Khasiat halba telah lama dimanfaatkan dalam perubatan tradisional terutamanya dalam perubatan India (Ayurveda). Selain menjadi rempah dalam masakan, halba turut mempunyai banyak khasiat untuk kesihatan terutamannya untuk kesihatan wanita.
Halba dalam bahasa Inggeris dikenali sebagai Fenugreek atau Greek Hayes. Dalam bahasa Arab pula dikenali sebagai Hulbah.
Rempah halba dikelaskan dalam keluarga Fabaceae dan dikenali secara saintifiknya sebagai Trigonella foenum-graecum.
Halba berasal dari kawasan Mediterranean hingga ke Asia Tengah. Rempah ini telah digunakan dalam perubatan tradisional sejak zaman Greek dan Itali purba.
Manakala di India dan Utara Afrika, halba ditanam dan digunakan sebagai penambah rasa dan herba.
Sejak dahulu lagi, halba dipercayai mempunyai banyak khasiat untuk kesihatan. Daun dan bijinya juga turut mempunyai khasiat perubatan.
Berikut disenaraikan beberapa khasiat halba untuk kesihatan kita berdasarkan kajian-kajian sains perubatan yang dijalankan:
1. Boleh Membantu Meningkatkan Penghasilan Susu Ibu
Susu kering atau tiada susu adalah antara masalah yang sering dihadapi oleh ibu-ibu muda yang baru melahirkan anak.
Selain pengambilan ubat moden untuk meningkatkan penghasilan susu badan. Kajian juga mendapati halba boleh diambil sebagai pilihan alternatif semulajadi dan selamat bagi menggantikan ubat moden.
Satu kajian yang dijalankan terhadap 66 orang ibu mendapati, kumpulan yang diberikan teh halba setiap hari menunjukkan penghasilan susu badan yang lebih tinggi berbanding kumpulan yang lain. [1]
Kajian lain terhadap 50 orang ibu menyusu turut mendapati makanan tambahan (suplemen) yang mengandungi halba, halia dan kunyit meningkatkan jumlah susu badan daripada 49% hingga 103% tanpa kesan sampingan. [2]
2. Meningkatkan Kadar Hormon Lelaki
Khasiat halba juga turut dimanfaatkan oleh kaum lelaki untuk meningkatkan hormon testosteron.
Terdapat kajian yang menyatakan bahawa halba ini bertindak dengan mengurangkan enzim yang menukarkan hormon testosteron kepada estrogen.
Satu kajian klinikal yang dijalankan terhadap 60 orang lelaki sihat mendapati makanan tambahan yang mengandungi halba mempunyai kesan positif terhadap nafsu seks dan membantu mengekalkan paras testosteron pada kadar yang sihat. [3]
3. Baik untuk Penghidap Diabetes
Selain itu, halba turut didapati berkhasiat untuk pesakit diabetes dan juga baik untuk mereka yang sihat.
Penghidap diabetes jenis 1 yang mengambil 50g serbuk halba pada waktu makan tengah hari dan malam selama 10 hari menunjukkan penurunan gula dalam darah serta penurunan jumlah kolesterol dan kolesterol-LDL (kolesterol jahat) berdasarkan satu kajian. [4]
Dalm satu kajian lain, mereka yang tidak menghidap diabetes mengambil halba turut mendapati penurunan gula dalam darah sebanyak 13.4% selepas 4 jam memakannya. [5]
4. Boleh Merendahkan Paras Kolesterol
Beberapa kajian makmal mendapati ekstrak halba boleh merendahkan paras kolesterol.
Dalam satu kajian yang dijalankan di China pada tahun 2007, ekstrak halba didapati boleh menurunkan kadar lemak (lipid) dalam darah.
Spesimen yang diberikan ekstrak halba ini turut menunjukkan penurunan pada paras kolesterol total, trigliserida dan meningkatkan paras kolesterol-HDL (kolesterol baik). [6]
Saintis juga percaya bahawa serat diet yang terkandung dalam biji halba ini boleh mengawal penghasilan kolesterol dalam hati. [7]
5. Bersifat Antiradang
Halba juga antara rempah yang tinggi dengan kandungan antioksidan.
