Kucai atau daun kucai adalah herba daripada spesies bawang. Selain digunakan sebagai penyedap rasa dalam masakan, daun kucai sebenarnya mempunyai banyak khasiat yang bermanfaat kepada kesihatan termasuklah kepada mereka yang menghidap tekanan darah tinggi.
Kucai (Allium schoenoprasum) turut dikenali dengan beberapa nama iaitu Chive, Snow Mountain Garlic atau Kashmiri garlic. Ia dipercayai berasal dari Siberia dan kemudiannya tersebar ke Asia, Eropah dan Amerika Utara.
Biasanya, daun kucai digunakan sebagai penambah rasa yang memberikan rasa yang lebih halus berbanding spesies Allium yang lain.

Di China, daun kucai selalunya dihidangkan dengan ikan dan digunakan untuk menghias beberapa bahan makanan seperti biskut, roti, pankek, ladu dan juga dalam banyak produk tenusu dan daging.
Selain dalam masakan, daun kucai juga turut digunakan dalam perubatan tradisional untuk merawat pelbagai penyakit atau masalah kesihatan.
Contohnya, di Indonesia, daun kucai digunakan untuk merawat penyakit tekanan darah tinggi (hipertensi). Manakala di Asia Timur, daun kucai digunakan untuk merawat demam selesema dan kesesakan paru-paru.
Tambahan daripada itu juga, daun kucai turut digunakan untuk mengurangkan kesakitan akibat selaran matahari (sunburn), sakit tekak, menambah selera makan dan membantu penghadaman.
Kajian-kajian sains moden juga turut mendapati daun kucai turut mempunyai pelbagai khasiat seperti:
1. Kaya dengan Antioksidan
Antioksidan ialah sebatian yang boleh melindungi sel-sel sihat dalam badan daripada tekanan oksidatif yang disebabkan oleh radikal bebas.
Tekanan oksidatif adalah faktor utama yang terlibat dalam perkembangan pelbagai penyakit akut atau kronik seperti diabetes, penyakit jantung, kanser dan lain-lain.
Daun kucai mengandungi antioksidan seperti kaempferol, kuersetin, asid galik, asid koumarik, asid ferulik asid senapik dan isorhamnetin.
2. Berpotensi Mencegah Kanser
Daun kucai juga dilihat berpotensi membantu mencegah kanser kerana kandungan sebatian antioksidan dan sifat antiradangnya.
Daun kucai mengandungi sebatian kuersetin yang didapati boleh merencatkan pembiakan sel-sel kanser seperti kanser prostat, serviks, paru-paru, payudara dan usus besar. [1]
Selain itu, terdapat juga kajian yang melaporkan bahawa terdapat 16 spesies allium termasuklah daun kucai didapati berpotensi mencegah kanser atau bersifat antikanser. [2]
3. Boleh Membantu Mencegah Osteoporosis
Daun kucai juga turut tinggi dengan vitamin K. Vitamin K adalah vitamin yang penting untuk kesihatan tulang dan boleh membantu mencegah osteoporosis.
Vitamin K boleh membantu mempunyai tulang yang kuat dan mengurangkan risiko kepada kepatahan tulang (osteoporosis).
Kajian-kajian menunjukkan mereka yang kurang mengambil vitamin K dikaitkan dengan ketumpatan tulang yang rendah (tulang tidak kuat) dan peningkatan retakan tulang. [3]
4. Boleh Membantu Menurunkan Tekanan Darah
Seperti penggunaannya dalam perubatan tradisional, kajian moden turut mendapati daun kucai boleh membantu menurunkan tekanan darah.
Khasiat daun kucai ini dilaporkan dalam satu kajian terhadap haiwan yang mendapati ekstrak daripada bebawang (bulb) kucai boleh mengurangkan tekanan darah dengan meningkatkan paras nitrik oksida darah yang seterusnya memberikan kesan vasolidasi. [4]
Vasodilasi adalah pelebaran saluran darah akibat pengenduran dinding otot saluran darah.
5. Boleh Meningkatkan Memori
Daun kucai juga tinggi dengan kandungan kolina yang boleh membantu meningkatkan memori atau kesihatan otak.
Kajian menunjukkan pengambilan daun kucai dalam kalangan orang dewasa boleh mempengaruhi fungsi daya fikir atau kecerdasan mental dan meningkatkan prestasi memori serta mencegah kemerosotan daya fikir. [5]
6. Boleh Menyingkirkan dan Membunuh Cacing Dalam Tubuh
Kucai juga boleh bertindak seperti ubat cacing yang boleh menyingkir dan membunuh cacing.
Satu kajian terhadap haiwan mendedahkan bahawa serbuk kucai yang diberi pada dos 1000 mg/kg selama 8 hari berturut-turut berjaya mengurangkan jumlah cacing dalam usus sehingga 35%. Hasil kajian ini menunjukkan kucai mempunyai kesan antelmintik walaupun pada kadar sederhana. [6]
7. Baik untuk Kesihatan Mata
Daun kucai juga turut baik untuk kesihatan mata kerana kandungan lutein dan zeaxantin.
Menurut kajian, lutein dan zeaxantin memainkan peranan dalam mencegah dan merawat penyakit mata seperti degenerasi makular berkaitan usia, katarak dan retinitis pigmentosa. [7]
Rumusan
Jika anda sering menggunakan daun kucai dalam masakan, tindakan anda tersebut tidaklah sia-sia. Ini kerana daun kucai turut mempunyai khasiat yang mendatangkan kebaikan kepada kesihatan badan anda.
Kajian-kajian menunjukkan kucai atau daun kucai kaya dengan antioksidan, berpotensi mencegah kanser, boleh membantu menurunkan tekanan darah, baik untuk kesihatan tulang dan lain-lain lagi.
Rujukan
- Jeong, J. H. et al. (2009). Effects of low dose quercetin: cancer cell-specific inhibition of cell cycle progression. Journal of cellular biochemistry.
- Asemani, Y. et al. (2019). Allium vegetables for possible future of cancer treatment. Phytotherapy Research.
- Bügel S. (2003). Vitamin K and bone health. The Proceedings of the Nutrition Society.
- Amalia,L. et al. (2008). The Effect of Ethanol Extract of Kucai (Allium schoenoprasum L.) Bulbs on Serum Nitric Oxide Level in Male Wistar Rats. International Journal of Pharmacology.
- Blusztajn, J. K. et al. (2017). Neuroprotective Actions of Dietary Choline. Nutrients.
- Klimpel, S. et al. (2011). The effects of different plant extracts on nematodes. Parasitology research.
- Ma, L., & Lin, X. M. (2010). Effects of lutein and zeaxanthin on aspects of eye health. Journal of the science of food and agriculture.