Sesetengah orang mungkin risau sekiranya minum susu sebelum tidur boleh menyebabkan kenaikan berat badan atau perkara yang tidak baik. Untuk merungkai dan membantu anda menjawab persoalan ini, artikel ini akan mengulas dengan lebih lanjut mengenai kesan minum susu sebelum tidur berdasarkan sokongan kajian.
Susu adalah minuman yang berkhasiat, tidak kira sama ada ia adalah susu ibu atau susu daripada haiwan ternakan.
Umum mengetahui bahawa susu penting untuk membekalkan mineral kalsium yang penting untuk kesihatan tulang dan gigi. Kalsium juga membantu otot dan saraf membawa mesej antara otak dan bahagian badan yang lain.
Selain itu juga, kalsium turut membantu saluran darah untuk membawa darah ke seluruh tubuh dan membantu melepaskan hormon yang mempunyai pelbagai fungsi dalam badan.

Bagi menjawab persoalan adakah minum susu sebelum tidur mempunyai kebaikan atau tidak? Jawapannya adalah ya, ada kebaikan.
Kebaikan Minum Susu Sebelum Tidur
Meminum susu sebelum tidur mungkin memberikan kesan yang berbeza-beza bagi setiap individu mengikut peringkat umur.
Antara kebaikan minum susu sebelum tidur adalah:
1. Boleh Membantu Tidur Lebih Cepat
Masalah tidur adalah masalah yang lazim bagi masyarakat moden. Ramai yang mengalami kesukaran untuk memulakan tidur.
Maka, salah satu cara yang boleh membantu anda untuk dapat tidur atau melelapkan mata dengan lebih cepat adalah dengan meminum susu.
Satu kajian terhadap golongan berusia yang berumur 65 tahun ke atas mendapati masalah sukar untuk memulakan tidur boleh diatasi dengan gabungan antara aktiviti fizikal seperti senaman dan meminum susu atau memakan keju sebelum tidur. [1]
Selain itu, kandungan sebatian triptofan dan melatonin dalam susu juga boleh membantu anda untuk lebih cepat terlelap.
Triptofan adalah asid amino (protein) yang membantu badan menghasilkan hormon serotonin. Serotonin pula membantu menghasilkan hormon melatonin.
Hormon melatonin turut dikenali sebagai hormon tidur. Melatonin membantu mengawal selia ritma jantung dan menyediakan badan untuk memasuki kitaran tidur.
Kajian terhadap susu formula bayi juga mendapati susu formula yang tinggi dengan kandungan triptofan mempunyai pendaman tidur (sleep latency) bagi bayi yang lebih rendah berbanding susu formula yang kurang kandungan triptofan. Ini menunjukkan bahawa, kandungan triptofan boleh mempengaruhi masa untuk bayi terlelap atau tidur. [2]
2. Boleh Membantu Mendapatkan Tidur yang Lebih Berkualiti
Meminum susu sebelum tidur juga boleh membantu mendapatkan tidur yang lebih berkualiti. Kesan kebaikan ini mungkin disumbang oleh kandungan triptofan yang boleh membantu menghasilkan hormon serotonin dan melatonin
Kebanyakan orang mempunyai kandungan hormon melatonin yang cukup untuk tidur dengan sendirinya. Walau bagaimanapun, bagi mereka yang mengalami masalah sukar untuk tidur, insomnia atau gangguan tidur, pengambilan melatonin tambahan mungkin boleh membantu.
Satu analisis dan kajian semula terhadap 23 kajian mendapati pengambilan melatonin tambahan mempunyai kesan yang positif terhadap kualiti tidur bagi golongan dewasa termasuklah mereka yang mempunyai masalah gangguan tidur, penyakit pernafasan, penyakit neurodegenerasi atau gangguan metabolik. [3]
Adakah Minum Susu Sebelum Tidur Membuatkan Anda Gemuk?
Meminum susu sebelum tidur tidak menyebabkan kesan negatif bagi kebanyakan orang. Ramai yang bimbang meminum susu sebelum tidur boleh menyebabkan peningkatan berat badan.
Namun, kajian mendapati meminum segelas susu pada waktu malam menggalakkan kecergasan. Satu kajian melaporkan bahawa meminum susu selepas bersenam dan sebelum tidur boleh membantu pemulihan otot. [4]
Terdapat juga kajian yang mendapati meminum susu sebelum tidur boleh meningkatkan kadar metabolisme rehat seseorang pada keesokkan paginya. [5]
Susu Suam atau Susu Sejuk Sebelum Tidur?
Kebanyakan kebaikan meminum susu sebelum tidur lebih merujuk kepada susu suam berbanding susu sejuk. Tiada bukti yang jelas yang menunjukkan kelebihan antara dua minuman ini.
Kebanyakkan kajian yang menilai kesan meminum susu sebelum tidur menggunakan susu suam. Setakat ini, tiada kajian yang membandingkan kesan suhu susu yang berbeza-beza.
Walau bagaimanapun, terdapat kajian yang melaporkan bahawa minuman suam boleh memberikan kesan menenangkan terhadap sistem saraf dan mungkin bermanfaat untuk memudahkan anda untuk tidur. [6]
Rumusan
Meminum susu sebelum tidur boleh mendatangkan beberapa kebaikan kepada si peminumnya.
Susu boleh membantu seseorang untuk tidur lebih cepat dan mendapatkan tidur yang berkualiti. Kesan kebaikan ini mungkin disumbang oleh kandungan asid aminonya yang dikenali sebagai triptofan.
Kajian juga turut menafikan bahawa meminum segelas susu sebelum tidur boleh meningkatkan berat badan. Walau bagaimanapun, sekiranya susu tersebut dicampur dengan gula tambahan, ia mungkin memberikan kesan yang berbeza.
Setakat ini tiada bukti yang kukuh yang menunjukkan susu suam lebih baik daripada susu sejuk atau sebaliknya.
Rujukan
- Kitano, N. et al. (2014). Association between difficulty initiating sleep in older adults and the combination of leisure-time physical activity and consumption of milk and milk products: a cross-sectional study. BMC geriatrics.
- Steinberg, L. A. et al. (1992). Tryptophan intake influences infants’ sleep latency. The Journal of nutrition.
- Fatemeh, G. et al. (2022). Effect of melatonin supplementation on sleep quality: a systematic review and meta-analysis of randomized controlled trials. Journal of neurology.
- Kim J. (2020). Pre-sleep casein protein ingestion: new paradigm in post-exercise recovery nutrition. Physical activity and nutrition.
- Madzima, T. A. et al. (2018). Pre-Sleep Consumption of Casein and Whey Protein: Effects on Morning Metabolism and Resistance Exercise Performance in Active Women. Nutrients.
- Mooventhan, A., & Nivethitha, L. (2014). Scientific evidence-based effects of hydrotherapy on various systems of the body. North American journal of medical sciences.