Pemakanan adalah salah satu komponen penting dalam tumbesaran anak anda. Makanan yang seimbang dan berkhasiat boleh membantu tumbesaran anak anda secara sihat tanpa masalah bantut.
Pemakanan yang baik bukan sahaja membantu dalam perkembangan fizikal tetapi juga menyokong perkembangan mental dan emosi kanak-kanak.
Artikel ini akan mengupas beberapa jenis makanan yang penting untuk tumbesaran anak anda, manfaat setiap jenis makanan ini, serta tips untuk memperkenalkan makanan tersebut dalam diet harian anak-anak.
1. Protein
Protein memainkan peranan penting dalam tumbesaran yang sihat di samping menggalakkan pembinaan tisu, pembaikan tisu dan fungsi imun. [1]
Berita baiknya ialah nutrien penting ini tersedia dalam pelbagai makanan sihat untuk kanak-kanak!
Antara sumber protein yang baik untuk tumbesaran anak anda adalah:
- Telur
- Ayam tanpa kulit
- Ikan
- Makanan laut (bagi kanak-kanak yang tidak mempunyai alahan)
Sumber-sumber protein ini kaya dengan pelbagai nutrien. Sebagai contoh, ayam mengandungi vitamin B12 dan asid amino (taurina) yang penting untuk anak anda semakin tinggi dan mengawal selia pembentukan tulang dan tumbesaran. [2, 3]
2. Bijirin Penuh atau Ubi
Selain protein, pelbagai bijirin penuh atau ubi seperti gandum, beras perang, ubi kentang, keledek dan jagung boleh menjadi makanan yang baik untuk membantu tumbesaran anak anda.
Galakkan untuk anak anda mengambil bijirin penuh berbanding bijirin bertapis.
Makanan dari jenis ini membekalkan karbohidrat, memberikan anak anda tenaga yang mereka perlukan untuk merangsang pertumbuhan dan perkembangan mereka.
Selain itu, bijirin penuh juga membekalkan serat yang baik untuk sistem penghadaman anak anda.
3. Lemak Sihat
Lemak sihat adalah nutrien penting untuk perkembangan otak dan kesihatan secara keseluruhannya.
Antara sumber makanan yang kaya dengan lemak sihat adalah:
- Avokado
- Kekacang
- Bijian
- Minyak zaitun
Di samping itu, ikan berlemak seperti ikan salmon, ikan mackerel, ikan kembung, ikan tuna dan ikan sardin adalah sumber yang baik untuk mendapatkan lemak sihat iaitu asid lemak Omega-3.
Sesetengah kajian juga mencadangkan bahawa asid lemak Omega-3 mungkin terlibat dalam kesihatan tulang dan boleh menggalakkan pembaharuan tulang untuk memaksimumkan pertumbuhan. [4]
4. Zat Besi (Ferum)
Zat besi adalah nutrien yang penting untuk tumbesaran anak anda. Ia membantu dalam fungsi-fungsi kognitif dan pembentukan sel-sel darah merah.
Tambahan itu juga, zat besi juga boleh membantu mencegah berlakunya anemia (kekurangan darah merah) membawa kepada perkembangan psikologi yang tertangguh, penarikan diri sosial, dan kurang keupayaan untuk memberi perhatian.
Zat besi boleh diperolehi daripada sumber makanan seperti:
- Daging
- Ikan
- Makanan laut
- Kismis
- Sayur bayam
- Kacang ginjal
- Bijirin yang diperkaya dengan zat besi
5. Kalsium dan Vitamin D
Kalsium terkenal dengan peranannya dalam membina tulang dan gigi yang kuat, satu aspek penting dalam perkembangan fizikal anak anda.
Manakala, vitamin D pula membantu dalam penyerapan kalsium bagi memastikan pertumbuhan tulang dan gigi yang sihat.
Antara makanan yang kaya dengan kalsium dan vitamin D adalah:
- Susu
- Keju
- Yogurt
- Sayuran berdaun hijau
- Produk makanan yang diperkaya dengan kalsium dan vitamin D
Galakkan anak anda makan dan minum produk tenusu tanpa lemak atau rendah lemak.
Selain itu, makanan seperti yogurt turut mengandungi probiotik (bakteria baik) yang boleh membantu meningkatkan kesihatan usus. [5]
6. Sayur-sayuran Berdaun
Sayur-sayuran berdaun seperti bayam, kangkung, sawi, kailan dan kubis adalah antara makanan yang padat dengan pelbagai nutrien.
Sayur-sayuran berdaun umumnya menawarkan nutrien seperti vitamin C, kalsium, zat besi, magnesium, dan kalium yang tinggi.
Tambahan itu juga, sayur-sayuran ini turut mengandungi antioksidan yang boleh melawan keradangan yang berlaku dalam badan anak anda.
7. Buah-buahan Tinggi Vitamin C
Buah-buahan juga adalah pilihan makanan yang bagus untuk kesihatan anak anda. Bagi tujuan tumbesarannya, anda boleh memilih buah-buahan yang tinggi vitamin C.
Antaranya adalah:
- Buah jambu batu
- Buah betik
- Buah longan
- Buah mangga
- Buah beri biru
- Buah strawberi
- Buah beri hitam
- Buah raspberi
Vitamin C adalah nutrien yang penting untuk tumbesaran anak anda. Vitamin ini menggalakkan pertumbuhan sel dan membaiki tisu-tisu badan yang rosak. [6]
Selain itu, vitamin C juga turut membantu menguatkan sistem imun (sistem pertahanan) badan anak anda. [7]
Rumusan
Pemilihan makanan yang betul dan sihat amatlah penting dalam membantu tumbesaran anak anda.
Sebagai ibu bapa adalah menjadi tanggungjawab kita untuk membekalkan mereka dengan pelbagai makanan yang sihat dan seimbang.
Terdapat kira-kira 7 kumpulan makanan yang boleh membantu tumbesaran anak anda. Makanan-makanan ini boleh membekalkan nutrien yang diperlukan oleh badan anak anda untuk membesar dengan sihat.
Rujukan
- Wu G. (2016). Dietary protein intake and human health. Food & function.
- Strand, T. A. et al. (2015). Vitamin B-12, folic acid, and growth in 6- to 30-month-old children: a randomized controlled trial. Pediatrics.
- Wójcik, O. P. et al. (2010). The potential protective effects of taurine on coronary heart disease. Atherosclerosis.
- Kajarabille, N. et al. (2013). A new insight to bone turnover: role of ω-3 polyunsaturated fatty acids. TheScientificWorldJournal
- Onubi, O. J. et al. (2015). Effects of probiotics on child growth: a systematic review. Journal of health, population, and nutrition.
- Chambial, S. et al. (2013). Vitamin C in disease prevention and cure: an overview. Indian journal of clinical biochemistry.
- Carr, A. C., & Maggini, S. (2017). Vitamin C and Immune Function. Nutrients.