Sekiranya anda pengguna susu secara harian, mungkin ada masanya stok susu berlebihan dirumah. Jadi, mungkin anda tertanya-tanya adakah boleh membekukan susu?
Jawapan ringkasnya adalah YA, BOLEH.
Walau bagaimanapun, kita akan melihat dengan lebih lanjut mengenai kaedah yang sesuai untuk membekukan susu mengikut jenisnya dan berapa lama ketahanan susu yang dibekukan itu.
Terdapat banyak jenis susu yang boleh didapati di pasaran. Susu lembu, susu kambing atau susu berasaskan tumbuhan adalah antara kumpulan utama susu.
Panduan Membekukan Susu
Boleh dikatakan hampir semua jenis susu boleh dibekukan.
Namun begitu, pengguna harus tahu bahawa susu yang berbeza mungkin akan menunjukkan tindak balas yang berbeza apabila dibekukan.
Untuk memastikan kualiti susu tersebut pastikan susu itu dibekukan dalam bekas yang kedap udara dan biarkan sedikit ruang untuk pengembangan semasa proses pembekuan.
Anda juga boleh menggunakan bekas ais kiub untuk membekukan susu tersebut sekiranya anda merancang untuk menggunakannya secara berkala dalam masakan atau membuat smoothie.
Berikut adalah kesan pembekuan terhadap jenis-jenis susu:
- Susu lembu: Susu lembu biasanya membeku dengan baik. Mungkin ada sedikit pengasingan.
- Susu kambing: Seperti susu lembu, susu kambing juga membeku dengan baik dan mungkin berlaku sedikit pengasingan.
- Susu ibu: Lemak akan terasing. Susu tersebut tidak mengalami perubahan yang berbahaya terhadap rasa dan bau. Tetapi susu ibu yang dibekukan akan mengalami penyusutan terhadap kapasiti antioksidan dalam susu tersebut.
- Susu pekat manis: Jangan membekukan susu ini di dalam tin. Susu ini tidak akan membeku dengan sepenuhnya kerana kandungan gula yang tinggi.
- Susu sejat: Jangan membekukan susu ini di dalam tin. Susu ini boleh mengalami pengasingan apabila dibekukan.
- Susu soya: Susu soya boleh mengalami pengasingan apabila dibekukan.
- Santan: Santan juga boleh mengalami pengasingan apabila dibekukan. Elakkan membekukan santan di dalam tin.
- Susu badam: Susu badam akan mengalami pengasingan dan menjadi tekstur berbiji-biji.
- Susu oat: Susu oat boleh mengalami pengasingan dan menjadi tekstur berbiji-biji selepas dibekukan.
Mencairbekukan Susu dan Menggunakan Susu Beku
Biasanya, susu yang dibekukan ini sesuai disimpan dalam tempat beku selama 3 hingga 6 bulan.
Meskipun begitu, penggunaan susu beku ini dalam masa 1 bulan adalah langkah terbaik.
Sekiranya anda ingin mencairbekukan atau menyahfroskan susu beku ini, cara yang selamat adalah mencairbekukan susu tersebut di dalam peti sejuk selama 24 jam.
Kaedah ini lebih selamat kerana apabila susu beku dicairbekukan pada suhu bilik, potensi untuk bakteria tumbuh adalah tinggi.
Semakin lama susu beku dibiarkan pada suhu bilik, maka tinggalan bakteria jahat yang ada pada susu tersebut boleh berkembang biak. Keadaan ini boleh menyebabkan anda jatuh sakit sekiranya meminum susu yang mengandungi bakteria tersebut.
Selain itu, sekiranya anda ingin mencairkan susu beku ini dengan lebih cepat, anda boleh meletakkan susu beku ini di dalam air sejuk. Kendatipun begitu, kaedah ini berisiko menyebabkan pertumbuhan bakteria.
Jika anda ingin menggunakan susu beku ini didalam masakan, anda boleh terus meletakkannya dalam periuk atau kuali masakan.
Kebanyakan jenis susu akan mengalami pengasingan dan perubahan tekstur selepas dibekukan. Oleh itu, sebelum anda meminum susu tersebut, pastikan anda mengoncang atau mengisar susu tersebut bagi membolehkan susu tersebut kembali seragam. Minum susu yang telah dicairkan ini dalam masa 3-4 hari.
Bagi susu ibu pula, penggunaan susu ibu yang dibekukan dalam masa 72 jam selepas dibekukan adalah lebih baik berbanding susu ibu yang dibekukan lebih 2 minggu.
Hal ini kerana, kajian mendapati susu ibu yang dibekukan lebih 2 minggu mengandungi protein dan tenaga yang kurang berbanding susu ibu yang dibekukan dalam tempoh yang pendek.
Rumusan
Secara umumnya, semua jenis susu adalah selamat untuk dibekukan terutamanya bagi mengelakkan pembaziran sekiranya susu-susu tersebut sudah hampir dengan tamat tempoh.
Majoriti susu akan mengalami pengasingan dan perubahan pada tekstur selepas proses pembekuan. Namun, masalah ini boleh diatasi dengan mengoncang dengan kuat atau mengunakan pengisar.
Susu beku mesti dicairkan di dalam peti sejuk bagi mengelakkan pertumbuhan bakteria. Pastikan juga anda tidak menyimpan susu beku ini terlalu lama.
Rujukan
- Aksu, T. et al. (2015). The effects of breast milk storage and freezing procedure on interleukine-10 levels and total antioxidant activity. The journal of maternal-fetal & neonatal medicine.
- Păduraru, L. et al. (2019). Influence of refrigeration or freezing on human milk macronutrients and energy content in early lactation: Results from a tertiary centre survey. Paediatrics & child health.
- Boor, K. J. et al. (2017). A 100-Year Review: Microbiology and safety of milk handling. Journal of dairy science.
- Shoemaker, S. (2020). Can You Freeze Milk? Guidelines for Different Types. Healthline.