Ramai yang tidak tahu sebenarnya terdapat sesetengah makanan boleh membantu merawat mati pucuk. Selain ubat-ubatan, penjagaan makanan juga boleh membantu merawat mati pucuk. Artikel ini menyenaraikan makanan-makanan yang boleh membantu merawat mati pucuk berdasarkan sokongan kajian.
Apa itu Mati Pucuk?
Mati pucuk atau dalam istilah perubatan “impoten” atau “erectile dysfunction” adalah ketidakupayaan atau kegagalan untuk menegangkan atau mengekalkan ketegangan zakar untuk hubungan seks.
Mengalami masalah ereksi dari semasa ke semasa tidak semestinya membimbangkan. Tetapi, jika ia menjadi isu yang berterusan, ia boleh menjejaskan kualiti hidup anda dan membawa kepada:
- Keresahan
- Menjejaskan keyakinan diri
- Menyebabkan masalah dalam perhubungan

Masalah mati pucuk boleh disebabkan oleh banyak faktor, secara umumnya ia boleh dibahagikan kepada dua faktor utama iaitu faktor fizikal dan emosi.
Faktor fizikal yang menyebabkan mati pucuk adalah:
- Penyakit jantung
- Saluran darah tersumbat (aterosklerosis)
- Kolesterol tinggi
- Tekanan darah tinggi
- Diabetes
- Obesiti
- Sindrom metabolik
- Penyakit Parkinson
- Sklerosis berbilang
- Penggunaan tembakau
- Ubat preskripsi tertentu
- Ketagihan alkohol
- Gangguan tidur
- Paras testosteron yang rendah
- Rawatan kanser prostat atau pembesaran prostat
- Pembedahan atau kecederaan pada kawasan pelvis atau saraf tunjang
Manakala, faktor emosi yang boleh menyebabkan mati pucuk adalah:
- Kemurungan
- Keresahan
- Masalah perhubungan akibat stres, komunikasi yang buruk dan lain-lain.
Adakah Diet dan Perubahan Gaya Hidup Boleh Membantu Masalah Mati Pucuk?
Perubahan terhadap diet (pemakanan), bersenam, berhenti merokok dan meminum alkohol boleh mengurangkan risiko daripada berlakunya mati pucuk.
Satu kajian semula yang melibatkan 13 kajian melaporkan bahawa terdapat perkaitan antara diet dengan kesihatan seksual lelaki. Mati pucuk didapati lebih rendah dalam kalangan lelaki yang mengamalkan diet Mediterranean.
Malah, lelaki yang obes dan mempunyai berat badan berlebihan yang mengurangkan berat badan melalui diet rendah kalori dan rendah lemak turut menambah baik masalah fungsi erektil dan paras hormon testosteron. [1]
Diet Mediterranean adalah diet yang menekankan terhadap makanan seperti buah-buahan, sayur-sayuran, bijian penuh, kekacang dan lemak yang sihat.
Diet jenis ini mengehadkan makanan diproses, gula tambahan dan karbohidrat bertapis.
Makanan yang Boleh Membantu Merawat Mati Pucuk
Berikut adalah makanan-makanan yang boleh membantu merawat mati pucuk yang boleh diamalkan oleh anda:
1. Buah Tembikai
Buah tembikai adalah kaya dengan sebatian likopena yang mempunyai banyak khasiat dan manfaat kepada kesihatan.
Kajian terhadap haiwan mendapati likopena boleh mengurangkan masalah mati pucuk yang menunjukkan potensi likopena dalam perawatan mati pucuk. [2]
Selain itu, buah tembikai juga turut mengandungi sitrulina iaitu sebatian yang boleh mengendurkan saluran darah dan meningkatkan aliran darah.
Kajian terhadap lelaki yang mengalami mati pucuk yang ringan mendapati pengambilan sebatian sitrulina ini boleh meningkatkan kekerasan eraksi. [3]
2. Buah Tomato
Buah tomato juga turut kaya dengan sebatian likopena yang bermanfaat kepada pesakit mati pucuk.
Selain itu, buah tomato juga boleh membantu meningkatkan kesuburan lelaki.
Satu kajian yang melibatkan 44 orang lelaki dengan masalah kesuburan mendapati meminum jus tomato selama 12 minggu boleh meningkatkan kesihatan air mani dan pergerakan sperma. [4]
3. Kacang Pistasio
Kacang pistasio atau turut dikenali sebagai kacang cerdik juga merupakan makanan yang boleh membantu merawat mati pucuk.
Khasiat kacang pistasio ini dibuktikan dalam satu kajian yang melibatkan 17 lelaki yang mengalami masalah mati pucuk sekurang-kurangnya setahun.
Kajian ini mendapati pengambilan 100 gram kacang pistasio selama 3 minggu menunjukkan peningkatan terhadap fungsi erektil, penurunan paras kolesterol dan tekanan darah. [5]
4. Buah-buahan Tinggi Flavonoid
Satu kajian prospektif selama 10 tahun yang melibatkan 25,096 lelaki usia pertengahan mendapati mereka yang banyak memakan makanan kaya flavonoid adalah 9-11% lebih rendah risiko untuk mengalami mati pucuk.
Tambahan lagi, pengambilan buah-buahan yang tinggi dengan kandungan flavonoid juga didapati boleh mengurangkan 14% risiko untuk mengalami mati pucuk. [6]
Antara buah-buahan yang tinggi dengan flavonoid adalah:
- Strawberi
- Beri biru
- Beri hitam
- Kranberi
- Buah lemon
- Buah limau nipis
- Buah oren
- Buah limau gedang
5. Daging Merah dan Daging Ayam
Daging lembu, daging kambing, daging ayam atau daging ayam belanda adalah tinggi dengan asid amino yang dikenali sebagai L-arginina.
