Kunyit hitam ialah tumbuhan herba yang mempunyai banyak khasiat untuk kesihatan. Khasiat kunyit hitam telah lama dimanfaatkan dalam perubatan tradisional tetapi kurang mendapat perhatian dalam perubatan moden.
Artikel ini akan menyenaraikan beberapa khasiat kunyit hitam yang ditemui atau disokong oleh kajian-kajian sains perubatan.
Nama saintifik bagi kunyit hitam ialah Curcuma caesia. Kunyit hitam adalah dari keluarga yang sama seperti kunyit oren (kunyit), halia, lengkuas dan bunga kantan.
Kunyit hitam berasal dari bahagian timurlaut dan tengah India. Tumbuhan ini telah disenaraikan sebagai tumbuhan terancam akibat penjarahan hayati (biopiracy). Perbezaan ketara antara kunyit hitam dengan kunyit biasa ialah rizomnya (isi) yang berwarna ungu kebiruan.

Perubatan tradisional telah menggunakan rizom kunyit hitam untuk merawat pelbagai penyakit seperti buasir, asma, bronkitis, kanser, sawan, demam, luka, mati pucuk, sakit gigi dan lain-lain.
Berikut adalah beberapa khasiat kunyit hitam berdasarkan kajian-kajian sains perubatan.
1. Mengandungi Antioksidan
Antioksidan ialah bahan yang boleh melindungi sel-sel daripada rosak akibat radikal bebas. Radikal bebas boleh menyebabkan tekanan pengoksidaan yang turut dikaitkan dengan penyakit kanser, jantung, strok dan penyakit kronik yang lain.
Terdapat banyak kajian yang menunjukkan bahawa kunyit hitam mengandungi sebatian antioksidan. [1, 2]
Kajian terhadap minyak pati yang dihasilkan daripada rizom kunyit hitam juga turut mendapati minyak pati ini mengandungi antioksidan yang terdiri daripada eucalyptol, epicurzerenone dan camphor. [3]
2. Bersifat Antiradang
Selain mengandungi antioksidan, kunyit hitam juga turut bersifat antiradang.
Walaupun keradangan adalah tindak balas semula jadi badan untuk melindungi badan daripada penceroboh, namun keradangan yang berterusan adalah tidak baik untuk kesihatan.
Minyak pati kunyit hitam turut dilaporkan menunjukkan ciri-ciri antiradang. [3]
Satu kajian lain turut melaporkan bahawa ekstrak kunyit hitam turut menunjukkan aktiviti antiradang. Aktiviti antiradang ini dipercayai kerana kandungan pelbagai fitokimia dalam ekstrak ini. [4]
3. Boleh Mencegah Jangkitan Bakteria dan Kulat
Kunyit hitam juga berkhasiat untuk membantu badan mencegah jangkitan daripada bakteria.
Minyak pati kunyit hitam menunjukkan kesan antibakteria yang kuat terhadap bakteria strain Bacillus subtilis dan Bacillus cereus. Bakteria-bakteria ini boleh menyebabkan keracunan makanan. [3]
Ekstrak kunyit hitam juga turut menunjukkan sifat antibakteria terhadap bakteria daripada strain Staphyllococcus aureus (S.aureus) dan Escherichia coli (E.coli) serta terhadap kulat jenis Candida albicans. [4]
Bakteria S.aureus boleh menyebabkan jangkitan pada kulit. Manakala bakteria E.coli pula boleh menyebabkan keracunan makanan.
Kulat atau fungi dari strain Candida albicans pula adalah jenis kulat yang sering menjangkiti manusia. Contohnya seperti jangkitan yis pada faraj wanita.
4. Boleh Merawat Simptom Asma
Kunyit hitam juga telah digunakan secara tradisional untuk merawat simptom-simptom asma.
Khasiat kunyit hitam ini telah dibuktikan dalam satu kajian terhadap haiwan yang mendapati ekstrak kunyit hitam boleh mengendurkan otot dalam paru-paru dan meluaskan saluran pernafasan. [5]
5. Boleh Membantu Merawat Panik atau Keresahan
Kunyit hitam juga turut berkhasiat dalam membantu merawat keresahan (anxiety), panik, tekanan (stres) atau insomnia.
Kajian terhadap haiwan melaporkan bahawa ekstrak rizom kunyit hitam menunjukkan aktiviti depresan pada sistem saraf pusat seperti pengurangan pergerakan (aktiviti lokomotor), pengenduran otot dan kesan pelalian. [6]
Ciri-ciri depresan pada sistem saraf pusat ini menunjukkan ekstrak kunyit hitam berpotensi untuk digunakan dalam merawat keresahan, insomnia dan tekanan (stres).
