Protein wei (whey protein) adalah suplemen yang popular dalam kalangan mereka yang membina badan dan atlet. Selain terdapat banyak kebaikan untuk kesihatan, terdapat kontroversi berkenaan dengan bahaya yang tersembunyi dalam protein wei.
Sesetengah pihak mengatakan mengambil protein wei terlalu banyak boleh merosakkan buah pinggang, hati dan menyebabkan osteoporosis.
Artikel ini akan menyediakan ulasan yang berdasarkan bukti-bukti tentang bahaya protein wei dan kesan sampingan yang boleh berlaku.
Apa itu Protein Wei?
Protein wei adalah suplemen kecergasan dan pemakanan yang popular.
Ia dihasilkan daripada wei iaitu cecair yang diasingkan daripada susu semasa proses penghasilan keju. Dengan kata lain, ia adalah air dadih.
Kemudian, wei tersebut akan ditapis dan disembur kering menjadi serbuk protein wei.
Secara umumnya, terdapat 3 jenis protein wei yang dibezakan dengan bagaimana ia diproses. Contohnya adalah seperti berikut:
- Protein wei pencilan (isolate): Mengandungi 90-96% protein. Ia mengandungi sedikit laktosa atau lemak.
- Protein wei pekat: Mengandungi kira-kira 35-80% protein. Ia juga mengandungi laktosa, lemak, dan mineral daripada susu.
- Protein wei hidrolisat: Protein jenis ini telah dicernakan terlebih dahulu, yang boleh membantu badan anda menyerapnya dengan lebih cepat.
Kajian-kajian menunjukkan protein wei boleh membantu atlet pulih daripada senaman, membina otot dan mendapatkan kekuatan sebagai sebahagian daripada rutin latihan rintangan, terutamanya untuk belia tanpa masalah kesihatan. [1, 2]
Kesan Sampingan yang Boleh Berlaku
Sesetengah orang yang mempunyai alahan susu mungkin alah kepada wei. Pada dos sederhana, protein wei biasanya tidak menyebabkan sebarang kesan advers.
Walau bagaimanapun, pengambilan dos yang sangat tinggi boleh menyebabkan:
- Sakit perut
- Loya
- Kelesuan
- Sakit kepala
- Hilang selera makan
- Kekejangan
Suplemen protein wei boleh menyebabkan masalah penghadaman bagi orang yang mempunyai tak toleran laktosa.
Dalam sesetengah kes, tak toleran laktosa boleh menyebabkan sembelit dengan memperlahankan pergerakan usus. [3]
Bahaya atau Risiko yang Tersembunyi Dalam Protein Wei
Terdapat banyak risiko yang perlu dipertimbangkan apabila menggunakan serbuk protein. Antaranya:
- Kesan jangka panjang tidak diketahui.
- Ia boleh menyebabkan gangguan pencernaan.
- Mungkin tinggi dengan gula tambahan dan kalori. Sesetengah produk hanya mengandungi sedikit gula tambahan dan ada juga yang tinggi dengan gula tambahan.
Satu laporan pada tahun 2020 oleh kumpulan Clean Label Project melaporkan bahawa 40% daripada 133 produk serbuk protein yang diuji tinggi dengan kandungan logam berat yang dikaitkan dengan kanser dan masalah kesihatan lain. [4]
Adakah Protein Wei Boleh Merosakkan Buah Pinggang?
Diet tinggi protein boleh menyebabkan buah pinggang berkerja lebih untuk menapis darah anda.
Dari masa ke masa, beban kerja yang meningkat ini boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang atau memburukkan lagi penyakit buah pinggang. [5]
Walau bagaimanapun, bukti kajian adalah bercampur-campur. Sesetengah kajian menunjukkan bahawa peningkatan kerja penapisan sebenarnya tidak berbahaya untuk buah pinggang.
Bagi orang yang tidak mempunyai masalah kesihatan, diet protein tinggi mungkin tidak meningkatkan risiko kerosakan buah pinggang. [6]
Meskipun begitu, terdapat bukti bahawa diet tinggi protein boleh membahayakan orang yang mempunyai penyakit buah pinggang. [7]
Adakah Protein Wei Boleh Menyebabkan Kerosakan Hati?
