Bagi pencinta kopi yang sentiasa memulakan hari mereka dengan secawan kopi yang dibru, khasiat kopi atau risiko daripada meminumnya bukanlah sesuatu yang difikirkan.
Minuman kopi mempunyai sejarah perdebatan yang panjang. Kopi pernah diletakkan dalam senarai kemungkinan karsinogen (penyebab kanser) pada tahun 1991 oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO). Tetapi, kemudiannya dikeluarkan pada tahun 2016 apabila kajian mendapati minuman ini tidak meningkatkan risiko kanser.
Kajian-kajian menunjukkan apabila diambil pada kadar sederhana, kopi boleh dianggap sebagai minuman yang menyihatkan.

Artikel ini memperincikan dengan lebih lanjut akan khasiat-khasiat kopi untuk kesihatan berdasarkan sokongan kajian.
1. Boleh Meningkatkan Tenaga
Ramai yang menjadikan kopi sebagai minuman untuk meningkatkan kepekaan dan tenaga.
Kopi mengandungi kafein. Kafein adalah perangsang kepada sistem saraf pusat yang boleh melawan keletihan dan meningkatkan tenaga.
Terdapat kajian yang mendapati pengambilan kafein boleh melambatkan rasa penat dalam kalangan pengayuh basikal dan mengurangkan paras keletihan dalam kalangan peserta dengan ketara. [1]
The International Society of Sports Nutrition (ISSN) turut berpendirian bahawa pengambilan kafein boleh meningkatkan prestasi fizikal dalam kedua-dua individu terlatih dan tidak terlatih. [2]
2. Baik untuk Kesihatan Otak
Kajian juga turut mendapati kopi turut berkhasiat terhadap otak.
Menurut satu analisis yang melibatkan 13 kajian, pengambilan kafein (kopi) secara kerap boleh mengurangkan risiko berlakunya penyakit Parkinson dengan ketara. Malah, pengambilan kafein juga boleh memperlahankan perkembangan penyakit Parkinson dari semasa ke semasa. [3]
Satu analisis lain yang melibatkan 11 kajian prospektif turut melaporkan bahawa pengambilan kopi yang tinggi boleh mengurangkan risiko kepada penyakit Alzheimer. [4]
3. Mungkin Boleh Membantu Menurunkan Berat Badan
Kopi juga boleh membantu menurunkan berat badan.
Khasiat kopi boleh dilihat dalam satu analisis yang melibatkan 12 kajian. Analisis ini mendapati pengambilan kopi yang tinggi boleh mengurangkan lemak badan terutamanya bagi lelaki. [5]
Selain itu, kajian yang lebih terkini pula mendapati peningkatan pengambilan kopi mempunyai perkaitan dengan pengurangan lemak badan bagi wanita. [6]
Kajian juga turut melaporkan bahawa kopi boleh mengurangkan penyimpanan lemak dan menyokong bakteria baik dalam perut. [7]
4. Boleh Mengurangkan Risiko Kepada Diabetes Jenis 2
Khasiat kopi tidak terhenti di situ, kopi juga boleh membantu mengurangkan risiko kepada penyakit kencing manis atau diabetes jenis 2.
Terdapat kajian yang mencadangkan bahawa pengambilan kopi secara kerap boleh mengurangkan risiko terjadinya penyakit diabetes jenis 2 pada jangka masa panjang.
Khasiat ini dapat dilihat dalam satu analisis yang melibatkan 30 kajian. Analisis ini mendapati setiap cawan kopi yang diminum setiap hari boleh mengurangkan 6% risiko membentuk diabetes jenis 2. [8]
Khasiat kopi ini juga dipercayai disebabkan oleh keupayaan kopi untuk mengekalkan fungsi sel-sel beta dalam pankreas anda, yang bertanggungjawab untuk menghasilkan insulin untuk mengawal paras gula dalam darah. [9]
5. Boleh Mengurangkan Kemurungan
Pengambilan kopi secara sederhana turut boleh membantu mengurangkan risiko kemurungan (depresi).
