Gastritis atau turut dipanggil gastrik bagi masyarakat tempatan adalah istilah umum kepada keradangan lapisan pelapik perut. Keradangan ini biasanya disebabkan oleh jangkitan bakteria atau penggunaan ubat penghilang kesakitan yang kerap.
Perut manusia mempunyai lapisan pelapik yang dipanggil mukosa. Pelapik ini berfungsi memberikan perlindungan kepada perut daripada asid perut yang kuat. Asid perut ini pula bertanggungjawab untuk mencernakan makanan.
Apabila sesuatu merosakkan atau melemahkan lapisan pelindung ini, mukosa menjadi meradang, menyebabkan gastritis atau gastrik.
Gastritis boleh terjadi secara tiba-tiba (akut) atau berlaku secara perlahan-lahan (kronik). Bagi sesetengah kes, gastritis boleh menyebabkan berlakunya ulser perut dan meningkatkan risiko terhadap kanser perut.

Gejala-gejala Gastritis
Gejala-gejala atau simptom gastritis berbeza-beza bagi setiap individu dan pada kebanyakan orang tiada gejala yang berlaku.
Walau bagaimanapun, gejala-gejala yang lazim berlaku adalah seperti berikut:
- Loya atau mual
- Kembung perut
- Rasa sakit seperti terbakar atau menggigit dalam perut antara waktu makan atau pada waktu malam.
- Sakit perut
- Ketidakhadaman
- Muntah
- Sedu
- Hilang selera makan
- Muntah darah atau bahan yang berwarna seperti serbuk kopi
- Najis berwarna hitam
Punca atau Penyebab
Gastritis adalah berpunca daripada keradangan pada lapisan pelapik perut. Kelemahan atau kecederaan pada lapisan pelapik yang terdiri daripada mukosa ini membolehkan jus pencernaan merosakkan dan menyebabkan keradangan pada lapisan perut anda.
Terdapat penyakit yang meningkatkan risiko kepada gastritis iaitu penyakit Crohn dan sarkoidosis (keadaan di mana sel-sel radang tumbuh di dalam badan).
Terdapat juga beberapa punca atau penyebab lain yang boleh menyebabkan gastritis iaitu:
- Pengambilan alkohol.
- Jangkitan bakteria seperti bakteria Helicobacter pylori (H.pylori).
- Ubat-ubatan seperti aspirin atau ubat antiradang bukan steroid yang diambil dalam jangka masa yang lama.
- Refluks hempedu iaitu aliran balik hempedu ke dalam perut dari saluran hempedu.
- Stres.
- Peningkatan usia yang menyebabkan lapisan pelapik perut menipis.
- Penyakit autoimun yang menyebabkan sistem imun badan menyerang sel-sel pelapik perut yang sihat.
Diagnosis
Doktor mungkin akan menjalankan pemeriksaan fizikal dan bertanyakan mengenai simptom-simptom yang dialami. Selain itu, terdapat beberapa ujian yang mungkin dijalankan. Contohnya:
- Ujian darah: Untuk memeriksa antibodi yang dihasilkan untuk melawan bakteria H.pylori
- Ujian pernafasan: Untuk memeriksa kehadiran bakteria H.pylori.
- Ujian najis: Untuk menguji kehadiran bakteria H.pylori dalam najis.
- Endoskopi: Doktor menggunakan endoskop untuk melihat perut anda.
- Pemeriksaan gastrousus: Pemeriksaan ini melibatkan sinaran X.
Rawatan Gastritis atau Gastrik
Rawatan gastritis atau gastrik bergantung kepada puncanya. Sesetengah ubat boleh membantu membunuh bakteria dan sesetengah yang lain boleh membantu mengurangkan simptom-simptom yang berlaku.
Antara rawatan yang biasa diberikan adalah:
- Antibiotik: Antibiotik diberikan untuk merawat jangkitan bakteria.
- Antacid: Antacid adalah ubat yang boleh meneutralkan asid perut dan boleh melegakan keradangan dengan pantas.
- Histamine (H2) blockers: Ubat yang diberikan untuk mengurangkan penghasilan asid perut.
- Proton pump inhibitors: Ubat ini boleh mengurangkan jumlah asid yang dihasilkan oleh perut.
Selain itu, penjagaan pemakanan juga boleh membantu untuk mencegah atau melegakan simptom-simptom yang berlaku.
Komplikasi
Sekiranya tidak dirawat, gastritis boleh menyebabkan masalah yang lebih serius seperti:
- Ulser perut atau perdarahan perut
- Anemia (kekurangan sel darah merah atau hemoglobin)
- Anemia pernisius iaitu kekurangan hemoglobin di dalam darah kerana kegagalan tubuh untuk menyerap vitamin B12.
- Peritonitis yang merupakan jangkitan yang berlaku akibat ulser yang menembusi dinding perut yang menumpahkan kandungan perut ke dalam abdomen.
- Kanser perut.
Rujukan
- Mayo Clinic Staff. (2020). Gastritis. MayoClinic
- Cleveland Clinic medical professional. (2020). Gastritis. Cleveland Clinic
- Azer SA, Akhondi H. [Updated 2022 Jan 19]. Gastritis. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2022 Jan-. Available from: https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK544250/