Apa itu Resveratrol?
Resveratrol ialah sejenis polifenol tumbuhan dalam kumpulan stilbenoid. Resveratrol menjadi popular kerana ia bertindak sebagai antioksidan dalam badan manusia dan mempunyai pelbagai khasiat atau kebaikan yang lain.
Antioksidan ialah sebatian yang boleh meneutralkan radikal bebas daripada merosakkan sel-sel badan yang sihat apabila jumlahnya terlalu tinggi.
Ketidakseimbangan antara antioksidan dan radikal bebas boleh menyebabkan keadaan yang dipanggil “tekanan oksidatif”.
Tekanan oksidatif banyak dikaitkan dengan penyakit-penyakit kronik seperti kanser, penyakit jantung, sakit sendi, asma atau penyakit kencing manis (diabetes).
Sebatian resveratrol terdapat dalam lebih 70 spesies tumbuhan terutamanya pada kulit dan biji buah anggur.
Kandungannya yang tinggi dalam buah anggur mungkin disebabkan oleh tumbuhan ini bertindak balas terhadap jangkitan kulat.
Dalam tumbuhan, resveratrol bertindak sebagai fitoaleksin yang disintesis sebagai tindak balas kepada kecederaan mekanikal, penyinaran UV dan serangan kulat.
Khasiat dan Kebaikan Resveratrol untuk Kesihatan
Banyak kajian-kajian yang menunjukkan bahawa resveratrol berkesan dalam mencegah sesetengah penyakit seperti penyakit kardiovaskular, kanser, diabetes, penyakit Alzheimer dan lain-lain.
Berikut adalah beberapa khasiat dan kebaikan resveratrol yang disokong oleh kajian-kajian saintifik:
1. Boleh Membantu Menurunkan Paras Kolesterol
Paras kolesterol yang tinggi dalam badan boleh meningkatkan risiko kepada penyakit jantung dan strok. Resveratrol didapati boleh membantu menurunkan paras kolesterol.
Satu kajian yang dijalankan terhadap haiwan yang diberikan diet tinggi lemak mendapati pemberian resveratrol boleh mengurangkan paras kolesterol total, berat badan dan meningkatkan paras kolesterol HDL (kolesterol baik). [1]
Satu kajian yang melibatkan 75 orang pesakit melaporkan bahawa pengambilan ekstrak anggur yang mengandungi resveratrol selama 6 bulan boleh menurunkan kolesterol LDL (kolesterol jahat) sebanyak 4.5% dan kolesterol LDL teroksida sebanyak 20%. [2]
2. Boleh Membantu Menurunkan Tekanan Darah
Resveratrol juga boleh membantu menurunkan tekanan darah.
Satu analisis yang melibatkan 6 kajian melaporkan bahawa pengambilan resveratrol pada dos yang tinggi boleh membantu menurunkan tekanan darah sistolik dengan ketara. [3]
Tekanan darah sistolik biasanya akan meningkatkan apabila umur seseorang itu meningkat akibat daripada arteri yang semakin mengeras.
3. Boleh Melindungi Otak
Resveratrol mempunyai ciri-ciri antioksidan dan antiradang yang boleh membantu melindungi otak daripada penyakit neurogeneratif seperti penyakit Alzheimer, penyakit Parkinson dan Huntington.
Satu kajian semula pada tahun 2022 ada membincangkan bahawa sebatian resveratrol mempunyai keupayaan untuk mengurangkan pengumpulan beta-amiloid dan ketoksikan dalam otak pesakit Alzheimer. [4]
Selain itu, sebatian ini turut menghalang kemerosotan otak.
Pengumpulan beta-amiloid ialah salah satu ciri-ciri kepada penyakit Alzheimer dan menghalang pengumpulan beta-amiloid tersebut boleh membantu merawat penyakit ini.
4. Berpotensi Mencegah Kanser
Resveratrol turut dikaji terutamanya dalam kajian tabung uji untuk melihat keupayaannya bagi mencegah dan merawat kanser.
Kajian tabung uji menunjukkan sebatian ini boleh melawan beberapa jenis sel-sel kanser seperti kanser gastrik, usus besar dan prostat. [5, 6, 7]
Walau bagaimanapun, kajian-kajian ini masih diperingkat awal dan memerlukan kajian lanjut untuk melihat kesan resveratrol pada kanser dalam badan manusia.
5. Boleh Membantu Menurunkan Paras Gula Darah
Resveratrol juga didapati mempunyai kebaikan kepada penghidap penyakit kencing manis atau diabetes.
Kebaikan resveratrol ini termasuklah meningkatkan kepekaan insulin dan mencegah komplikasi akibat daripada diabetes.
Kajian menunjukkan beberapa kebaikan atau manfaat resveratrol kepada penghidap diabetes seperti: [8]
- Melindungi daripada tekanan oksidatif: Tindakan antioksidannya boleh membantu melindungi daripada tekanan oksidatif, yang menyebabkan beberapa komplikasi diabetes.
- Membantu mengurangkan keradangan: Sebatian ini boleh membantu mengurangkan keradangan yang merupakan penyumbang kepada penyakit kronik seperti diabetes.
- Mengaktifkan AMPK: AMPK ialah protein yang membantu badan memetabolismekan glukosa (gula). Pengaktifan AMPK boleh membantu mengekalkan paras gula darah pada paras yang rendah.
6. Boleh Mengurangkan Sakit Sendi
Sakti sendi (artritis) terutamanya sakit sendi lutut adalah antara penyakit kronik yang boleh menjejaskan kualiti kehidupan penghidapnya.
