Sesetengah ibu mungkin mengalami masalah kurang susu badan. Ini mendatangkan kebimbangan buat si ibu. Usah bimbang kerana terdapat cara banyakkan susu badan yang boleh diamalkan bagi mengatasi masalah kekurangan susu badan ini.
Kekurangan susu badan adalah satu kebimbangan biasa yang dialami oleh ibu baru. Ini membuatkan sesetengah daripada mereka berhenti menyusukan anak mereka kerana kebimbangan ini.
Sebenarnya terdapat beberapa cara yang berkesan yang boleh dilakukan oleh si ibu untuk mengatasi masalah kekurangan susu atau tidak cukup susu.
Bagaimana Cara Banyakkan Susu Badan?
Terdapat beberapa tanda yang menunjukkan bahawa bayi anda tidak mendapat susu badan yang cukup. Antaranya adalah:
- Berat bayi tidak mengikut lengkuk pertumbuhan normal
- Bayi kurang membuang air kecil atau kencing
- Najis bayi tidak berwarna kuning selepas hari ke lima
Bagi mengatasi masalah kekurangan susu badan, beberapa cara berikut boleh dipraktikkan untuk membanyakkan susu badan ibu.
1. Kerap Menyusu Bayi Anda
Kerap menyusu bayi anda adalah satu cara yang boleh banyakkan susu badan. Anda digalakkan untuk menyusui bayi anda dengan kerap mengikut kehendak bayi anda.
Ketika bayi anda menghisap payudara, hormon-hormon yang merangsang payudara untuk menghasilan susu dan mengeluarkan susu dirembeskan. Tindak balas ini dikenali sebagai refleks pancutan susu. Refleks pancutan susu berlaku apabila otot kelenjar susu mengecut dan menolak susu keluar.
Oleh itu, semakin kerap anda menyusui bayi anda maka semakin banyak susu badan yang dihasilkan.
Selain itu, badan anda juga menghasilkan susu berasaskan kepada konsep permintaan dan penghasilan. Ini bermakna sekiranya anda kerap menyusukan bayi anda maka susu yang dihasilkan juga akan meningkat.
2. Betulkan Pelekapan Bayi Semasa Menyusu
Pelekapan bayi yang betul adalah salah satu cara berkesan untuk membanyakkan susu badan.
Pelekapan bayi yang tidak betul menyebabkan bayi sukar untuk mengeluarkan susu dari payudara ibu dengan baik.
Pelekapan adalah keadaan di mana mulut bayi mencakup pada payudara ibu. Bayi perlu melekap dengan dalam supaya susu dapat dikeluarkan daripada payudara secara berkesan dan mengelakkan ibu sakit puting.
Bagaimana untuk memulakan pelekapan?
Untuk memulakan pelekapan, beberapa perkara yang harus dilihat ialah:
- Pastikan hidung bayi menghadap puting
- Kepala bayi bebas untuk melentuk ke belakang semasa melekap ke payudara
- Elakkan dari menolak kepala bayi ke arah payudara, memadai dengan menyokong tengkuk bayi sahaja
Tanda-tanda pelekapan dalam
Beberapa tanda yang boleh diperhatikan oleh ibu adalah:
- Mulut bayi terbuka luas
- Bibir bawah terjuih keluar
- Dagu bayi menyentuh payudara
- Lebih banyak areola kelihatan di atas mulut bayi berbanding di bawah mulut bayi
3. Pam Diantara Penyusuan
Cara yang seterusnya ialah mengepam susu badan diantara penyusuan.
Cara ini turut boleh membantu meningkatkan penghasilan susu, memastikan penghasilan susu yang berterusan dan mengelak daripada payudara bengkak.
Buat pengepaman ini sekiranya anda tidak penat. Di samping itu, anda boleh mendengar lagu, menonton rancangan tv atau membaca untuk menghilangkan rasa bosan menunggu.
4. Rangsang Payudara Anda
Selain penggunaan pam, anda juga boleh menggunakan kaedah rangsangan payudara menggunakan tangan sama ada sesudah anda menyusukan bayi atau ketika anda ingin memerah susu.
Ransangan ini membantu memberitahu kepada badan anda bahawa anda memerlukan susu badan yang lebih. Ini boleh membantu penghasilan dan kelancaran aliran susu.
Salah satu kaedah rangsangan payudara yang boleh dilakukan ialah urutan payudara.
Langkah-langkah urutan payudara adalah seperti berikut:
Langkah 1
- Gunakan jari telunjuk dan jari tengah untuk mengurut payudara secara putaran membulat.
- Gerakkan jari-jemari bermula dari bahagian atas payudara ke sekeliling payudara sehingga sampai ke puting susu.
- Ulang beberapa kali pada kedua-dua belah payudara secara serentak.
