Khasiat terung mungkin tidak dibincangkan sehebat resepi terung. Tetapi, tahukah anda bahawa terung merupakan buah atau sayuran yang sarat dengan vitamin dan antioksidan.
Terung atau nama saintifiknya Solanum melongena L. berasal dari benua India. Terung yang mempunyai banyak khasiat ini telah ditanam di India dan China sejak 1500 tahun dahulu.
Buah terung bukan sahaja kaya dengan zatnya malah mampu melindungi diri kita daripada penyakit yang berbahaya seperti kanser dan penyakit jantung.
Terdapat beberapa jenis terung yang direkodkan. Antaranya adalah terung bali, terung belanda, terung ungu, terung asam, terung hitam, terung pipit, terung pipit putih dan terung rembang.
Berikut merupakan 8 manfaat dan khasiat terung kepada kesihatan kita:
1. Terung Kaya dengan Nutrien
Buah terung merupakan buah atau sayuran yang kaya dengan nutrien, mengandungi serat, mineral dan vitamin yang tinggi.
Bagi 100g terung mentah, terdapat nutrien seperti berikut:
- Tenaga: 25 kcal
- Protein: 0.98 gram
- Karbohidrat: 5.88 gram
- Serat: 3 gram
- Gula: 3.53 gram
- Kalsium: 9 miligram
- Magnesium: 14 miligram
- Kalium (Potassium): 229 miligram
- Fosforus: 24 miligram
- Natrium (Sodium): 2 miligram
- Folat: 22 mikrogram
- Vitamin K: 3.5 mikrogram
- Vitamin C: 2.2 miligram
2. Tinggi dengan Antioksidan
Buah terung juga kaya dengan antioksidan yang bertindak sebagai peneutral atau pengitar semula radikal bebas.
Radikal bebas ini boleh merosakkan sel seperti sel DNA, lipid dan protein. Kerosakan ini boleh membawa kepada penyakit seperti kanser, penyakit kardiovaskular, penyakit hati dan juga beberapa penyakit lain.
Menurut kajian, buah terung mengandungi sebatian bioaktif seperti fenolik, karatenoid dan alkaloid. [1]
Sebatian fenolik dan karatenoid ini popular dengan ciri-ciri antioksidannya. Kapasiti antioksidan ini dipengaruhi oleh warna kulit dan saiz buah terung.
Buah terung kecil berwarna ungu mempunyai kandungan fenolik, antosianin serta kapasiti antioksidan yang lebih tinggi berbanding buah terung jenis lain. [2]
2. Baik untuk Kesihatan Jantung
Buah terung juga baik untuk kesihatan jantung kerana boleh membantu menurunkan paras kolesterol.
Satu kajian terhadap arnab yang mempunyai kolesterol tinggi diberi 10ml jus terung setiap hari selama 2 minggu. Akhir kajian mendapati, arnab yang diberikan jus terung ini menunjukkan penurunan pada kolesterol LDL (kolesterol jahat) dan trigliserida. [3]
Kolesterol LDL dan trigliserida yang tinggi boleh membawa kepada risiko penyakit jantung.
3. Boleh Membantu Mengawal Tekanan Darah
Terung juga kaya dengan mineral kalium (potassium) dan rendah natrium (sodium).
Kalium berperanan untuk memastikan badan dapat berfungsi dengan baik. Kalium dapat merendahkan tekanan darah dengan mengimbangkan kesan negatif daripada garam (natrium).
Satu kajian terhadap tikus yang menghidap tekanan darah tinggi mendapati, buah terung mengurangkan tahap tekanan darah secara signifikan walaupun pada dos yang rendah. [4]
4. Bersifat Antikanser
Buah terung mempunyai sebatian bioaktif seperti fenolik, karotenoid dan alkaloid. Sebatian fenolik memainkan peranan penting dalam mencegah dan merawat kanser.
Berdasarkan beberapa kajian, glycoalkaloid dalam terung berpotensi untuk merawat kanser seperti kanser gastrik dan kanser paru-paru. [5, 6]
Walau bagaimanapun, glycoalkaloid boleh menjadi toksik pada kepekatan yang tinggi.
5. Sesuai untuk Menurunkan Berat Badan
Kandungan serat yang tinggi dalam buah terung dan kalori yang rendah menjadikan terung satu pilihan yang baik untuk dijadikan makanan untuk menurunkan berat badan.
Bagi 100gram terung mentah, terdapat 3 gram serat.
Serat dapat membuat kita kenyang lebih lama kerana serat melalui saluran pencernaan dengan perlahan dan dapat mengurangkan pengambilan lebih kalori. [7]
6. Baik untuk Kesihatan Mata
Khasiat terung juga turut meliputi kesihatan mata. Kandungan karotenoid seperti lutein dan zeaxantin dapat membantu melindungi mata.
Lutein dan zeaxantin ini memberikan perlindungan kepada mata daripada penyakit degenerasi makular berkaitan usia dengan menyerap cahaya biru yang memasuki mata. [8]
7. Boleh Mencegah Jangkitan Bakteria
Terung juga turut menunjukkan ciri-ciri antibakteria terhadap beberapa strain bakteria.
Kajian yang dijalankan terhadap ekstrak terung mendapati terung berkesan untuk mencegah jangkitan oleh bakteria jenis S. aureus, V. cholera, B.subtilis, B. cereus, E. coli dan Pseudomonas sp. [9]
Bakteria-bakteria ini boleh menyebabkan keracunan makanan, pneumonia dan taun (kolera).
Rumusan
Khasiat terung sepertimana yang dibincangkan ini amatlah bermanfaat untuk kesihatan kita. Malah, buah terung juga mudah untuk dimasak dan dipelbagaikan dalam menu masakan.
Amalan pemakanan terung boleh membantu mengurangkan risiko terkena penyakit jantung, kanser dan juga penyakit makular mata.
Selain itu, terung baik untuk mengawal tekanan darah, membantu menurunkan berat badan, dan boleh mencegah jangkitan bakteria.
Rujukan
- Gürbüz, N. et al. (2018). Health benefits and bioactive compounds of eggplant. Food chemistry.
- Nisha, P. et al. (2009). A comparative study on antioxidant activities of different varieties of Solanum melongena. Food and chemical toxicology.
- Jorge, P. A. et al. (1998). [Effect of eggplant on plasma lipid levels, lipidic peroxidation and reversion of endothelial dysfunction in experimental hypercholesterolemia]. Arquivos brasileiros de cardiologia.
- Yamaguchi, S. et al. (2019). Antihypertensive effects of orally administered eggplant (Solanum melongena) rich in acetylcholine on spontaneously hypertensive rats. Food chemistry.
- Ding, X. et al. (2013). Purification, antitumor activity in vitro of steroidal glycoalkaloids from black nightshade (Solanum nigrum L.). Food chemistry.
- Ding, X. et al. (2012). Induction of apoptosis in human hepatoma SMMC-7721 cells by solamargine from Solanum nigrum L. Journal of ethnopharmacology.
- Blundell, J. E., & Burley, V. J. (1987). Satiation, satiety and the action of fibre on food intake. International journal of obesity.
- Johnson E. J. (2002). The role of carotenoids in human health. Nutrition in clinical care.
- Ahmed, F. et al. (2017). Phytoconstituents, bioactivity and antioxidant potential of some commercial brinjal (Solanum melongena L.) cultivars of Bangladesh. Jahangirnagar University Journal of Biological Sciences.