Apabila diambil dalam bentuk suplemen, resveratrol boleh membantu melindungi rawan sendi daripada haus (rosak). [9]
Kerosakan rawan boleh menyebabkan sakit sendi dan merupakan salah satu gejala utama arthritis
7. Boleh Mencegah Jangkitan Bakteria dan Kulat
Resveratrol juga boleh membantu mencegah jangkitan bakteria dan kulat.
Satu kajian pada tahun 2011 menunjukkan bahawa sebatian resveratrol boleh merencatkan pertumbuhan kulat jenis Candida albicans. [10]
Candida albicans adalah kulat atau fungi yang boleh menyebabkan jangkitan di faraj, jangkitan pada mulut dan kerongkong dan jangkitan pada seluruh badan.
Selain itu, terdapat juga kajian yang mendapati resveratrol turut mempunyai aktiviti antibakteria terhadap bakteria jenis Campylobacter jejuni, Campylobacter coli dan Acrobacter spp. [11]
Bakteria-bakteria ini adalah bakteria yang menyebabkan radang perut dan usus.
Sumber Makanan
Resveratrol boleh didapati dalam makanan-makanan berikut:
- Buah anggur
- Buah beri biru
- Buah epal
- Buah kranberi
- Buah mulberi
- Buah nangka
- Koko
- Plum
- Kacang tanah
- Kacang pistasio
- Kacang soya
Suplemen
Resveratrol juga boleh didapati dalam bentuk suplemen.
Dos resveratrol yang betul tidak jelas dan masih diperdebatkan oleh profesional perubatan.
Kajian klinikal menunjukkan bahawa secara teknikalnya adalah selamat untuk mengambil resveratrol dalam dos sehingga 5 g sehari. [12]
Keselamatan dan Kesan Sampingan
Secara umumnya, pengambilan resveratrol dalam bentuk makanan seperti buah-buahan dan kekacang adalah selamat dan berkhasiat.
Bagi suplemen pula, tiada risiko yang besar telah didedahkan dalam kajian yang telah menggunakan suplemen resveratrol.
Individu yang sihat mungkin tidak mempunyai masalah dengan pengambilan suplemen sebatian antioksidan ini.
Walau bagaimanapun mengambil dos lebih daripada 2.5 g sehari boleh mengakibatkan kesan sampingan seperti kekejangan, kembung perut, loya, sakit kepala dan pening. [12]
Namun, harus diingat juga bahawa tiada cadangan konklusif yang mencukupi tentang jumlah resveratrol yang perlu diambil oleh seseorang untuk mendapatkan manfaat kesihatan.
Anda yang merancang untuk mengambil suplemen resveratrol juga dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat ahli profesional kesihatan terlebih dahulu bagi mengelakkan interkasi dengan ubat-ubatan lain.
Rumusan
Resveratrol adalah sebatian antioksidan yang hebat dan mempunyai banyak khasiat dan kebaikan kepada badan.
Kajian-kajian menunjukkan resveratrol boleh membantu menurunkan paras kolesterol, menurunkan tekanan darah, mencegah kanser, melindungi kesihatan otak dan lain-lain lagi.
Anda boleh mendapatkan manfaat antioksidan ini daripada buah-buahan seperti anggur, buah beri biru, kranberi, kacang tanah dan lain-lain.
Rujukan
- Mendes, K. L. et al. (2016). Distinct metabolic effects of resveratrol on lipogenesis markers in mice adipose tissue treated with high-polyunsaturated fat and high-protein diets. Life sciences.
- Tomé-Carneiro, J. et al. (2012). Consumption of a grape extract supplement containing resveratrol decreases oxidized LDL and ApoB in patients undergoing primary prevention of cardiovascular disease: a triple-blind, 6-month follow-up, placebo-controlled, randomized trial. Molecular nutrition & food research.
- Liu, Y. et al. (2015). Effect of resveratrol on blood pressure: a meta-analysis of randomized controlled trials. Clinical nutrition.
- Islam, F. et al. (2022). Resveratrol and neuroprotection: an insight into prospective therapeutic approaches against Alzheimer’s disease from bench to bedside. Molecular neurobiology.
- Zulueta, A. et al. (2015). Resveratrol: A potential challenger against gastric cancer. World journal of gastroenterology.
- Vanamala, J. et al. (2010). Resveratrol suppresses IGF-1 induced human colon cancer cell proliferation and elevates apoptosis via suppression of IGF-1R/Wnt and activation of p53 signaling pathways. BMC cancer.
- Li, G. et al. (2013). Dietary resveratrol prevents development of high-grade prostatic intraepithelial neoplastic lesions: involvement of SIRT1/S6K axis. Cancer prevention research.
- Chang, C. C. et al. (2011). Resveratrol retards progression of diabetic nephropathy through modulations of oxidative stress, proinflammatory cytokines, and AMP-activated protein kinase. Journal of biomedical science.
- Elmali, N. et al. (2007). Effects of resveratrol in inflammatory arthritis. Inflammation.
- Weber, K. et al. (2011). Resveratrol and its antifungal activity against Candida species. Mycoses.
- Duarte, A. et al. (2015). Resveratrol inclusion complexes: Antibacterial and anti-biofilm activity against Campylobacter spp. and Arcobacter butzleri. Food Research International
- Ramírez-Garza, S. L. et al. (2018). Health Effects of Resveratrol: Results from Human Intervention Trials. Nutrients.