Jangkitan cacing rambu atau cacing cambuk adalah jangkitan cacing yang sering berlaku kepada kanak-kanak. Dalam perubatan, jangkitan cacing jenis ini dikenali sebagai Trichuariasis, ia merujuk kepada jangkitan cacing rambu atau cacing cambuk daripada genus Trichuris.
Dalam bahasa Inggeris, cacing rambu atau cacing cambuk ini dikenali sebagai whipworm.
Apa itu Cacing Rambu atau Cacing Cambuk?
Cacing rambu atau cacing cambuk boleh dikenali berdasarkan kepada ciri-ciri bentuk cacing dewasa. Cacing dewasa berukuran antara 3-5 cm panjang dan boleh hidup selama 1-3 tahun.
Cacing ini berwarna merah jambu dan melekat pada dinding usus besar manusia dengan membenamkan hujung badannya.
Cacing rambu atau cacing cambuk betina boleh menghasilkan sekitar 2,000 hingga 10,000 telur dalam masa sehari dan terenap di dalam tanah daripada najis manusia.
Selapas 14 hingga 21 hari, telur ini akan matang dan memasuki peringkat jangkitan. Sekiranya manusia memakan telur tersebut, telur tersebut akan mula menetas di dalam usus kecil manusia dan memakan mikroflora usus untuk membesar dan membiak.
Majoriti larva akan berpindah ke usus besar dan membesar di sana. Jangkitan yang berlaku melibatkan bebanan cacing yang tinggi.
Kanak-kanak adalah golongan yang terdedah kepada jangkitan cacing ini. Hal ini terjadi kerana sanitasi yang buruk. Negara-negara di Asia dan Afrika dimana kebersihan adalah rendah, kelaziman jangkitan cacing rambu atau cacing cambuk ini adalah tinggi.
Tanda-tanda atau Gejala Jangkitan
Tanda-tanda atau gejala jangkitan boleh dibahagikan kepada dua iaitu ringan atau teruk.
Gejala bagi jangkitan ringan (kurang dari 100 cacing) adalah seperti berikut:
- Kemungkinan tiada sebarang tanda dan gejala.
- Kadang-kala kanak-kanak mengalami kembung perut, cirit birit, sembelit atau perut rasa tidak selesa (sebu).
Manakala gejala bagi jangkitan teruk (melebihi 100 -1000 cacing) adalah seperti berikut:
- Sakit perut.
- Muntah.
- Cirit-birit (kemungkinan mengandungi darah)
- Pucat (kurang darah).
- Hilang selera makan.
- Susut berat badan.
- Bahagian akhir usus besar terkeluar (Rectal Prolapse).
- Pembesaran terencat.
Bagaimana Cara untuk Mengetahui Anak Anda Dijangkiti?
Selain melalui gejala atau tanda-tanda yang dinyatakan di atas, cara lain untuk mengetahui anak anda dijangkiti adalah apabila anak anda buang air besar dan najisnya mengandungi telur cacing rambu atau cacing cambuk.
Ianya boleh dipastikan melalui pemeriksaan mikroskopik ke atas najis anak anda.
Punca atau Penyebab
Punca atau penyebab jangkitan cacing rambu atau cacing cambuk yang paling biasa ialah akibat memakan atau meminum air yang tercemar dengan telur cacing tersebut.
Jangkitan juga boleh berlaku apabila kanak-kanak memasukkan jari tangan ke dalam mulut selepas bermain dengan tanah yang tercemar.
Ini selalunya disebabkan oleh keadaan kebersihan yang buruk, termasuk membuang air besar secara terbuka dan menggunakan najis manusia sebagai baja.
Beberapa kajian terkini menunjukkan bahawa orang yang mempunyai ciri-ciri kromosom tertentu mungkin terdedah atau mengalami peningkatan kerentanan untuk mendapat jangkitan cacing rambu atau cacing cambuk.
Rawatan
Rawatan adalah berkesan dengan ubat makan iaitu dengan ubat Albendazole untuk satu hari sementara Mebendazole untuk 3 hari.
Rawatan ini perlu diulangi mengikut keperluan (jika masih terdapat tanda-tanda jangkitan selepas 2 minggu rawatan diberi).
Komplikasi
Bagi kes yang teruk, dehidrasi dan kekurangan darah berlaku akibat daripada cirit-birit berdarah. Bahagian akhir usus besar terkeluar kadang-kadang turut berlaku.
Kanak-kanak juga mungkin mengalami tumbesaran terbantut akibat daripada pemakanan yang tidak baik.
Langkah-langkah Pencegahan
Beberapa langkah pencegahan boleh dilakukan bagi mengurangkan risiko jangkitan cacing rambu atau cacing cambuk dalam kalangan kanak-kanak. Antaranya adalah:
- Basuh tangan dengan sempurna sebelum menyediakan makanan.
- Elakkan anak anda daripada bermain di tanah yang tercemar dengan telur cacing rambu atau cacing cambuk seperti tanah yang mempunyai najis.
- Basuh makanan yang mungkin tercemar dengan telur cacing rambu atau cacing cambuk dengan bersih.
Rujukan
- Viswanath A, Yarrarapu SNS, Williams M.[Updated 2021 Aug 24]. Trichuris Trichiura. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing.
- Centers for Disease Control and Prevention. (2020). Parasites – Trichuriasis (also known as Whipworm Infection)