Satu kenyataan lama pernah dikeluarkan oleh Persatuan Jantung Amerika yang mencadangkan bahawa makan lebih banyak protein daripada keperluan badan boleh menghasilkan kerja tambahan untuk hati anda.
Kerja tambahan ini ada kemungkinan boleh menyebabkan kerosakan hati. [8]
Walau bagaimanapun, terdapat ulasan lain yang mencadangkan bahawa terdapat bukti yang terhad tentang pengambilan protein yang banyak boleh merosakkan hati pada orang yang sihat. [9]
Satu laporan kes melaporkan bahawa seorang lelaki berusia 27 tahun mungkin mengalami kerosakan hati selepas mengambil suplemen protein wei dan kreatina. [10]
Namun, lebih banyak bukti diperlukan untuk memahami potensi hubungan antara protein wei dan kerosakan hati.
Adakah Protein Wei Boleh Menyebabkan Osteoporosis?
Osteoporosis ialah penyakit yang dicirikan oleh peningkatan liang tulang yang menyebabkan tulang menjadi rapuh, biasanya dikaitkan dengan kehilangan ion kalsium.
Dalam satu kajian semula yang melibatkan 36 kajian, penyelidik tidak menemui bukti bahawa makan terlalu banyak protein tidak baik untuk kesihatan tulang.
Malah, mereka membuat kesimpulan bahawa makan lebih banyak protein sebenarnya bermanfaat untuk kesihatan tulang. Faedah ini didapati memberi kesan terhadap kawasan belakang anda yang dipanggil tulang belakang lumbar. [11]
Rumusan
Protein wei adalah suplemen yang popular. Ia banyak diambil oleh atlet yang ingin meningkatkan jisim otot dan pulih lebih cepat apabila berlatih. Ada yang mencadangkan ia juga boleh membantu penurunan berat badan.
Sesetengah pihak juga berpendapat bahawa terdapat risiko atau bahaya yang wujud disebalik pengambilan protein wei ini.
Walau bagaimanapun, berdasarkan kajian-kajian yang dijalankan; secara umumnya suplemen protein wei adalah selamat dimakan bagi individu sihat tetapi tidak bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan seperti penyakit buah pinggang dan hati.
Terdapat juga risiko-risiko yang wujud akibat pengambilan protein ini seperti alahan, tak toleran laktosa, masalah pencernaan atau risiko keracunan logam berat.
Rujukan
- Gee, T. I. et al. (2019). Effectiveness of Whey Protein Hydrolysate and Milk-Based Formulated Drinks on Recovery of Strength and Power Following Acute Resistance Exercise. Journal of human kinetics.
- Li, M., , & Liu, F., (2019). Effect of whey protein supplementation during resistance training sessions on body mass and muscular strength: a meta-analysis. Food & function.
- Mattar, R. et al. (2012). Lactose intolerance: diagnosis, genetic, and clinical factors. Clinical and experimental gastroenterology.
- Bandara, S. B. et al. (2020). A human health risk assessment of heavy metal ingestion among consumers of protein powder supplements. Toxicology reports.
- Juraschek, S. P. et al. (2013). Effect of a high-protein diet on kidney function in healthy adults: results from the OmniHeart trial. American journal of kidney diseases.
- Martin, W. F. et al. (2005). Dietary protein intake and renal function. Nutrition & metabolism.
- Knight, E. L. et al. (2003). The impact of protein intake on renal function decline in women with normal renal function or mild renal insufficiency. Annals of internal medicine.
- St Jeor, S. T. et al. (2001). Dietary protein and weight reduction: a statement for healthcare professionals from the Nutrition Committee of the Council on Nutrition, Physical Activity, and Metabolism of the American Heart Association. Circulation.
- Manninen A. H. (2004). High-Protein Weight Loss Diets and Purported Adverse Effects: Where is the Evidence?. Journal of the International Society of Sports Nutrition.
- Whitt, K. N. et al. (2008). Cholestatic liver injury associated with whey protein and creatine supplements. Seminars in liver disease.
- Shams-White, M. M. et al. (2017). Dietary protein and bone health: a systematic review and meta-analysis from the National Osteoporosis Foundation. The American journal of clinical nutrition.