L-arginina ini boleh membantu menghasilkan nitrik oksida yang kemudiannya boleh mengendurkan saluran darah dan meningkatkan aliran darah.
Terdapat kajian yang mendapati lelaki yang menghidap mati pucuk adalah rendah dengan kandungan L-arginina. [7]
Kajian lain pula melaporkan bahawa pengambila L-arginina pada dos yang tinggi selama 3 bulan boleh menambah baik fungsi erektil bagi pesakit mati pucuk. Pengkaji menyimpulkan bahawa L-arginina boleh menjadi rawatan alternatif kepada mati pucuk yang ringan hingga sederhana. [8]
Makanan yang Perlu Dielakkan
Terdapat juga beberapa jenis makanan atau minuman yang perlu dielakkan sekiranya anda ingin sembuh daripada mati pucuk.
1. Alkohol
Alkohol boleh menjejaskan kesihatan seksual lelaki.
Kajian yang dijalankan terhadap 100 orang lelaki yang mempunyai ketagihan alkohol mendapati 72% daripada lelaki ini mempunyai masalah seksual seperti ejakulasi pramatang, keinginan seksual yang rendah dan mati pucuk. [9]
Kajian yang lebih terkini turut melaporkan lelaki yang ketagihan alkohol lebih lazim mengalami masalah disfungsi seksual dan sebanyak 26% daripadanya mengalami mati pucuk. [10]
2. Gula Tambahan
Pengambilan gula tambahan dalam makanan dan minuman boleh meningkatkan risiko kepada mati pucuk.
Hal ini demikian kerana, pengambilan gula tambahan yang tinggi boleh meningkatkan risiko terhadap penyakit kencing manis (diabetes) dan obesiti.
Terdapat kajian-kajian yang melaporkan bahawa obesiti atau berat badan berlebihan boleh meningkatkan risiko kepada mati pucuk. [11, 12]
3. Merokok
Golongan perokok juga berisiko tinggi untuk mengalami mati pucuk. Fakta ini dibuktikan dalam beberapa kajian.
Satu kajian pada tahun 2010 melaporkan lelaki yang merokok dan meminum arak adalah lebih berisiko untuk mengalami mati pucuk berbanding mereka yang tidak merokok atau tidak meminum arak. [13]
Kajian yang lebih terkini melaporkan bahawa perokok adalah golongan berisiko tinggi untuk mengalami mati pucuk tanpa faktor luaran seperti usia dan penyakit. [14]
Rumusan
Mati pucuk menjejaskan ramai kaum lelaki terutamanya apabila mereka meningkat usia. Terdapat banyak faktor yang boleh menyebabkan mati pucuk.
Pemeriksaan oleh ahli profesional kesihatan boleh mengenal pasti faktor yang menyebabkan mati pucuk kepada anda. Mereka juga akan mencadangkan rawatan yang sesuai kepada anda.
Sebagai menyokong rawatan yang diberikan, perubahan terhadap gaya hidup seperti mengambil makanan yang boleh membantu merawat mati pucuk boleh membantu anda untuk pulih daripada masalah ini.
Selain itu, makanan-makanan ini juga baik untuk kesihatan anda secara amnya.
Rujukan
- La, J. et al. (2018). Diet and Men’s Sexual Health. Sexual medicine reviews.
- Gao, J. X. et al. (2012). Lycopene ameliorates erectile dysfunction in streptozotocin-induced diabetic rats. Die Pharmazie.
- Cormio, L. et al. (2011). Oral L-citrulline supplementation improves erection hardness in men with mild erectile dysfunction. Urology.
- Yamamoto, Y. et al. (2017). The effects of tomato juice on male infertility. Asia Pacific journal of clinical nutrition.
- Aldemir, M. et al. (2011). Pistachio diet improves erectile function parameters and serum lipid profiles in patients with erectile dysfunction. International journal of impotence research.
- Cassidy, A. et al. (2016). Dietary flavonoid intake and incidence of erectile dysfunction. The American journal of clinical nutrition.
- Barassi, A. et al. (2017). Levels of l-arginine and l-citrulline in patients with erectile dysfunction of different etiology. Andrology.
- Menafra, D. et al. (2022). Long-term high-dose L-arginine supplementation in patients with vasculogenic erectile dysfunction: a multicentre, double-blind, randomized, placebo-controlled clinical trial. Journal of endocrinological investigation.
- Arackal, B. S., & Benegal, V. (2007). Prevalence of sexual dysfunction in male subjects with alcohol dependence. Indian journal of psychiatry.
- Mandal, S. et al. (2021). Sexual Dysfunction and Satisfaction in Males With Alcohol Dependence: A Clinic-Based Study From Central India. Cureus.
- Esposito, K. et al. (2008). Obesity and sexual dysfunction, male and female. International journal of impotence research.
- Skrypnik, D. et al. (2014). [Obesity–significant risk factor for erectile dysfunction in men]. Polski merkuriusz lekarski.
- Lee, A. C. et al. (2010). The effect of alcohol drinking on erectile dysfunction in Chinese men. International journal of impotence research.
- Kovac, J. R. et al. (2015). Effects of cigarette smoking on erectile dysfunction. Andrologia.