Goji berry adalah buah yang berasal dari Asia seperti China dan Tibet. Goji berry juga sinonim dengan produk-produk kesihatan. Ini kerana khasiat goji berry telah lama dimanfaatkan untuk kesihatan oleh masyarakat terdahulu.
Goji berry boleh diperolehi daripada dua tumbuhan yang berkait rapat iaitu Lycium barbarum dan Lycium chinense. Buah ini adalah daripada keluarga Solanaceae iaitu keluarga yang sama dengan ubi kentang, terung, tomato dan lada benggala.
Selain itu, goji berry turut dikenali sebagai wolfberry. Selalunya buah ini mudah untuk diperolehi di pasaran dalam bentuk kering.
Secara tradisionalnya, goji berry kering dimasak sebelum dimakan. Buah ini turut lazim digunakan dalam sup Cina atau teh herba. Goji berry juga turut digunakan untuk memanjangkan umur, kesihatan hati, buah pinggang dan penglihatan.

Melihat potensi goji berry yang menarik, kajian-kajian sains moden turut dilakukan untuk mengetahui khasiat dan kebaikan sebenar buah ini.
Berikut adalah beberapa khasiat goji berry yang boleh dimanfaatkan untuk kesihatan anda:
1. Kaya dengan Vitamin dan Mineral
Seperti kebanyakan buah yang lain, buah goji berry juga adalah sumber yang baik untuk mendapatkan nutrien-nutrien yang berkhasiat.
Goji berry biasanya mudah untuk didapati dalam bentuk kering. Bagi 100 gram goji berry kering adalah: [1]
- Kalori: 349 kcal
- Protein: 14.3 gram
- Karbohidrat: 77.1 gram
- Serat: 13 gram
- Kalsium: 190 miligram
- Zat besi: 6.8 miligram
- Vitamin C: 48.4 miligram
- Vitamin A: 8.04 miligram
Selain itu, goji berry juga turut mengandungi sebatian polisakarida yang mempunyai banyak peranan penting kepada khasiat buah goji berry ini.
2. Baik untuk Kesihatan Mata
Buah goji berry berkhasiat untuk kesihatan mata. Khasiat ini disumbang oleh kandungan vitamin A iaitu zeaxantin.
Zeaxantin adalah sebatian karotenoid yang mempunyai banyak khasiat kepada kesihatan mata. Terdapat kajian yang melaporkan bahawa 15 gram goji berry sehari mencukupi untuk membekalkan sebatian zeaxantin yang diperlukan untuk kesihatan mata. [2]
Buah goji turut didapati berkhasiat kepada makular mata. Kajian yang melibatkan 75 orang warga emas mendapati pengambilan 13.7 gram susu formula berasaskan goji berry selama 90 hari boleh meningkatkan paras antioksidan dan zeaxantin masing-masing sebanyak 26% dan 57%. [3]
3. Boleh Membantu Menguatkan Sistem Imun
Pemakanan goji berry juga baik untuk membantu menguatkan sistem imun (sistem pertahanan) badan daripada sebarang jangkitan.
Kandungan vitamin C dan A yang tinggi dalam buah goji ini boleh membantu menguatkan sistem imun dan mencegah pelbagai serangan penyakit.
Satu kajian yang melibatkan 150 orang warga emas melaporkan bahawa pengambilan makanan tambahan goji berry boleh meningkatkan fungsi imun sebagai tindak balas kepada vaksin influenza (vaksin yang mencegah demam selesema). [4]
4. Boleh Membantu Menstabilkan Paras Gula Darah
Goji berry juga berkhasiat kepada mereka yang mempunyai masalah paras gula darah yang tinggi atau penyakit kencing manis (diabetes).
Goji berry didapati boleh membantu dalam mengawal pelepasan gula ke dalam darah. Berdasarkan satu kajian, goji berry didapati boleh mengimbangkan paras insulin dan glukosa dalam darah. [5]
5. Berpotensi Mencegah Kanser
Goji berry telah lama digunakan dalam perubatan tradisional Cina untuk mencegah permulaan atau perkembangan kanser sejak bertahun-tahun lamanya. Khasiat ini dipercayai disumbang oleh kandungan fitokimia dan antioksidannya.
Terdapat kajian yang melaporkan bahawa polisakarida daripada goji berry boleh mencegah pertumbuhan tumor dan meningkatkan keberkesanan rawatan kanser. [6]
Khasiat goji berry turut dilaporkan berkesan untuk mencegah kanser kolon (usus). [7]
Walau bagaimanapun, kajian-kajian berterusan masih diperlukan.
6. Boleh Mengurangkan Paras Kolesterol
Goji berry juga turut didapati boleh mengurangkan paras kolesterol. Khasiat goji berry sangat bermanfaat untuk kesihatan kardiovaskular terutamanya kesihatan jantung.
Terdapat kajian yang dijalankan terhadap haiwan yang melaporkan bahawa ekstrak goji berry boleh mengurangkan paras kolesterol total dan trigliserida secara ketara. Dalam masa yang sama, ekstrak ini turut meningkatkan paras kolesterol HDL (kolesterol baik). [8]
Walau bagaimanapun, masih banyak kajian terutamanya kajian klinikal yang diperlukan untuk melihat kesan goji berry terhadap paras kolesterol dalam badan manusia.