Khasiat ini dapat dilihat dalam satu kajian semula yang melibatkan 7 kajian. Kajian ini mendapati setiap cawan kopi yang diminum setiap hari boleh mengurangkan risiko kepada kemurungan sebanyak 8%. [10]
Satu kajian lain mendapati mereka yang minum sekurang-kurangnya 4 cawan kopi sehari menunjukkan risiko kemurungan yang lebih rendah berbanding mereka yang minum kurang daripada secawan kopi sehari. [11]
Meskipun begitu, anda dinasihatkan agar tidak meminum kopi secara berlebihan setiap hari bagi mengurangkan risiko berlakunya keresahan (anxiety). [12]
6. Meningkatkan Tumpuan dan Kepekaan
Kopi yang berkafein juga turut bermanfaat untuk anda yang ingin meningkatkan tumpuan dan kepekaan. Khasiat kopi ini dibuktikan dalam beberapa kajian.
Satu kajian lama mendapati kopi boleh meningkatkan kepekaan dan meningkatkan prestasi terhadap pelbagai tugasan tidak kira pada waktu siang atau malam. [13]
Kajian lain yang lebih terkini yang melibatkan 66 orang sukarelawan turut mendapati pengambilan kopi berkafein boleh meningkatkan tumpuan dan kepekaan. [14]
Ini menjadikan minuman kopi sesuai untuk anda yang ingin memandu jarak jauh atau bekerja pada syif malam.
Rumusan
Secara ringkasnya, dapat disimpulkan bahawa terdapat banyak khasiat kopi yang boleh mendatangkan manfaat kepada pengemarnya.
Pengambilan kopi secara sederhana setiap hari boleh meningkatkan tenaga, meningkatkan kesihatan otak, membantu mengurangkan lemak badan dan lain-lain lagi.
Rujukan
- Smirmaul, B. P. et al. (2017). Effects of caffeine on neuromuscular fatigue and performance during high-intensity cycling exercise in moderate hypoxia. European journal of applied physiology.
- Guest, N. S. et al. (2021). International society of sports nutrition position stand: caffeine and exercise performance. Journal of the International Society of Sports Nutrition.
- Hong, C. T. et al. (2020). The Effect of Caffeine on the Risk and Progression of Parkinson’s Disease: A Meta-Analysis. Nutrients.
- Liu, Q. P. et al. (2016). Habitual coffee consumption and risk of cognitive decline/dementia: A systematic review and meta-analysis of prospective cohort studies. Nutrition.
- Lee, A. et al. (2019). Coffee Intake and Obesity: A Meta-Analysis. Nutrients.
- Cao, C. et al. (2020). Regular Coffee Consumption Is Associated with Lower Regional Adiposity Measured by DXA among US Women. The Journal of nutrition.
- Sirotkin, A. V., & Kolesárová, A. (2021). The anti-obesity and health-promoting effects of tea and coffee. Physiological research.
- Carlström, M., & Larsson, S. C. (2018). Coffee consumption and reduced risk of developing type 2 diabetes: a systematic review with meta-analysis. Nutrition reviews.
- Kolb, H. et al. (2021). Coffee and Lower Risk of Type 2 Diabetes: Arguments for a Causal Relationship. Nutrients.
- Wang, L. et al. (2016). Coffee and caffeine consumption and depression: A meta-analysis of observational studies. The Australian and New Zealand journal of psychiatry.
- Navarro, A. M. et al. (2018). Coffee Consumption and the Risk of Depression in a Middle-Aged Cohort: The SUN Project. Nutrients.
- Richards, G., & Smith, A. (2015). Caffeine consumption and self-assessed stress, anxiety, and depression in secondary school children. Journal of psychopharmacology.
- Smith, A. P. et al. (1993). Investigation of the effects of coffee on alertness and performance during the day and night. Neuropsychobiology.
- Pasman, W. J. et al. (2017). Effect of Caffeine on Attention and Alertness Measured in a Home-Setting, Using Web-Based Cognition Tests. JMIR research protocols.