Susu kurma adalah gabungan dua makanan yang kaya dengan pelbagai khasiat. Khasiat susu kurma ini turut bermanfaat kepada wanita hamil atau wanita yang sedang menyusukan anak.
Malah, penyediaan susu kurma ini juga mudah. Anda hanya perlu merendam buah kurma ke dalam susu dan biarkan semalaman di dalam peti sejuk.
Ramai yang berpandangan, meminum susu kurma 30 minit sebelum tidur boleh membantu mereka mendapatkan tidur yang nyenyak.

Buah kurma mempunyai profil nutrisi yang menakjubkan. Walaupun buahnya kecil, ia tinggi dengan kandungan kalori yang boleh membekalkan tenaga kepada pemakannnya.
Selain itu, ia juga turut kaya dengan pelbagai vitamin dan mineral yang baik untuk fungsi badan.
Manakala, susu juga adalah minuman berkhasiat yang telah dinikmati sejak beribu-ribu tahun dahulu lagi.
Susu lengkap adalah sumber yang baik untuk mendapatkan pelbagai vitamin, mineral dan lemak yang sihat.
Justeru itu, gabungan kedua-dua makanan ini sudah tentukan mendatangkan pelbagai khasiat yang baik untuk kesihatan.
Berikut adalah beberapa khasiat susu kurma yang baik untuk kesihatan anda:
1. Tinggi dengan Serat
Buah kurma adalah makanan yang tinggi dengan serat. Mendapatkan serat yang cukup penting untuk kesihatan badan secara keseluruhannya.
Maka, pengambilan susu kurma boleh membantu meningkatkan pengambilan serat harian anda.
Serat sangat bermanfaat kepada kesihatan sistem penghadaman kerana boleh membantu mencegah sembelit.
Bagi wanita hamil, meminum susu kurma boleh mengurangkan risiko berlakunya sembelit semasa hamil.
Selain itu, serat juga boleh membantu memperlahankan penghadaman dan membantu mencegah lonjakan paras gula darah selepas makan. [1]
Khasiat ini juga turut bermanfaat kepada wanita hamil bagi mengelakkan berlakunya diabetes gestasi semasa hamil.
2. Sumber Protein yang Berkualiti
Gabungan antara susu dan buah kurma juga menjadikan minuman ini tinggi dengan kandungan protein yang berkualiti.
Susu mengandungi dua jenis protein iaitu kasein dan wei. Protein wei mengandungi asid amino yang boleh membantu membina otot, mencegah kehilangan otot dan membekalkan tenaga semasa senaman.
Oleh itu, meminum susu kurma boleh membantu anda membina otot dan mencegah kehilangan otot.
3. Kaya dengan Antioksidan
Susu kurma juga mengandungi antioksidan seperti karotenoid, flavonoid dan fenolik asid.
Antioksidan boleh melindungi sel-sel badan yang sihat daripada radikal bebas iaitu molekul tidak stabil yang boleh menyebabkan tindak balas berbahaya dalam badan dan membawa kepada penyakit-penyakit kronik.
Justeru itu, pengambilan susu kurma boleh melindungi diri anda daripada risiko penyakit-penyakit kronik seperti kanser, penyakit jantung dan diabetes.
4. Baik untuk Kesihatan Otak
Meminum susu kurma juga berkhasiat untuk kesihatan otak anda.
Khasiat susu kurma ini disumbang oleh buah kurma yang mempunyai ciri-ciri antioksidan yang boleh membantu melindungi otak daripada keradangan dan tekanan oksidatif. [2]
Satu kajian terhadap haiwan mendapati tikus yang diberi makanan bercampur kurma mempunyai daya ingatan dan pembelajaran yang jauh lebih baik, serta kurang tingkah laku berkaitan kebimbangan, berbanding tikus yang tidak memakannya. [3]
5. Boleh Membantu Mencegah Anemia
Selain itu juga, susu kurma juga berkhasiat dalam membekal mineral zat besi yang dapat membantu mencegah anemia (kekurangan sel darah merah).
Zat besi diperlukan oleh badan untuk menghasilkan hemoglobin iaitu sejenis protein yang terdapat di dalam sel-sel darah merah. Hemoglobin ini berperanan membawa oksigen ke seluruh bahagian badan.
Khasiat ini juga turut bermanfaat kepada wanita hamil kerana semasa hamil, seorang wanita memerlukan zat besi yang banyak untuk menghasilkan sel-sel darah merah dan mencegah berlakunya anemia ketika hamil.
6. Boleh Memudahkan untuk Bersalin
Susu kurma juga mungkin boleh membantu memudahkan wanita hamil untuk bersalin.
Khasiat ini disumbang oleh kurma yang boleh membantu menggalakkan pengembangan serviks dan merendahkan keperluan untuk kelahiran cetusan (induced labor).
Kajian pada tahun 2017 ke atas 154 orang wanita hamil mendapati bahawa mereka yang makan kurma adalah lebih rendah kemungkinannya untuk dilakukan kelahiran cetusan berbanding mereka yang tidak memakan buah ini. [4]
7. Boleh Membantu Menguatkan Tulang
Kandungan kalsium, fosforus, magnesium dan protein dalam susu kurma sangat bermanfaat kepada tulang. Minuman ini boleh membantu menguatkan tulang.
Kajian-kajian menunjukkan bahawa pengambilan mineral-mineral ini boleh membantu mencegah penyakit berkaitan tulang seperti osteoporosis. [5, 6]
Rumusan
Susu kurma adalah minuman berkhasiat yang sesuai diminum oleh ramai orang termasuklah wanita hamil.
Gabungan antara kurma dan susu meningkatkan khasiat minuman ini dalam meningkatkan pengambilan serat, protein dan antioksidan serta nutrien-nutrien yang lain.
Khasiat susu kurma ini berpotensi dalam meningkatkan kesihatan otak, mencegah anemia, memudahkan proses bersalin dan menguatkan tulang.
Anda boleh menikmati susu kurma ini dengan menyediakannya sendiri atau membeli produk-produk tenusu yang telah tersedia mencampurkan kurma dan susu.
Rujukan
- Mirghani H. O. (2021). Dates fruits effects on blood glucose among patients with diabetes mellitus: A review and meta-analysis. Pakistan journal of medical sciences.
- Essa, M. M. et al. (2016). Beneficial effects of date palm fruits on neurodegenerative diseases. Neural regeneration research.
- Subash, S. et al. (2015). Diet rich in date palm fruits improves memory, learning and reduces beta amyloid in transgenic mouse model of Alzheimer’s disease. Journal of Ayurveda and integrative medicine.
- Razali, N. et al. (2017). Date fruit consumption at term: Effect on length of gestation, labour and delivery. Journal of obstetrics and gynaecology.
- Ciosek, Ż. et al. (2021). The Effects of Calcium, Magnesium, Phosphorus, Fluoride, and Lead on Bone Tissue. Biomolecules.
- Włodarek, D. et al. (2014). Calcium intake and osteoporosis: the influence of calcium intake from dairy products on hip bone mineral density and fracture incidence – a population-based study in women over 55 years of age. Public health nutrition.