Menjaga pantang larang gastrik adalah langkah yang harus diberikan pertimbangan bagi mereka yang menghidap gastrik.
Gastrik atau lebih tepat merujuk kepada gastritis ialah perkataan umum yang menunjuk kepada keradangan pelapik dalam perut. Punca yang paling lazim yang menyebabkan gastritis adalah jangkitan bakteria. Selain itu, gastritis juga boleh disebabkan oleh sesetengah ubat pelega kesakitan, alkohol dan juga merokok.
Gastritis terbahagi kepada dua iaitu akut dan kronik. Gastritis akut hanya berlaku dalam jangka masa terhad dan pulih selepas rawatan. Sekiranya tidak dirawat, gastritis akut ini boleh bertukar menjadi kronik atau berpanjangan.
Sekiranya berlaku komplikasi, gastritis boleh membawa kepada ulser perut, perdarahan, kekurangan nutrisi dan meningkatkan risiko kepada kanser.
Gastrik akan menyebabkan gejala atau simptom-simptom seperti:
- Sakit perut
- Kembung perut
- Sedu atau sendawa
- Refluks asid
- Pedih ulu hati
- Loya
- Borborygmus (bunyi berkeroncong yang dibuat oleh pergerakan cecair dan gas di dalam usus).
- Muntah
- Cirit-birit
- Rasa kenyang awal
Menjaga pantang larang terhadap makanan atau faktor lain yang memburukkan lagi gastrik boleh membantu anda mengatasi masalah ini sama ada ia akut atau kronik.
Makanan yang Menerukkan Lagi Gastrik
Penghidap gastrik perlu berpantang terhadap makanan-makanan ini kerana makanan ini boleh menerukkan lagi gejala atau simptom-simptom gastrik.
Antara makanan-makanan yang boleh memburukkan lagi simptom atau gejala gastrik adalah:
- Buah-buahan berasid seperti buah sitrus (limau, oren)
- Alkohol
- Coklat
- Kopi dan teh
- Makanan pedas
- Daging merah
- Jeruk
- Makanan sangat panas
- Makanan masin
- Makanan bergoreng
- Makanan masam
- Makanan barbeku
Makanan yang Meningkatkan Keradangan
Sesetengah makanan boleh meningkatkan risiko keradangan. Contohnya seperti:
- Daging merah dan daging proses
- Karbohidrat bertapis seperti roti putih dan pasta
- Makanan bergula dan gula-gula
- Minuman berkarbonat dan bergula
Faktor-faktor yang Memburukkan Lagi Gastrik
Terdapat juga sesetengah pesakit yang melaporkan bahawa beberapa faktor ini boleh memburukkan lagi simptom-simptom atau gejala gastrik.
Faktor-faktor tersebut adalah:
- Makan terlalu laju
- Waktu makan yang tidak tetap
- Saiz hidangan yang tidak tetap
- Makan sisa makanan
- Makan di restoran
Gastrik dengan Ulser
Sekiranya dibiarkan tanpa rawatan, gastrik atau gastritis boleh membawa kepada ulser perut atau turut dipanggil ulser peptik.
Sekiranya anda mempunyai ulser perut, anda perlu berpantang makanan yang sama dengan gastrik seperti:
- Makanan pedas
- Makanna bergoreng
- Minuman berkafein
- Coklat
Bagi mempercepatkan penyembuhan ulser ini, anda perlu mendapatkan makanan yang berkhasiat dan seimbang.
Rumusan
Secara ringkasnya, terdapat beberapa pantang larang yang harus dituruti oleh penghidap gastrik. Makanan memainkan peranan penting dalam pantang ini kerana boleh memberikan kesan terhadap simptom-simptom atau gejala gastrik.
Rujukan
- Li, Y. et al. (2020). Association of Symptoms with Eating Habits and Food Preferences in Chronic Gastritis Patients: A Cross-Sectional Study. Evidence-based complementary and alternative medicine.
- Norman, A. (2021). What to Eat If You Have Gastritis. verywellhealth