Mungkin anda mempunyai alasan tersendiri untuk membekalkan bayi anda dengan susu formula. Jika anda ingin membekalkan anak anda dengan susu formula, terdapat beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum mencampurkan susu ibu dengan susu formula.
Sekiranya anda tertanya-tanya sama ada adakah boleh mencampurkan susu ibu dengan susu formula terutamanya dalam botol yang sama, jawapannya adalah BOLEH.
Tetapi, anda perlu berhati-hati mengikut arahan membancuh sebelum menggabungkan susu formula dengan susu ibu. Campuran yang tidak betul boleh menyebabkan lebih kepekatan nutrien yang boleh membahayakan bayi anda.
Sebab-sebab yang Memungkinkan Anda Mencampurkan Susu Ibu dengan Susu Formula
Susu ibu adalah pilihan nutrisi terbaik untuk bayi. Tetapi dalam sesetengah kes, penyusuan susu ibu (atau penyusuan susu ibu secara eksklusif) tidak mungkin atau satu pilihan.
Sekiranya terdapat halangan yang menyebabkan anda tidak dapat membekalkan susu ibu secara ekslusif kepada bayi anda, mengabungkan dua jenis susu ini mungkin pilihan yang terbaik.
1. Susu Badan Tidak Mencukupi
Ibu muda biasanya sering mempunyai masalah susu badan yang tidak mencukupi untuk bayi mereka. Anda boleh mencuba beberapa kaedah meningkatkan susu badan melalui pemakanan, kekal terhidrat dan kerap mengepam susu badan.
Walau bagaimanapun, disebalik usaha terbaik seorang ibu, pengeluarannya masih tidak dapat menandingi permintaan bayinya. Oleh itu, mencampurkan dengan susu formula mungkin menjadi pilihan atau jalan penyelesaian.
2. Memerlukan Tidur yang Lebih
Memberi susu ibu yang dipam dan susu formula adalah satu cara untuk membolehkan ibu mendapat tidur tambahan. Dengan cara ini, ibu bapa boleh memberi bayi mereka susu secara bergilir-gilir pada waktu malam, memberikan pasangan mereka peluang untuk berehat.
3. Anda Adalah Ibu Kepada Bayi Kembar
Ibu yang mempunyai anak kembar boleh mengalami kekurangan bekalan susu badan. Memenuhi keperluan dua atau lebih bayi boleh menyebabkan susu badan kering atau berkurangan.
Mengabungkan susu ibu dengan susu formula mungkin jalan penyelesaian kepada masalah ini.
4. Kembali Bekerja
Ramai ibu bapa memilih gabungan penyusuan susu ibu dan susu formula untuk kemudahan apabila mereka kembali bekerja.
Pertimbangan Keselamatan
Sebelum anda memilih untuk mencampurkan susu ibu dengan susu formula, beberapa pertimbangan keselamatan berikut perlu diberi perhatian.
Susu formula dibuat untuk memberikan bayi anda jumlah kalori dan nutrien tertentu bagi isipadu tertentu. Sebagai contoh, susu formula standard ialah 20 kalori setiap auns. Jadi, jika anda menyediakan susu formula seperti yang diarahkan, bayi anda akan mendapat jumlah yang dijangkakan.
Namun, jika anda menambah susu formula sama ada dalam bentuk serbuk atau cecair pekat terus ke dalam susu ibu sebelum anda mencairkannya dengan air, ia mengubah keseimbangan nutrien dan air di dalam kedua-dua susu ibu dan susu formula.
Oleh sebab buah pinggang atau ginjal bayi masih belum matang, ketidakseimbangan ini boleh menyebabkan buah pinggang dan sistem penghadaman bayi terpaksa bekerja dengan lebih kuat dan boleh menyebabkan bayi ternyahhidrat.
Justeru itu, semasa menyediakan susu formula bayi anda, pastikan anda menggunakan jumlah air yang betul dan mengikut panduan yang telah diberikan.
Cara Mencampurkan Susu Ibu dengan Susu Formula di dalam Botol yang Sama
Susu ibu juga boleh dicampurkan dengan susu formula di dalam botol yang sama.
Tetapi, ibu bapa mestilah memastikan bahawa mereka menyediakan susu formula mengikut ketetapan yang telah diberikan oleh pengeluar atau pengilang.
Penyediaan Susu Formula
Jika anda menggunakan susu formula cecair pekat atau susu formula serbuk, pastikan anda membancuhnya mengikut arahan pengilang atau sebarang arahan ganti yang diberikan oleh doktor bayi anda.
Bancuhkan susu formula dahulu di dalam botol atau bekas yang berbeza daripada susu ibu. Pastikan anda menggunakan air masak (air yang telah direbus dan disejukkan) untuk mencairkan susu formula tersebut. Sesetengah orang memilih untuk menggunakan air suam untuk mencairkan susu formula tersebut.
Apabila susu formula sudah siap dibancuh, ia boleh ditambah di dalam botol yang berisi susu ibu atau diberikan selepas botol susu ibu.
Keburukan Mencampurkan Susu Ibu dan Susu Formula
Terdapat beberapa kekurangan (keburukan) dan beberapa risiko jika anda memilih untuk mencampurkan susu ibu dan susu formula bersama-sama dalam satu botol.
- Mungkin menyebabkan pembaziran susu ibu: Bagi mengelakkan pembaziran susu ibu akibat bayi anda kekenyangan, pertimbangkan untuk memberikan susu ibu dan susu formula dalam botol yang berbeza. Utamakan pemberian susu ibu terdahulu.
- Bekalan susu ibu mungkin berkurangan: Mencampurkan susu ibu dengan susu formula, atau menggunakan susu formula sepenuhnya boleh mengurangkan bekalan susu ibu (susu badan). Oleh itu, penambahan secara beransur-ansur boleh membantu memastikan anda mengekalkan bekalan susu ibu yang mencukupi.
- Potensi risiko kesihatan: Seperti yang dinyatakan sebelum ini, adalah penting untuk ibu bapa mengikut panduan penyediaan yang telah diberikan oleh pengilang susu formula bagi mengelakkan sebarang risiko kesihatan terhadap bayi. Tambahan lagi, susu ibu yang dicampurkan dengan susu formula mempunyai tempoh simpan yang lebih pendek berbanding susu ibu sahaja.
Rumusan
Penyusuan susu ibu adalah salah satu kaedah terbaik yang mungkin tidak dapat diikuti oleh semua ibu. Tidak kira sama ada bayi anda menyusu badan, susu formula atau menggunakan gabungan kedua-duanya, apa yang penting adalah memastikan bayi anda mendapat nutrisi yang mencukupi.
Rujukan
- Centers for Disease Control and Prevention. (2022). Infant Formula Preparation and Storage.
- Barth, L. (2020). Can You Mix Breast Milk and Formula? Healthline.
- Murray, D. (2021). Mixing Formula With Breast Milk in The Same Bottle. verywellfamily