Jangkitan cacing ialah jangkitan yang sering berlaku dalam kalangan kanak-kanak. Langkah perawatan terhadap jangkitan cacing ini adalah dengan memakan ubat cacing. Artikel ini akan menerangkan dengan lebih lanjut mengenai cara makan ubat cacing yang boleh dijadikan panduan oleh ibu bapa atau penjaga.
Terdapat tiga jenis jangkitan cacing yang biasanya menjangkiti kanak-kanak iaitu cacing rambu atau cambuk, cacing gelang dan cacing jarum.
Cacing-cacing ini menjangkiti kanak-kanak atas faktor mereka suka bermain di kawasan bertanah, lembap dan kotor. Jangkitan yang disebabkan oleh cacing rambu atau cambuk dikenali sebagai ‘trichuriasis‘, jangkitan oleh cacing gelang pula dikenali sebagai ‘ascariasis‘ dan jangkitan cacing jarum dikenali sebagai ‘enterobiasis‘.
Walaupun jangkitan cacing tidak menyebabkan komplikasi yang serius, tetapi ia masih menyebabkan gejala atau simptom-simptom yang mungkin membuatkan kanak-kanak tidak selesa atau sakit.
Contohnya seperti sakit perut, muntah-muntah, cirit-birit atau hilang selera makan.
Cara Jangkitan
Cacing Rambu atau Cambuk
- Jangkitan berlaku apabila kanak-kanak makan makanan atau minuman yang tercemar dengan telur cacing tersebut.
- Jangkitan juga boleh berlaku apabila kanak-kanak memasukkan jari tangan ke dalam mulut selepas bermain dengan tanah yang tercemar dengan telur cacing tersebut.
Cacing Gelang
- Jangkitan berlaku apabila telur-telur cacing tersebut berjangkit melalui tangan yang tidak bersih dan dimasukkan ke dalam mulut terutamanya apabila kanak-kanak bermain di tempat-tempat yang lembap dan kotor.
- Jangkitan juga boleh berlaku apabila kanak-kanak makan makanan atau minum air yang tercemar dengan telur-telur cacing tersebut.
Cacing Jarum
- Jangkitan berlaku apabila kanak-kanak menelan telur cacing tersebut. Seorang kanak-kanak mendapat telur cacing jarum melalui sentuhan dengan kanak-kanak yang telah dijangkiti atau melalui pakaian tidur, cadar atau persekitaran kediaman kanak-kanak tersebut.
- Apabila telah dijangkiti, kanak-kanak akan menggaru di kawasan dubur kerana gatal. Telur-telur cacing jarum akan melekat di celah-celah kuku. Apabila kanak-kanak makan tanpa mencuci tangan dengan sempurna, telur-telur tersebut akan masuk melalui mulut dan menjadi cacing dewasa dan tinggal di dalam usus.
Cara Makan Ubat Cacing Rambu atau Cambuk
Rawatan dengan menggunakan ubat makan jenis Albendazole dan Mebendazole adalah berkesan untuk merawat jangkitan cacing rambu atau cambuk.
Ubat makan Albendazole
- Tempoh: Diberikan selama 1 hari
- Dos: Mengikut arahan doktor atau 200-400mg dua kali sehari.
Ubat makan Mebendazole
- Tempoh: Diberikan selama 3 hari
- Dos: Mengikut arahan doktor atau 100mg dua kali sehari.
Rawatan ini perlu diulangi mengikut keperluan (jika masih terdapat tanda-tanda jangkitan selepas 2 minggu rawatan diberi).
Cara Makan Ubat Cacing Gelang
Rawatan dengan menggunakan ubat makan jenis Albendazole atau Mebendazole juga berkesan untuk merawat jangkitan cacing gelang.
Ubat makan Albendazole
- Tempoh: Diberikan selama 1 hari
- Dos: Mengikut arahan doktor atau 400mg sekali sehari.
atau
Ubat makan Mebendazole
- Tempoh: Diberikan selama 3 hari
- Dos: Mengikut arahan doktor atau 100mg dua kali sehari.
Cara Makan Ubat Cacing Jarum
Rawatan untuk cacing jarum juga boleh menggunakan ubat makan jenis Albendazole atau Mebendazole.
Ubat makan Albendazole
- Tempoh: Diberikan selama 1 hari dan diulangi selepas 2 minggu.
- Dos: Mengikut arahan doktor atau 400mg sekali sehari semasa perut kosong.
atau
Ubat makan Mebendazole
- Tempoh: Diberikan selama 1 hari dan diulangi selepas 2 minggu.
- Dos: Mengikut arahan doktor atau 100mg sekali sehari.
Rawatan ini perlu diberikan kepada semua ahli keluarga. Sapukan jeli petroleum di kawasan yang gatal untuk menghilangkan kegatalan (di sekeliling kawasan dubur atau faraj).
Ibu bapa atau penjaga juga perlu merebus dan membasuh cadar dan pakaian dengan menggunakan air panas dan bahan pencuci untuk menghapuskan telur-telur cacing jarum.
Langkah-langkah Pencegahan
Beberapa langkah pencegahan boleh dilakukan bagi mengelakkan jangkitan cacing terutamanya dalam kalangan kanak-kanak. Antaranya adalah:
- Basuh tangan dengan sempurna sebelum menyediakan makanan.
- Elakkan anak anda daripada bermain di tanah atau pasir.
- Basuh makanan dengan bersih sebelum dihidangkan.
- Elakkan menyentuh tanah yang dicemari dengan najis manusia.
- Buang lampin pakai buang ditempat yang sesuai.
- Elakkan makan makanan atau minum minuman yang tercemar semasa melawat tempat atau negara yang tidak mempunyai sistem sanitasi yang baik.
- Mandi dengan kerap.
- Gunakan cadar, pakaian dalam, pakaian tidur yang bersih.
- Basuh tangan dengan sempurna selepas ke tandas dan sebelum menyediakan makanan.
Rujukan
- Rajaretnam, R.S. (2020). Cacing rambu / cacing cambuk. MyHealth KKM
- Viswanath A, Yarrarapu SNS, Williams M. [Updated 2021 Aug 24]. Trichuris Trichiura. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing.
- Rajaretnam, R.S. (2020). Jangkitan Cacing Gelang. MyHealth KKM
- de Lima Corvino DF, Horrall S.[Updated 2021 Oct 28]. Ascariasis. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing.
- Rajaretnam, R.S. (2020). Jangkitan Cacing Jarum. MyHealth KKM
- Rawla P, Sharma S. [Updated 2021 Dec 12]. Enterobius Vermicularis. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing;