Apa itu Kopi Segera?
Jika anda tertanya-tanya apa itu kopi segera, jawapan ringkasnya adalah kopi segera adalah kopi yang telah diproses dan tersedia untuk dijadikan minuman dengan cepat. Kopi ini dijual kepada pengguna dalam bentuk serbuk atau butiran yang boleh dibancuh dengan air panas.
Kopi segera adalah kopi yang sangat popular di kebanyakan negara. Hal ini demikian kerana kopi ini cepat, murah dan senang untuk dibuat.
Kopi segera dihasilkan daripada ekstrak kopi kering. Sama seperti kopi biasa yang dibru, ekstrak tersebut dihasilkan dengan membru serbuk biji kopi yang pekat.
Selepas dibru, air dibuang daripada ekstrak tersebut untuk menghasilkan serpihan atau serbuk kering yang boleh larut apabila ditambah dengan air panas.

Bagaimana Kopi Segera Dihasilkan?
Terdapat dua cara utama untuk menghasilkan kopi ini iaitu:
- Spray-drying: Ekstrak kopi disembur ke dalam udara panas yang secara pantas mengeringkan titisan kopi yang seterusnya menukar titisan tersebut menjadi serbuk yang halus atau serpihan kecil.
- Freeze-drying: Ekstrak kopi dibekukan dan dipotong menjadi serpihan-serpihan kecil yang kemudiannya dikeringkan pada suhu rendah dibawah keadaan vakum.
Kedua-dua kaedah ini mengekalkan kualtiti, aroma dan rasa kopi tersebut.
Sejarah
Kopi segera pertama dibuat di Britain pada tahun 1771. Ia dipanggil “kompaun kopi” dan mempunyai paten yang diberikan oleh kerajaan British.
Kopi segera Amerika yang pertama dicipta pada tahun 1851. Ia digunakan semasa Perang Saudara dan “kek” kopi tersebut telah dikongsi dalam bekalan makanan kepada askar.
David Strang dari Invercargill, New Zealand mencipta dan mematenkan kopi segera atau kopi larut pada tahun 1890. Untuk pembuatannya ia menggunakan sesuatu yang dipanggil proses “Dry Hot-Air“.
Walau bagaimanapun, kopi segera tidak mendapat perhatian yang meluas sehinggalah Pan-American Exposition 1901. Di sana, ia diperkenalkan kepada orang ramai oleh Satori Kato, seorang saintis Jepun yang bekerja di Chicago.
Pada tahun tahun yang sama, George Constant Louis Washington membangunkan proses penghasilan kopi segeranya sendiri dan kemudiannya dipasarkan secara komersial.
Pada tahun 1938, jenama NESCAFE memperkenalkan proses penapisan kopi yang lebih canggih.
Khasiat Kopi Segera
Seperti kopi yang dibru, kopi segera turut mengandungi khasiat-khasiat tertentu yang turut bermanfaat untuk kesihatan.
Antaranya adalah:
1. Mengandungi Antioksidan dan Nutrien
Kopi adalah sumber yang baik untuk mendapatkan antioksidan dalam diet moden. (1)
Antioksidan adalah sebatian yang boleh membantu melindungi sel-sel badan manusia yang sihat daripada radikal bebas.
Sekiranya berlaku ketidakseimbangan antara antioksidan dan radikal bebas, akan berlakunya tekanan oksidatif. Tekanan oksidatif ini banyak dikaitkan dengan penyakit-penyakit kronik seperti kanser, penyakit jantung, diabetes dan lain-lain lagi.
Kandungan antioksidan ini dipercayai menyumbang kepada khasiat-khasiat kopi segera yang lain.
Selain itu, kopi segera juga turut mengandungi nutrien-nutrien lain seperti: (2)
- Protein
- Kalsium
- Zat besi
- Magnesium
- Fosforus
- Kalium
- Selenium
- Vitamin B2, B3 dan B5
2. Sedikit Kurang Kandungan Kafein
Kopi adalah sumber utama kepada kafein.
Walau bagaimanapun, kopi segera secara umunya sedikit rendah dengan kandungan kafein.
Memandangkan kepekaan terhadap kafein berbeza-beza mengikut individu, kopi segera mungkin merupakan pilihan yang lebih baik bagi mereka yang perlu mengurangkan kafein. (3)
3. Mengandungi Khasiat-khasiat seperti Kopi Biasa
Selain itu, kopi segera juga turut mengandungi khasiat kesihatan yang sama seperti kopi biasa.
Antaranya adalah:
- Meningkatkan metabolisme: Kandungan kafein dalam kopi ini boleh meningkatkan metabolisme dan membantu membakar lemak. (4, 5)
- Meningkatkan fungsi otak: Kafein boleh meningkatkan fungsi otak. (6)
- Meningkatkan kesihatan mental: Kopi boleh mengurangkan risiko kemurungan dan bunuh diri. (7, 8)
- Mengurangkan risiko penyakit Alzheimer: Kopi boleh mengurangkan risiko penyakit neurodegeneratif seperti penyakit Alzheimer. (9)
- Mengurangkan risiko penyakit kencing manis: Kopi boleh mengurangkan risiko terhadap penyakit kencing manis (diabetes jenis 2). (10)
Meskipun begitu, pengambilan kopi masih perlu dikawal kerana pengambilan kopi secara berlebihan boleh mendatangkan kesan negatif.
Secara umumnya, 3 hingga 5 cawan sehari adalah paling baik.
Kesimpulan
Kopi segera adalah cepat, mudah dan tidak memerlukan pembuat kopi. Ia juga mempunyai jangka hayat yang sangat lama dan lebih murah daripada kopi biasa.
Terdapat dua kaedah utama untuk membuat kopi ini iaitu spray-drying atau freeze drying. Kedua-dua kaedah ini masih mengekalkan kualtiti, aroma dan rasa kopi tersebut.
Kopi segera juga turut dikaitkan dengan beberapa khasiat kesihatan seperti meningkatkan metabolisme, kesihatan mental dan fungsi otak.
Rujukan
- Fukushima, Y. et al. (2014). Coffee and beverages are the major contributors to polyphenol consumption from food and beverages in Japanese middle-aged women. Journal of nutritional science.
- U.S. Department of Agriculture, Agricultural Research Service. FoodData Central, 2019. fdc.nal.usda.gov.
- Yang, A. et al. (2010). Genetics of caffeine consumption and responses to caffeine. Psychopharmacology.
- Arciero, P. J. et al. (1995). Effects of caffeine ingestion on NE kinetics, fat oxidation, and energy expenditure in younger and older men. The American journal of physiology.
- Bracco, D. et al. (1995). Effects of caffeine on energy metabolism, heart rate, and methylxanthine metabolism in lean and obese women. The American journal of physiology.
- Ruxton, C.H.S. (2008). The impact of caffeine on mood, cognitive function, performance and hydration: a review of benefits and risks. Nutrition Bulletin.
- Lucas, M. et al. (2011). Coffee, caffeine, and risk of depression among women. Archives of internal medicine.
- Kawachi, I. et al. (1996). A prospective study of coffee drinking and suicide in women. Archives of internal medicine.
- Eskelinen, M. H., & Kivipelto, M. (2010). Caffeine as a protective factor in dementia and Alzheimer’s disease. Journal of Alzheimer’s disease.
- Ohnaka, K. et al. (2012). Effects of 16-week consumption of caffeinated and decaffeinated instant coffee on glucose metabolism in a randomized controlled trial. Journal of nutrition and metabolism.