7. Baik untuk Kesihatan Kulit
Goji berry juga boleh dimanfaatkan untuk kesihatan kulit. Kandungan sebatian beta-karotena dalam goji berry boleh digunakan untuk meningkatkan kesihatan kulit.
Satu kajian yang dijalankan terhadap haiwan mendapati haiwan yang meminum 5% jus goji mendapat antioksidan yang mencukupi untuk melindungi kulit mereka daripada sinaran UV atau penyakit kulit. [9]
8. Boleh Mengurangkan Kemurungan dan Keresahan
Khasiat goji berry juga turut boleh dimanfaatkan oleh mereka yang mengalami masalah kemurungan atau keresahan.
Kajian terhadap manusia mendapati meminum jus goji berry boleh meningkarkan tenaga, mood dan kesihatan penghadaman. Kajian ini melibatkan pengambilan 120 mililiter jus berry secara harian selama 14 hari. [10]
9. Boleh Melambatkan Penuaan (Awet Muda)
Goji berry juga berkhasiat dalam membantu melambatkan penuaan atau bersifat antipenuaan.
Kandungan sebatian seperti polisakarida, beta-karotena, zeaxantin, vitamin C, betaina dan flavanoid dalam buah ini dipercayai menyumbang kepada khasiat antipenuaan buah goji ini.
Betaina iaitu asid amino yang terkandung dalam goji berry didapati mempunyai kesan antipenuaan melalui pengurangan keradangan, mencegah pembentukan tumor, mengurangkan tekanan pengoksidaan (tekanan oksidatif) dan meningkatkan fungsi sel-sel yang terlibat dalam pernafasan serta penghasilan tenaga. [11]
10. Boleh Meningkatkan Kesuburan Lelaki
Goji berry juga didapati mempunyai khasiat terhadap kesuburan lelaki.
Kajian terhadap haiwan mendapati goji berry boleh meningkatkan kuantiti dan pergerakan sperma, meningkatkan keupayaan seksual dan menambah baik pemulihan paras hormon testosteron. [12]
Terdapat juga kajian yang melaporkan bahawa goji berry menunjukkan kesan positif terhadap tikus yang mengalami mati pucuk. Kesan ini dipercayai disumbang oleh kandungan antioksidan dalam buah ini. [13]
Rumusan
Goji berry adalah buah yang mempunyai pelbagai khasiat dan manfaat kepada kesihatan manusia. Seperti penggunaannya dalam perubatan tradisional, kajian-kajian moden turut mendapati buah ini mempunyai pelbagai khasiat dan nilai perubatan.
Buah goji ini juga mudah untuk dimakan dan boleh dicampurkan dalam pelbagai makanan seperti yogurt, bijirin, smoothies, sup dan sebagainya.
Rujukan
- U.S. Department of Agriculture, Agricultural Research Service. FoodData Central, 2019. fdc.nal.usda.gov.
- Cheng, C. Y. et al. (2005). Fasting plasma zeaxanthin response to Fructus barbarum L. (wolfberry; Kei Tze) in a food-based human supplementation trial. The British journal of nutrition.
- Bucheli, P. et al. (2011). Goji berry effects on macular characteristics and plasma antioxidant levels. Optometry and vision science.
- Vidal, K. et al. (2012). Immunomodulatory effects of dietary supplementation with a milk-based wolfberry formulation in healthy elderly: a randomized, double-blind, placebo-controlled trial. Rejuvenation research.
- Cai, H. et al. (2015). Practical Application of Antidiabetic Efficacy of Lycium barbarum Polysaccharide in Patients with Type 2 Diabetes. Medicinal chemistry.
- Cheng, J. et al. (2014). An evidence-based update on the pharmacological activities and possible molecular targets of Lycium barbarum polysaccharides. Drug design, development and therapy.
- Hsu, H. J. et al. (2017). Preparation of carotenoid extracts and nanoemulsions from Lycium barbarum L. and their effects on growth of HT-29 colon cancer cells. Nanotechnology.
- Luo, Q. et al. (2004). Hypoglycemic and hypolipidemic effects and antioxidant activity of fruit extracts from Lycium barbarum. Life sciences.
- Reeve, V. E. et al. (2010). Mice drinking goji berry juice (Lycium barbarum) are protected from UV radiation-induced skin damage via antioxidant pathways. Photochemical & photobiological sciences.
- Amagase, H., & Nance, D. M. (2008). A randomized, double-blind, placebo-controlled, clinical study of the general effects of a standardized Lycium barbarum (Goji) Juice, GoChi. Journal of alternative and complementary medicine.
- Gao, Y. et al. (2017). Lycium Barbarum: A Traditional Chinese Herb and A Promising Anti-Aging Agent. Aging and disease.
- Luo, Q. et al. (2011). Antagonistic effects of Lycium barbarum polysaccharides on the impaired reproductive system of male rats induced by local subchronic exposure to 60Co-γ irradiation. Phytotherapy research.
- Moon, H. W. et al. (2017). Administration of Goji (Lycium chinense Mill.) Extracts Improves Erectile Function in Old Aged Rat Model. The world journal of men’s health.