrien dan pelbagai antioksidan.
Brokoli mengandungi vitamin C, E dan A yang penting untuk mengekalkan kulit yang sihat.
Vitamin C ialah antioksidan yang memainkan peranan penting dalam penghasilan kolagen. Kolagen adalah protein yang memberikan kekuatan dan keanjalan kepada kulit.
Vitamin E dan A pula adalah antioksidan yang boleh melindungi kulit daripada kerosakan akibat daripada sinaran matahari.
5. Anggur
Anggur juga sepatutnya menjadi pilihan anda untuk terus kekal awet muda.
Ini kerana anggur mengandungi antioksidan yang dikenali sebagai resveratrol. Resveratrol ini banyak terkandung pada lapisan kulit buah anggur (bukan pada isinya).
Selain khasiat-khasiat lain, resveratrol ini turut mempunyai kesan antipenuaan yang mujarab.
Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa resveratrol ini boleh melindungi sel-sel kulit daripada rosak akibat daripada radikal bebas dan sinaran UV. [5]
6. Tomato
Tomato juga mungkin tidak asing lagi dalam dunia kecantikan.
Tomato mengandungi antioksidan yang dikenali sebagai likopena. Seperti mana betik, likopena ini adalah pigmen yang memberikan warna merah kepada tomato.
Selain bersifat antiradang, likopena juga boleh melindungi kulit daripada kanser kulit akibat daripada sinaran UV. [6]
7. Kayu Manis
Rempah seperti kayu manis juga turut bermanfaat dalam melambatkan penuaan dan meningkatkan kesihatan badan secara keseluruhannya.
Kayu manis didapati boleh membantu meningkatkan penghasilan kolagen yang seterusnya boleh melambatkan penuaan dan kedutan kulit. [7]
Sebatian antioksidan dalam kayu manis juga boleh mengurangkan kerosakan kulit yang berpunca daripada sebatian yang terbentuk akibat daripada paras gula yang tinggi dalam darah. [8]
8. Jambu Batu
Jambu batu adalah salah satu daripada buah-buahan tempatan yang sangat tinggi dengan vitamin C. Malah, kandungan vitamin C dalam jambu batu adalah lebih tinggi daripada buah oren.
Vitamin C adalah vitamin dan antioksidan yang sangat penting dalam menggalakkan penghasilan kolagen dan melindungi kulit daripada penuaan akibat daripada sinaran UV.
9. Minyak Ikan
Minyak ikan atau nama lainnya asid lemak Omega-3 adalah salah satu makanan yang turut bersifat antipenuaan.
Asid lemak Omega-3 ini mempunyai banyak khasiat kepada kesihatan termasuklah kepada kesihatan kulit.
Kajian-kajian melaporkan bahawa minyak ikan atau asid lemak Omega-3 ini berkhasiat dalam: [9]
- melindungi kulit daripada penuaan akibat sinaran UV
- melindungi kulit daripada kanser kulit
- melindungi kulit daripada masalah kulit seperti gatal-gatal atau dermatitis
- mempercepatkan penyembuhan luka
- mengurangkan hiperpigmentasi
10. Kunyit
Kunyit adalah rempah yang banyak digunakan dalam masakan Melayu dan India di negara ini.
Kunyit mengandungi sebatian antioksidan yang dikenali sebagai kurkumin. Kurkumin ini boleh melindungi sel-sel badan kita daripada tekanan oksidatif dan keradangan.
Selain itu, kajian juga mendapati kurkumin juga turut boleh merencatkan penuaan kulit dan pembentukan kanser kulit akibat daripada cahaya matahari. [10]
Rumusan
Sebenarnya terdapat banyak makanan antipenuaan yang ada disekeliling kita. Apa yang penting adalah kita memanfaatkan makanan-makanan ini dengan sebaiknya.
Selain daripada makanan-makanan yang disenaraikan di sini, anda juga boleh memilih buah-buahan atau sayur-sayuran yang mempunyai warna yang terang.
Warna ini menandakan makanan tersebut mengandungi antioksidan yang boleh melawan radikal bebas dan seterusnya menjadikan kulit anda kekal sihat dan anjal.
Rujukan
- Schagen, S. K. et al. (2012). Discovering the link between nutrition and skin aging. Dermato-endocrinology.
- Stahl, W. et al. (2006). Lycopene-rich products and dietary photoprotection. Photochemical & photobiological sciences.
- Kim, E. et al. (2018). Skin Protective Effect of Epigallocatechin Gallate. International journal of molecular sciences.
- Nagata, C. et al. (2010). Association of dietary fat, vegetables and antioxidant micronutrients with skin ageing in Japanese women. The British journal of nutrition.
- Ratz-Łyko, A., & Arct, J. (2019). Resveratrol as an active ingredient for cosmetic and dermatological applications: a review. Journal of cosmetic and laser therapy.
- Imran, M. et al. (2020). Lycopene as a Natural Antioxidant Used to Prevent Human Health Disorders. Antioxidants.
- Takasao, N. et al. (2012). Cinnamon extract promotes type I collagen biosynthesis via activation of IGF-I signaling in human dermal fibroblasts. Journal of agricultural and food chemistry.
- Peng, X. et al. (2010). Beneficial effects of cinnamon proanthocyanidins on the formation of specific advanced glycation endproducts and methylglyoxal-induced impairment on glucose consumption. Journal of agricultural and food chemistry.
- Huang, T. H. et al. (2018). Cosmetic and Therapeutic Applications of Fish Oil’s Fatty Acids on the Skin. Marine drugs.
- Heng M. C. (2010). Curcumin targeted signaling pathways: basis for anti-photoaging and anti-carcinogenic therapy. International journal of dermatology.