6. Boleh Membantu Mencegah Sawan
Selain itu, kunyit hitam juga turut mempunyai ciri-ciri antisawan.
Kajian terhadap haiwan turut mendapati ekstrak rizom kunyit hitam boleh mengurangkan atau menawarkan sawan yang dicetuskan oleh ubat perangsang sistem saraf pusat. [6]
7. Membantu Merawat Ulser Perut
Ulser perut atau ulser gaster ialah luka pada pengalas perut yang terjadi akibat tindakan asid, pepsin dan hempedu.
Kunyit hitam juga turut mempunyai ciri-ciri antiulser yang agak signifikan. Kajian terhadap haiwan menunjukkan pengambilan ekstrak kunyit hitam sebanyak 500mg/kg bersama-sama aspirin boleh mengurangkan ulser, aktiviti pepsin, keasidan dan jumlah jus gaster. [7]
8. Boleh Mencegah Kanser
Kanser ialah penyakit di mana sel-sel badan mula membelah secara tidak terkawal. Ia boleh berlaku dimana-mana bahagian dalam badan.
Sekiranya pertumbuhan sel-sel yang tidak terkawal ini berlaku pada tisu padat seperti organ, otot atau tulang, ia akan membentuk tumor.
Satu kajian yang diterbitkan pada tahun 2017 melaporkan bahawa ekstrak kunyit hitam berpotensi untuk digunakan sebagai ubat yang boleh memperlahankan perkembangan kanser.[8]
Kajian lain turut melaporkan bahawa ekstrak kunyit hitam turut mempamerkan aktiviti antitumor yang mungkin disumbangkan oleh kandungan antioksidan dan kesan sitotoksiknya terhadap sel-sel kanser. [9]
9. Boleh Merawat Kerosakan Saraf Akibat Diabetes
Kerosakan saraf boleh berlaku sekiranya seseorang itu menghidap penyakit diabetes. Paras gula yang tinggi dalam darah boleh mencederakan saraf dikeseluruhan badan.
Bagi pesakit diabetes, kerosakan saraf di bahagian kaki adalah paling lazim terjadi.
Terdapat ulasan kajian yang melaporkan bahawa ekstrak kunyit hitam boleh digunakan untuk merawat kerosakkan saraf akibat diabetes kerana sifat antiradang dan antibakterianya. [10]
Rumusan
Tidak dapat dinafikan lagi bahawa kunyit hitam sememangnya mempunyai banyak khasiat untuk kesihatan kita.
Kajian-kajian yang berterusan terutamanya kajian terhadap manusia masih diperlukan untuk menguatkan lagi dapatan yang sedia ada.
Rujukan
- Chaturvedi, M. et al. (2019). Comparison of Curcuma Caesia extracts for bioactive metabolite composition, antioxidant and antimicrobial potential. Natural product research.
- Reenu, J. et al. (2015). In vitro Antioxidant Potential in Sequential Extracts of Curcuma caesia Roxb. Rhizomes. Indian journal of pharmaceutical sciences.
- Paw, M. et al. (2020). Study of Anti-oxidant, Anti-inflammatory, Genotoxicity, and Antimicrobial Activities and Analysis of Different Constituents found in Rhizome Essential Oil of Curcuma caesia Roxb., Collected from North East India. Current pharmaceutical biotechnology.
- V. Kalita et al. (2019). Phytochemical Screening And Evaluation Of Antioxidant, Anti-Microbial and Anti-Inflammatory Activity Of “Curcuma Caesia”. IJPSR.
- Arulmozhi, D. K. et al. (2006). Preliminary mechanistic studies on the smooth muscle relaxant effect of hydroalcoholic extract of Curcuma caesia. Journal of herbal pharmacotherapy.
- Karmakar, I. et al. (2011). Neuropharmacological assessment of Curcuma caesia rhizome in experimental animal models. Orient Pharm Exp Med.
- Bordoloi, P.K. et al. (2012). Study of The Anti-Ulcerogenic Activity of The Ethanolic Extracts Of Rhizome Of Curcuma Caesia (Eecc) Against Gastic Ulcers In Experimental Animals. Medicine.
- Mukunthan, K. S. et al. (2017). Pharmacological evaluation of phytochemicals from South Indian Black Turmeric (Curcuma caesia Roxb.) to target cancer apoptosis. Journal of ethnopharmacology.
- Karmakar, I. et al. (2013). Antitumor activity and antioxidant property of Curcuma caesia against Ehrlich’s ascites carcinoma bearing mice. Pharmaceutical biology.
- Grover, M. et al. (2019). Investigation of the utility of Curcuma caesia in the treatment of diabetic neuropathy. The Journal of pharmacy and pharmacology.