Langkah 2
- Gunakan 3 jari iaitu jari telunjuk, jari tengah dan jari manis untuk mengurut payudara secara gerakan membulat.
- Gerakan jari-jemari bermula daripada bahagian atas payudara ( atau bahagian yang jauh dari puting susu) menuju ke bahagian puting.
- Lakukan urutan yang sama sehingga meliputi keseluruhan bahagian payudara.
Langkah 3
- Ulang teknik langkah 2 tetapi menggunakan 4 jari iaitu penambahan jari kelingking.
Langkah 4
- Gunakan bahagian sisi telapak tangan dan gerakkannya ke arah puting susu.
- Lakukan pada semua bahagian payudara termasuk bahagian bawah.
- Tolak tangan secara perlahan-lahan ke arah puting susu.
Langkah 5
- Gunakan hujung jari untuk mengurut payudara.
- Bermula dari bahagian atas atau luar payudara menuju ke arah puting susu.
Langkah 6
- Langkah terakhir ialah menggunakan teknik genggaman tangan.
- Genggam kedua-dua belah tangan dan urut payudara dari bahagian atas atau luar payudara menuju ke arah puting susu.
- Lakukan beberapa kali.
Ambil masa 5 hingga 10 minit untuk melakukan kesemua teknik ini.
5. Menyusu Dikedua-dua Belah Payudara
Cara banyakkan susu yang seterusnya ialah memastikan bayi anda menyusu di kedua-dua belah payudara anda. Rangsangan pada kedua-dua belah payudara ini boleh membantu meningkatkan penghasilan susu.
Terdapat kajian yang mendapati pengepaman susu dikedua-dua belah payudara secara serentak boleh meningkatkan penghasilan susu.
6. Makan Makanan yang Mengalakkan Penghasilan Susu
Selain itu, pemakanan juga boleh membantu membanyakkan penghasilan susu badan. Terdapat beberapa jenis makanan yang dipercayai dapat meningkatkan penghasilan susu ibu.
Antaranya adalah:
- Halba (fenugreek)
- Soya
- Tempe
- Tauhu
- Oat
- Kurma
- Air barli
- Longan kering
- Jantung pisang
- Lobak putih
- Daun tenggek burung
- Daun selom
- Ulam raja
- Pucuk betik
- Pucuk cekur manis
- Daun pegaga
- Durian
- Ikan yu
- Kelo (buah atau daunnya)
Selain makanan-makanan ini, ibu yang menyusu juga harus mengambil makanan yang seimbang secukupnya supaya kekal sihat dan bertenaga.
Punca-punca yang Menyebabkan Susu Badan Sedikit
Terdapat juga punca atau faktor yang menyebabkan penghasilan susu badan yang sedikit. Antaranya adalah:
1. Faktor emosi
Tekanan, kebimbangan dan rasa malu boleh menganggu refleks pancutan susu dan menyebabkan penghasilan susu berkurang.
2. Masalah kesihatan
Masalah kesihatan atau penyakit juga boleh menganggu penghasilan susu. Antaranya adalah:
- Penyakit kencing manis (diabetes)
- Sindrom ovari polisistik (PCOS)
- Tekanan darah tinggi akibat hamil
3. Merokok atau minum arak
Merokok dan minum arak juga boleh menyebabkan penghasilan susu berkurang.
4. Pernah menjalani pembedahan payudara
Pembedahan payudara yang menyebabkan kehilangan kelenjar glandular juga boleh menyebabkan penghasilan susu badan yang kurang.
Rumusan
Masalah kekurangan susu badan sebenarnya boleh diatasi. Cara-cara banyakkan susu badan yang dikongsikan ini boleh membantu ibu-ibu yang mengalami masalah susu badan yang tidak mencukupi.
Kesan atau tindak balas daripada teknik-teknik ini mungkin berbeza-beza antara individu. Mungkin ada ibu-ibu yang hanya memerlukan tempoh 3 hari untuk melihat perubahan dan mungkin ada ibu-ibu yang memerlukan masa seminggu untuk melihat perubahan terhadap penghasilan susu mereka.
Sekiranya anda tidak pasti, dapatkan nasihat daripada doktor untuk mengambil langkah yang sesuai dengan masalah yang dihadapi oleh anda.
Rujukan
- Prime, D. K., et al. (2012). Simultaneous breast expression in breastfeeding women is more efficacious than sequential breast expression. Breastfeeding medicine : the official journal of the Academy of Breastfeeding Medicine.
- Bahagian Pemakanan, Kementerian Kesihatan Malaysia .(2019). Manual Pembimbing Penyusuan Susu Ibu.
- Longhurst, A.S. (2018). 5 Ways to Increase Breast Milk Production. Healthline [diakses pada 13 Januari 2020].