Biotin ialah salah satu daripada vitamin B kompleks. Biotin berperanan dalam membantu badan menukar makanan kepada tenaga. Kekurangan biotin walaupun jarang-jarang berlaku boleh mengakibatkan beberapa masalah kesihatan.
Biotin juga turut dikenali sebagai vitamin B7, vitamin H atau koenzim R. Selain membantu menukarkan makanan kepada tenaga, biotin juga berperanan dalam membantu mengalakkan kulit, kuku dan rambut yang sihat, mengawal paras kolesterol LDL (kolesterol jahat) dan gula darah.
Remaja dan orang dewasa disarankan untuk mengambil antara 30 hingga 100 mikrogram biotin sehari.
Biotin ialah vitamin larut air. Ini bermakna vitamin ini tidak disimpan lama dalam badan dan akan disingkirkan melalui air kencing.
Badan manusia juga tidak menghasilkan sendiri vitamin ini. Tetapi bakteria dalam usus boleh menghasilkan biotin.
Kekurangan biotin adalah amat jarang berlaku tetapi boleh berlaku. Terdapat beberapa tanda kekurangan biotin yang boleh dijadikan panduan untuk anda.
Tanda-tanda Kekurangan Biotin
Kekurangan biotin lazimnya sangat jarang berlaku selagi individu tersebut mengamalkan pemakanan yang seimbang dan sihat. Kebanyakan makanan juga tinggi dengan kandungan biotin ini.
Namun, kekurangan vitamin ini masih boleh berlaku dan beberapa tanda atau kesan sampingan akibat kekurangan biotin ini adalah:
- Keguguran rambut
- Kehilangan bulu badan
- Ruam disekeliling mata, hidung, mulut dan kawasan kemaluan
- Mata kalas (pinkeye)
- Paras asid yang tinggi dalam darah dan air kencing
- Sawan
- Kulit menjadi kering dan bersisik
- Kuku menjadi rapuh
- Kesukaran untuk tidur (insomnia)
- Hilang selera makan
- Kemurungan
- Sakit otot
- Sering kali sakit perut
- Rekahan pada tepi mulut
- Rasa pedih atau geli pada tangan dan kaki
- Sukar untuk berjalan
Manakala bagi bayi yang mengalami kekurangan biotin, beberapa tanda yang boleh diperhatikan adalah:
- Otot-otot lemah
- Perkembangan terbantut
- Keguguran rambut
- Ekzema
Punca yang Menyebabkan Kekurangan Biotin
Terdapat beberapa punca yang boleh menjadi penyebab atau penyumbang kepada kekurangan biotin ini.
- Ubat-ubatan. Sesetengah ubat-ubatan boleh menyebabkan badan gagal untuk menyerap vitaman secara betul. Antara ubat-ubatan yang boleh menyebabkan masalah ini ialah antibiotik dan ubat sawan.
- Diet yang panjang. Diet yang ketat pada jangka masa panjang mungkin boleh menyebabkan anda gagal untuk mendapatkan pelbagai jenis vitamin dan mineral dalam pemakanan harian anda.
- Makan melalui tiub. Sekiranya anda makan melalui tiub atau intravena (IV), anda mungkin mengalami kekurangan vitamin ini.
- Masalah usus. Penyakit usus seperti kolitis atau Crohn adalah penyakit yang menyebabkan badan gagal menyerap nutrien daripada makanan.
- Kekurangan biotinidase. Kekurangan biotinidase adalah satu gangguan yang melibatkan keturunan. Gangguan ini menyebabkan badan tidak dapat menggunakan biotin yang menyebabkan berlakunya kekurangan vitamin B7 ini. Gangguan ini adalah penyebab yang paling lazim kepada kekurangan biotin.
- Peminum arak tegar. Peminum arak (alkohol) tegar adalah golongan yang berisiko untuk mengalami kekurangan vitamin ini. Kajian mendapati paras biotin dalam darah adalah 15% lebih rendah dalam kalangan peminum arak tegar.
- Masalah genetik. Terdapat beberapa masalah genetik yang boleh menyebabkan masalah genetik ini iaitu phenylketonuria, biotin transport deficiency dan holocarboxylase synthetase.
Sumber untuk Mendapatkan Biotin
Kekurangan biotin boleh dicegah atau dirawat dengan mendapatkan makanan yang kaya dengan biotin atau suplemen biotin.
Makanan yang Kaya Biotin
Keperluan harian kepada biotin mudah untuk dipenuhi dengan mengamalkan pemakanan yang seimbang dan sihat. Terdapat beberapa makanan yang kaya dengan vitamin ini.
Antaranya adalah:
- Makanan laut
- Keju
- Yogurt
- Susu
- Telur (terutamanya kuning telur)
- Hati ayam atau lembu
- Cendawan
- Kubis bunga
- Lobak merah
- Kuaci bunga matahari
- Kacang hijau
- Barli
- Jagung
- Keledek
- Bayam
- Brokoli
Pilih makanan segar atau yang tidak diproses kerana pemprosesan makanan boleh memusnahkan biotin.
Suplemen
Biotin boleh didapati dalam suplemen multivitamin atau suplemen biotin itu sendiri.
Sila dapatkan nasihat daripada doktor anda sebelum memulakan pengambilan suplemen biotin.
Rumusan
Kekurangan biotin adalah satu masalah kesihatan yang boleh dirawat. Kekurangan vitamin ini boleh diatasi dengan pengambilan makanan yang tinggi dengan biotin dan suplemen.
Terdapat beberapa tanda atau simptom yang boleh dijadikan panduan untuk anda mengambil langkah awal dengan berjumpa dengan doktor atau ahli profesional perubatan untuk mengesahkan masalah yang dihadapi. Hal ini kerana sesetengah tanda atau gejala ini mungkin berkaitan dengan masalah kesihatan yang lain.
Rujukan
- Saleem F, Soos MP.[Updated 2021 Apr 14]. Biotin Deficiency. . In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2021 Jan-. Available from: https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK547751/
- National Institutes of Health. (2021). Biotin [diakses pada 14 Jun 2021].
- Holland, K. (2017). Biotin Deficiency. Healthline [diakses pada 14 Jun 2021].