Berdasarkan satu kajian, kandungan antioksidan iaitu flavonoid dalam biji halba didapati bertanggungjawab untuk kesan antiradang rempah ini. [8]
Dalam satu kajian lain yang dijalankan pada tahun 2011, ekstrak halba turut menunjukkan sifat antiradang akut dan kronik terhadap haiwan yang diuji. [9]
6. Bersifat Antikulat dan Antibakteria
Beberapa kajian juga mendapati halba ini turut mempunyai kebolehan untuk menghalang bakteria dan kulat.
Halba menunjukkan sifat antibakteria yang kuat terhadap bakteria E.coli berdasarkan kajian makmal terhadap bakteria ini. [10]
Selain itu, kajian lain juga turut mendapati ekstrak halba turut mempunyai sifat antibakteria terhadap bakteria jenis E.coli, Staphylococcus aureus, Pseudononus aeruginosa, Baciillus substilis, Salmonella paratyphi, Shigella, Salmonella typhi dan Staphylococcus aureus. [11]
Dapatan lain turut menunjukkan daun, benih, batang dan akar pokok halba turut mempunyai sifat antikulat terhadap kulat jenis Botrytis cinerea, Fusarium graminearum, Alternaria sp., Pythium aphanidermatum dan Rhizoctonia solani. [12]
Rumusan
Halba merupakan rempah yang mempunyai pelbagai khasiat perubatan yang menarik dan telah lama digunakan dalam perubatan tradisional.
Khasiat halba berdasarkan kajian terhadap manusia (ujian klinikal) membuktikan bahawa rempah ini berkesan untuk meningkatkan penghasilan susu badan, meningkatkan hormon lelaki dan merendahkan gula dalam darah.
Halba juga turut didapati boleh merendahkan kadar kolesterol, bersifat antiradang, antibakteria dan antikulat. Namun, memerlukan lebih banyak kajian klinikal.
Rujukan
- Turkyılmaz, C. et al. (2011). The effect of galactagogue herbal tea on breast milk production and short-term catch-up of birth weight in the first week of life. Journal of alternative and complementary medicine.
- Bumrungpert, A. et al. (2018). Effects of Fenugreek, Ginger, and Turmeric Supplementation on Human Milk Volume and Nutrient Content in Breastfeeding Mothers: A Randomized Double-Blind Controlled Trial. Breastfeeding medicine.
- Steels, E., Rao, A., & Vitetta, L. (2011). Physiological aspects of male libido enhanced by standardized Trigonella foenum-graecum extract and mineral formulation. Phytotherapy research.
- Sharma, R. D. et al. (1990). Effect of fenugreek seeds on blood glucose and serum lipids in type I diabetes. European journal of clinical nutrition.
- Abdel-Barry, J. A. et al. (2000). Hypoglycaemic effect of aqueous extract of the leaves of Trigonella foenum-graecum in healthy volunteers. Eastern Mediterranean health journal.
- Xue, W. L. et al. (2007). Effect of Trigonella foenum-graecum (fenugreek) extract on blood glucose, blood lipid and hemorheological properties in streptozotocin-induced diabetic rats. Asia Pacific journal of clinical nutrition.
- Roberts K. T. (2011). The potential of fenugreek (Trigonella foenum-graecum) as a functional food and nutraceutical and its effects on glycemia and lipidemia. Journal of medicinal food.
- Mandegary, A. et al. (2012). Alkaloid and flavonoid rich fractions of fenugreek seeds (Trigonella foenum-graecum L.) with antinociceptive and anti-inflammatory effects. Food and chemical toxicology.
- N. Subhashini. et al. (2011). Anti-inflammatory and In vitro Antioxidant Property of Trigonella foenum graecum Seeds. Journal of Pharmacology and Toxicology.
- Chandra, R. et al. (2011). Detection of Antimicrobial Activity of Oscimum sanctum (Tulsi) & Trigonella foenum graecum (Methi) against some selected bacterial & fungal strains. Research Journal of Pharmaceutical, Biological and Chemical Sciences.
- Ayesha,M. et al. (2010). A Study of Antimicrobial Activity of Few Medicinally Important Herbal Single Drugs Extracted in Ethanol, Methanol and Aqueous Solvents. Pharmacognosy Journal.
- Haouala, R. et al. (2008). Aqueous and organic extracts of Trigonella foenum-graecum L. inhibit the mycelia growth of fungi. Journal of environmental sciences.